Sunday 5 November 2017

Punca banjir kilat

Kes banjir kilat kerap berlaku. Disebabkan hujan lebat beberapa jam, kawasan telah ditengelami air yang tidak mengalir. Banyak harta benda tidak dapat dipindahkan dan mengalami kerosakan. Ini termasuk kenderaan yang diletakkan di kawasan letak kenderaan. Air memasuki rumah dan menengelamkan peralatan dan perabot di dalam rumah. Banyak rakyat mengalami kerugian dan kesusahan akibat banjir kilat yang tidak dijangkakan berlaku.

Kenapa kerap berlaku banjir kilat? Pertamanya tentu disebabkan hujan lebat. Itu jawapan bocor yang telah lama digunakan. Jawapan kedua, banyak pihak tidak senang dengan jawapan ini iaitu aliran air atau sungai tersekat.

Punca aliran sungai atau parit tersekat banyak sebab. Biasanya disebabkan proses urbanisasi yang tidak terancang. Pembangunan pesat yang berlaku tidak mengikut rancangan asal pembangunan. Sebab itu, kawasan yang dahulunya tidak pernah berlaku banjir, kini menjadi mimpi ngeri kepada penduduk di kawasan berkenaan setiap kali berlaku hujan.   

Aliran sungai tersekat disebabkan sampah sarap dibuang merata-rata. Sungai tidak dijaga dari aspek kebersihan hingga sampah sarap menghalang laluan air. Tidak terkecuali menyekat aliran air ialah pokok renek serta rumput yang tumbuh subur di laluan air.  

Penjagaan sungai di negara kita agak teruk, terutama yang melalui kawasan bandar dan penempatan. Kebersihan sungai tidak dijadikan keutamaan disebabkan perbelajaan agak besar, sedangkan ia sekadar untuk mengalirkan sisa domestik dan air kotor. Lebih-lebih lagi kedudukan sungai di bahagian belakang bangunan atau tersembunyi ditutup oleh pokok serta rumput di tebingnya. Tidak ada siapa yang pedulikannya.

Masyarakat sedar kesilapan dan mula memikirkan soal sungai apabila berlaku bencana akibatnya. Ketika itu sudah banyak berlaku kerosakan harta benda dan mungkin juga melibatkan nyawa. 

Namun, pengalaman itu tidak memberi pengajaran. Sungai masih berada di takuk lama, tidak diseliakan dengan baik. Kalau ada sedikit usaha untuk melancarkan aliran air, ia hanya ketika musim banjir itu saja. Itupun, setelah banjir kilat berlaku dan bertujuan menambah kadar aliran agar cepat surut.

Itu soal sungai tidak diselengara dengan baik. Satu lagi masalah ialah tidak ada laluan air seperti longkang atau parit disediakan. Ini berlaku di kawasan perumahan baru dibina. Pemaju sekadar membina longkang di kawasan perumahan yang dibina. Sedangkan aliran air itu sepatutnya dialirkan sehingga ke longkang lebih besar atau sungai. 

Banjir kilat yang berlaku di kawasan itu biasanya tidak melibatkan kawasan rumah yang baru dibina.  Dengan kata lain, pemaju boleh lepas tangan. Ini biasa berlaku. Kawasan yang tidak pernah mengalami banjir terpaksa berdepan dengan musibah dicipta akibat kerakusan pihak lain untuk mendapat keuntungan.

Pihak berkuasa tempatan perlu peka kepada masalah ini. Sebarang kelulusan memajukan kawasan perumahan, perindustrian, kompleks beli belah dan sebagainya perlu mengambil kira semua aspek, termasuk soal pengaliran air di kawasan itu ketika hujan lebat. 

Adalah tidak adil, ketika pihak lain mendapat keuntungan dan bersenang lenang, pihak lain pula menerima kesan buruk akibat pembangunan itu. Jika perlu dikeluarkan kos tambahan untuk membina longkang besar, perbelanjaan itu mesti disediakan. Bahkan, jika pemaju tidak mampu menyediakan longkang besar seperti diperlukan, wajar projek itu tidak diteruskan.

No comments:

Post a Comment