Tuesday 7 November 2017

Maulidul Rasul tanda cinta Nabi

Maulidul Rasul tanda cinta Nabi. Memperingati kelahiran Nabi Muhammad adalah manifestasi kecintaan kepada insan termulia sepanjang zaman.

Sewajarnya baginda mendapat pengiktirafan secara simbolik atas nikmat agama dan panduan hidup yang disebarkan oleh baginda kepada seluruh manusia.

Kelahiran Rasulullah membawa bersama membawa rahmat tidak terhingga.  Ini dijelaskan dalam firman Allah yang bermaksud: "Kami tidak mengutuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat kepada alam sejagat." (Surah al-Anbiya, ayat 107)

Sirah Rasulullah SAW penuh dengan tauladan untuk diikuti dan dijadikan panduan hidup.  Antara yang menjadi contoh terbaik ialah sikap Rasulullah SAW dalam menjadi contoh ketua keluarga dan suami.  Rasulullah SAW memiliki 'pakej lengkap' dalam semua aspek kehidupan.

Kedudukan Rasulullah SAW sebagai insan istimewa turut diiktiraf oleh bukan Islam. Ahli Astrofizik berbangsa Yahudi Amerika Syarikat iaitu Michael H.Hart telah menerbitkan sebuah buku pada tahun 1978 bertajuk "The 100: A Ranking of the Most Influential Persons in History".

Buku itu terjual hampir 500,000 naskhah pada masa itu ekoran beliau menamakan Nabi Muhammad SAW yang dikatakan sebagai Pengasas Islam di tempat pertama dan tertinggi mengatasi tokoh-tokoh yang lain. 

Kehebatan dan ketokohan baginda bukan sahaja dalam aspek penyebaran nur Islam semata-mata seperti Rasulullah iaitu pesuruh Allah.  Malah meliputi semua aspek, bagindalah seorang nabi dan rasul, pemimpin, panglima, imam, suami, bapa, rakan atau sahabat dan pelbagai lagi. 

Ia bertepatan dengan penghormatan oleh Allah SWT menerusi firman-Nya yang bermaksud : "Demi sesungguhnya, adalah bagi diri Rasulullah SAW itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa ingin mengharapkan keredaan Allah dan balasan baik di akhirat kelak serta ia pula banyak menyebut dan mengingati nama Allah (dalam masa susah dan senang)". (Surah al-Ahzab, ayat 21).

Sesungguhnya keagungan Nabi Muhammad tidak dapat diukur dan dinilai melainkan Allah. Apa yang pasti, baginda adalah insan terpilih di kalangan umat dan kehadiran baginda adalah rahmat bagi sekalian alam.

Allah berfirman maksudnya:  "Katakanlah (Muhammad) dengan rahmat Allah dan kurnia-Nya hendaklah mereka bergembira". (Surah Yunus, ayat 58).

No comments:

Post a Comment