Perkembangan
institusi pendidikan Islam perlu terus dikembangkan dan
diperkasakan. Imejnya perlu dipertingkatkan dan tidak lagi dipandang
kelas kedua. Lulusan institusi pendidik Islam perlu menceburi bidang
teknokrat dan profesional yang melambangkan kedudukan tinggi dalam haraki
kerjaya.
Kita ingin melihat
lebih banyak mereka yang berkelulusan pengajian Islam mampu berada pada tahap
kepimpinan negara dan pembuat dasar. Kita tidak mahu lagi dasar
negara ditentukan oleh mereka yang tidak mempunyai pendidik Islam atau roh
islamiah. Ulama tidak lagi sekadar menjadi rujukan, tetapi ulama
sendiri perlu berada dalam kelompok pembuat dasar.
Semua ini memerlukan
transformasi kualiti lulusan institusi pendidikan Islam. Usaha hebat
dan menyeluruh ke arah itu perlu diusahakan. Tidak dinafikan bukan
senang untuk melaksanakan, tetapi yang penting usaha perlu digerakkan
dulu. Kita tidak mahu hanya Islam pada Perlembagaan, tetapi yang
diingini ialah Islam pada perlaksanaan dan amalan hidup rakyat Malaysia.
Semua ini memerlukan
ilmuan Islam yang mempunyai kekuatan untuk membuktikan bahawa Islam mampu
dijadikan terus pemerintahan negara. Perkara ini perlu diusahakan
selagi kita ada kuasa dan peluang. Ingatlah, peluang ini tidak
selamanya ada jika tidak direbut sekarang.
Malaysia mampu
menjadi distinasi pendidikan tinggi dunia, termasuk dalam bidang
Islam. Memang sekarang ini lebih 100 ribu pelajar asing menuntut di
Malaysia, namun dalam jumlah yang amat kecil mengikut pengajian
Islam. Apabila disebut pengajian Islam, masyarakat dunia tertumpu
kepada negara di Timur Tengah, khususnya di Arab Saudi, Mesir dan Jordan.
Jika dulu tidak ada
pelajar asing di negara kita, kini telah sebaliknya berlaku. Biarpun
sekarang tumpuan pengajian bukan berkaitan Islam, suatu hari nanti kita boleh
jadikan Malaysia sebagai ganti kepada negara negara di Timur Tengah menyediakan
pendidikan tinggi Islam.
Semua boleh berlaku
jika dilakukan dengan iltizam dan kesungguhan yang berterusan. Maka,
itu amat penting kita memperkasakan institusi pendidikan Islam bukan saja untuk
rakyat Malaysia, bahkan masyarakat Islam seluruh dunia. Yakin dan
percayalah, jika dilakukan dengan betul, Kuala Lumpur bakal bergelar Baghdad
yang pernah terkenal sebagai pusat pendidikan utama pada masa dulu.
Sahut dan hadapilah
cabaran. Jadikan jihad ilmu sebagai senjata paling ampuh untuk kita
memperkuatkan Islam dan mampu berdepan cabaran masa kini. Islam itu
indah. Melalui pendidikan dan lulusan pendidikan Islam yang berkualiti,
kita akan lebih dipandang mulia dan tinggi.
Kita perlu meletakkan
ilmu-ilmu Islam pada kedudukan terbaik. Tidak keterlaluan jika pada
suatu masa nanti, ada permintaan pelajar bukan Islam untuk mendalami pengajian
Islam pada peringkat pengajian tertinggi. Sekarang ini sudah banyak pelajar bukan
Islam mengambil matapelajaran Islam di peringkat sekolah. Menariknya, mereka
mendapat keputusan cemerlang.
No comments:
Post a Comment