Tuesday 7 November 2017

Sambut Maulidul Rasul

Siapakah kita tanpa kelahiran Nabi Muhammad. Hakikat ini antara sebab mengapa kita perlu bersyukur dan berterima kasih. Perasaan sayang dan cinta kepada Rasulullah perlu ada dalam hati setiap Muslim sepanjang masa, mengatasi segala rasa keinginan terhadap makhluk lain.   

Betapa bangganya umat Islam yang menyertai setiap kali sambutan Maulidur Rasul. Seluruh masyarakat mengakui dan menzahirkan kesyukuran menjadi umat Rasulullah. Tidak ada individu lain yang ulang tahun kelahirannya disambut umat seluruh dunia sepanjang zaman. 

Mencintai diri Rasulullah samalah mencintai agama. Sesiapa menerima keesaan Allah, tetapi menolak kecintaan terhadap Rasulullah, bermakna masih tidak lengkap keimanannya. Kalimah syahadat yang menjadi lambang pengesahan keimanan turut merangkaikan ungkapan tentang kebenaran kerasulan Nabi Muhammad. 

Firman Allah SWT yang bermaksud : "Demi sesungguhnya, adalah bagi diri Rasulullah SAW itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa ingin mengharapkan keredaan Allah dan balasan baik di akhirat kelak serta ia pula banyak menyebut dan mengingati nama Allah (dalam masa susah dan senang)". (Surah al-Ahzab, ayat 21)

Sambutan Maulidur Rasul amat bermakna.  Jadi, tidak tepat jika dikatakan sambutan Maulidur Rasul sekadar upacara rasmi. Setiap peristiwa tetap memberi kesan, biarpun amat kecil. Ia bergantung kepada tahap penerimaan setiap orang. Tidak mungkin individu menyertai sambutan Maulidur Rasul tidak mendapat apa-apa manfaat. 

Biarpun sambutan secara bermusim, hakikatnya ia satu musim untuk memperkasakan kembali ingatan kita mengenai sirah Rasulullah. Kita menjadi lebih dekat dan semarak kasih terhadap baginda ketika sambutan Maulidul Rasul dan sepanjang bulan Rabiulawal.

Pemugaran perasaan itu kemudiannya dilanjutkan sepanjang tahun. Bayangkan jika tidak ada satu sambutan khusus mengingati Rasulullah. Bagaimana dengan golongan muda yang semakin asing mengenai perjalanan hidup baginda? Melalui acara sambutan inilah peluang terbaik membongkar kembali sirah Rasulullah untuk dijadikan panduan dan ikutan kita semua. 

Sesungguhnya keagungan Nabi Muhammad tidak dapat diukur dan dinilai melainkan Allah. Apa yang pasti, baginda adalah insan terpilih di kalangan umat dan kehadiran baginda adalah rahmat bagi sekalian alam. Allah berfirman maksudnya: "Katakanlah (Muhammad) dengan rahmat Allah dan kurnia-Nya hendaklah mereka bergembira". (Surah Yunus, ayat 58).

No comments:

Post a Comment