Friday, 10 November 2017

PEDULI SUMBER REZEKI


Rasulullah SAW pernah menyatakan dalam satu hadis yang bermaksud: “Akan datang satu zaman ke atas manusia yang mana mereka tidak mempedulikan daripada mana rezeki itu diperoleh dan tidak peduli halal atau haram rezeki yang diterima.” - (Hadis riwayat al-Bukhari).

Dalam satu hadis lain Rasulullah pernah bersab­da: “Sesungguhnya bagi semua umat terdapat fitnah dan fitnah terhadap umatku ialah pada harta. - Riwayat at-Tirmizi dan Ahmad)

Cuba kita mengamati kedua-dua hadis ini dan sememangnya apa yang disabdakan oleh Rasulullah itu kini benar-benar terjadi dan kita tidak boleh menolak kemungkinan, inilah zaman yang dimaksudkan oleh Rasulullah.

Buktinya terlalu banyak dan kisah seumpama ini boleh dibaca di akhbar-akhbar mahupun ditonton di te­levisyen tentang kerakusan manusia mencari harta benda tanpa mengira halal atau haram. Bagi mereka apa yang lebih penting kemewahan dunia mesti dikecapi walaupun sumber pendapatan yang diperoleh adalah daripada sumber-sumber yang haram.

Tidakkah mereka yang mengambil rasuah ini berasa bersalah? Tidak cukupkah pendapatan mereka setiap bulan? Lebih malang lagi de­ngan duit rasuah itu, mereka membeli makanan dan ke­perluan hidup untuk anak-anak dan isteri. Agak-agak ada atau tidak keberkatan dalam keluarga yang sebegini?

Hentikanlah amalan mengambil rasuah. Selain haram dan berdosa, perbuatan itu boleh meruntuhkan institusi masyarakat dan negara. Memang tidak boleh dinafikan setiap orang tidak terlepas daripada godaan rasuah jika tidak berhati-hati.

Bersama-sama kita menasihati dan mengingatkan agar terhindar perbuatan buruk. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Agama itu nasihat”. Kami (para sahabat) bertanya: “Untuk siapa?” Sabda Baginda SAW: “Bagi Allah, Rasul-Nya, Kitab-Nya, hak para pemimpin dan masyarakat umum” (Hadis Riwayat Muslim)

Allah memberi petunjuk betapa perlunya perubahan pemikiran yang salah dengan kembali kepada kebenaran dan mengubah tindakan yang zalim kepada yang adil, daripada akhlak yang keji kepada akhlak yang mulia.

Firman Allah: “Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri” (Surah Ar-Ra’d: 11)

No comments:

Post a Comment