Saturday 7 January 2017

Kawal perasaan secara positif

Setiap orang yang waras pasti sentiasa memiliki dua perasaan berbeza dalam hatinya iaitu bahagia atau tertekan. Hakikatnya manusia dapat mengawal perasaan yang terbuku di hati dengan strategi reda dan berfikir positif dalam apa juga keadaan dialami.

Perancangan dan pelan tindakan menjadi agenda yang menghiasi hari orang berjaya. Kegagalan masa lalu dijadikan pengajaran, begitu juga bencana dan musibah yang menimpa menjadi api pembakar semangat untuk lebih cekal dan ghairah menghadapi kehidupan yang semakin mencabar.

Sebenarnya berfikir dan bertindak secara bijak untuk berjaya lebih mudah, berbanding merancang untuk berjaya tetapi melalui cara yang salah.  

Mereka yang memilih berjaya atau mendapat apa yang dihajati secara salah perlu merancang sesuatu yang sukar dan tidak disukai oleh pesaing lain. Mereka dicemuh dan dibenci oleh orang lain dengan apa yang dilakukan. 

Contohnya, remaja yang malas tetapi ingin dipuji terpaksa melakukan kerja membodek, mengapu dan seumpamanya. Lakonan berlagak rajin dan baik dilakukan di hadapan orang, sedangkan sifat sebaliknya dilakukan pada masa lain.  

Apa yang dilakukan itu menimbulkan konflik dalam diri dan mewujudkan keadaan sukar apa terpaksa melakukan secara terpaksa. Mereka mengamalkan konsep  ‘nak jadi malas mesti kreatif’.

Mengapa mesti kreatif kepada perkara buruk seperti malas, menipu dan sebagainya? Adalah lebih baik kita kreatif untuk melakukan kebaikan. Perkara baik bukan saja menyukakan orang lain, tetapi sebenarnya lebih penting lagi diri kita sendiri merasa puas dan bahagia.

Kita boleh melakukan perkara baik dengan selesa dan tidak perlu takut kepada sesiapa untuk melakukannya. Kalaupun ada sedikit halangan mungkin timbul daripada pesaing atau mereka yang ada sifat dengki. Tetapi keadaan ini tidak memberi banyak tekanan. 

Jika wujud persaingan, jadikan ia sebagai motivasi untuk melakukan lebih baik. Sesuatu yang bertujuan untuk kebaikan sebenarnya untuk dikongsi bersama orang lain. Jadi, sesiapa pun yang berjaya melakukan perkara baik itu adalah mewakili semua pihak yang turut berusaha ke arah itu.

Jadilah manusia yang menggunakan pancaindera yang diberikan oleh Allah SWT dengan sebaik-baik. Jika tidak, taraf manusia lebih hina berbanding haiwan.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan sesungguhnya kami jadikan neraka jahanam kebanyakannya daripada jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakan bagi memahami (ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakan bagi melihat (tanda kekuasaan Allah) dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakan bagi mendengar (ayat Allah). Mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang yang lalai.” (Surah al-Araf, ayat 179).

No comments:

Post a Comment