Thursday 24 May 2018

Halba rawat masalah tenaga batin

Manfaat kebaikan khasiat herba halba atau fenugreek telah digunakan untuk kesihatan sejak zaman kuno. Kegunaan halba antara lain mengaktifkan organ pembiakan. Amalan tabib China menggunakan halba merawat mati pucuk.
 
Halba antara ubatan tertua di dunia dan digunakan oleh Al-Abqirad (Hippocrates) iaitu bapa perubatan Yunani. 

Halba sering ditambah dalam masakan untuk memberi aroma enak dan kelainan rasa. Halba  digunakan dalam nasi dagang, putu halba, biji nangka dan menu lain. Ada juga dimasukkan ke dalam nasi lemak dan nasi putih biasa untuk membangkitkan aroma halba pada nasi. 

Untuk memaksimakan penggunaan halba bagi tujuan perubatan, ia boleh dijadikan sebagai teh, yakni halba dipanaskan di dalam air dan diminum. Minum air rebusan halba dan biji halba yang telah lembut itu.

Halba juga boleh dimakan 'mentah' atau dimakan terus, tetapi sedikit keras. Halba juga boleh digoreng tanpa minyak dan disimpan untuk digunakan sedikit-sedikit dengan dicampur air panas.

Memang amat baik diamalkan pengambilan halba setiap hari atau pada masa-masa lain. Harga halba dikira agak murah dan mudah disimpan. Boleh digunakan untuk pelbagai menu masakan dan dijadikan perisa minuman.

Halba kaya dengan serat, protin, karbohidrat, zat besi, mangan dan magnesium. 
 
Antara manfaat mengamalkan halba ialah:
- Melancarkan haid
- Menghilangkan kembung, sebu dan senak
- Pencuci perut
- Menguatkan jantung
- Menghilangkan lender tekak
- Melegakan sakit kepala/ migraine
- Membuang angin
- Menyembuhkan buasir
- Senggugut
- Merangsang rahim
- Mengelak kegemukan
- Mengurangkan berat badan
- Mengawal kencing manis
- Radang kulit dan bisul
- Meningkatkan nafsu seksual.
- Tingkat daya kecerdasan otak.
- Tingkat daya kercergasan fizikal.
- Menambah susu badan ibu.
- Menguatkan tulang
- Menurunkan kolestrol.

Cara pengambilan:

Teh halba:
- Dua sudu besar halba.
- Direndam dalam air panas.
- Minum air rendaman (teh halba) itu apabila sejuk.
- Boleh diulang tambah air sehingga tawar.
- Makan halba apabila telah lembut.
- Boleh juga direbus sehingga lembut dan boleh terus makan halba bersama airnya.

Masukkan dalam masakan atau nasi.
- Kuantiti bergantung kepada citarasa.

Serbuk halba.
- Bacuh dalam air suam dan terus minum. 

Biji buah star berwarna kundang

Buah kundang juga dikenali dengan beberapa nama seperti buah setar, buah temia, buah rembunia, buah kemior dan buah ghemia. 

Nama saintifik buah kundang ialah Bouea macrophylla dari family Anacardiaceae. Pokok ini tumbuhan asal Malaysia dan di kebanyakan negara Asia.

Mungkin kerana bijinya berwarna ungu ia dipanggil buah kundang. Ada juga yang menyebut warna ungu itu warna biji kundang. Betullah tu, biji dia memang warna kundang pun. 

Buah kundang juga dikenali dengan pelbagai nama seperti Ma Prang (Thailand), ramania atau gandaria (Indonesia), mayun thee (Burma) dan thanh tra (Vietnam).

Pokok buah kundang berkanopi besar yang boleh mencecah ketinggian sehingga 18 meter. Boleh dibiak menggunakan biji benih atau cantuman mata tunas. Pokok kundang ada dua jenis mengikut ukuran duannya iaitu berdaun kecil dan besar.

Pembiakan menggunakan biji benih memakan masa 6-8 tahun untuk berbuah dan 4-5 tahun jika dibiak menggunakan mata tunas.

Buah kundang berbentuk bulat hingga lonjong berwarna hijau ketika muda dan bertukar kepada warna kuning atau orange apabila matang.

Buah kundang kaya dengan serat dan berjus dan dimakan segar bersama kulitnya sekali apabila matang dengan rasa masam-masam manis bergantung kepada varieti.

Buah yang muda juga digemari dan dimakan segar tetapi agak masam, namun lebih enak dicampur dengan sambal belacan, ditambah dalam rojak atau dijadikan jeruk. Daun muda pokok buah kundang juga boleh dijadikan ulam.

Buah kundang berukuran 3-4 cm dan terdapat satu biji yang berwarna purple atau disebut warna ‘biru biji kundang’ yang juga boleh dimakan. Buah kundang kaya dengan kandungan Vitamin A, C dan serat.

Apa yang pasti buah kundang tergolong dalam kategori buah nadir yang jarang ditemui lagi kini di Malaysia, tetapi bagi negara Thailand buah ini telah mula dikomersilkan dengan menonjolkan varieti yang lebih baik dan manis.

Kebaikan aktiviti berbasikal

Aktiviti berbasikal semakin mendapat sambutan semua peringkat umur. Selain untuk tujuan riadah dan santai, aktiviti berbasikal menjanjikan kebaikan yang pasti menarik minat golongan tua. Kajian pasukan saintis Britain mendapati aktiviti berbasikal boleh melambatkan kesan penuaan dan 'meremajakan' sistem imun.

Menurut portal mirror.co.uk, pasukan saintis melakukan ujian ke atas 125 penunggang amatur berusia antara 55 hingga 79 tahun dan membandingkannya dengan orang dewasa yang sihat dari kumpulan umur yang tidak bersenam secara berkala.

Penemuan menunjukkan bahawa para penunggang basikal memelihara jisim otot dan kekuatan dengan usia sambil mengekalkan tahap lemak serta kolesterol yang stabil.

Lebih menarik lagi, kesan anti-penuaan daripada aktiviti berbasikal turut menguatkan sistem imun.

Satu organ dikenali sebagai thymus yang menghasilkan sel-sel imun dipanggil sel T biasanya mula mengecut selepas usia 20 tahun tetapi organ berkenanan pada penunggang yang lebih tua didapati banyak menjana sel T seperti orang muda.

Pengarah Institut Keradangan dan Penuaan University of Birmingham, Profesor Janet Lord berkata, penemuan tersebut merupakan bukti kukuh yang dapat menggalakkan orang ramai untuk melakukan senaman secara teratur sepanjang hidup mereka untuk kekal sihat.

“Aktiviti berbasikal memberi banyak manfaat kepada kesihatan individu. Tubuh mereka dibenarkan untuk melewati usia dengan lebih optimum, bebas daripada penyakit yang biasanya disebabkan oleh masalah tidak aktif.

“Jika dikeluarkan aktiviti berbasikal itu daripada rutin harian mereka, tahap kesihatan mereka mungkin akan merosot,” jelasnya.

Penunggang basikal lelaki yang mengambil bahagian dalam kajian itu perlu berkayuh sejauh 100 kilometer di bawah 6.5 jam, manakala wanita pula sejauh 60 kilometer dalam masa 5.5 jam.

Kumpulan tidak bersenam terdiri daripada 75 orang yang sihat berusia antara 57 hingga 80 tahun, dan 55 orang dewasa muda berumur antara 20 hingga 36 tahun.

Penyelidikan tersebut dilaporkan dalam dua kertas kerja yang diterbitkan dalam jurnal Aging Cell.

Mangsa mercun insaf

Hanya mangsa yang cedera akan insaf dan serik untuk bermain mercun, yang lain bagaikan terlupa nahas menanti mereka yang tidak bernasib baik semasa bermain dengan bahan letupan bermusim itu.
   
“Saya dah serik dan nasihatkan jangan bermain mercun, kerana ia akan menyebabkan kita menanggung sesalan seumur hidup," kata mangsa letupan mercun Aziz Abu (bukan nama sebenar). 
   
Aziz hilang empat jari tangan kanan, akibat terkena serpihan mercun bola yang diubah suai bersama rakannya ketika menyalakan bahan letupan itu di kawasan lapang. 
      
Pihak media massa boleh dikatakan setiap hari menghebahkan bahaya bermain mercun dengan memaparkan mangsa yang menjadi buta, jari jemari hancur dan tangan terpaksa dipotong, yang akhirnya mangsa kekal cacat seumur hidup, namun masih lagi kedengaran letupan mercun di sana sini.
    
Selain mercun buatan sendiri, mercun bola sudah banyak mencederakan mangsanya kerana pemainnya mengemari kerana bunyi yang kuat dan mudah didapati yang dipercayai diseludup dari negara jiran.
  
Memandangkan kanak-kanak dan remaja begitu ramai bermain dengan bahan letupan yang menjadi bahan larangan oleh kerajaan, persoalannya sejauhmana tanggungjawab ibu bapa dalam mengawasi anak-anak daripada bermain mercun?.
   
Bagaimana pula dengan masyarakat sekeliling, sudah hilangkah amalan tegur menegur, nasihat menasihati anak-anak sekampung dan setaman perumahan, agar jangan bermain dengan mercun?
   
Sedang umat Islam khusyuk menunaikan ibadat tarawih selepas berbuka puasa, dilihat menjadi kebiasaan ketenangan solat diganggu bunyi letupan mercun yang dimainkan kanak-kanak yang sudah menjadi tabiat mereka berkumpul di luar surau semasa golongan dewasa menunaikan solat.
   
Bagi pihak yang prihatin, nasihati mereka bagaikan "masuk telinga kanan keluar telinga kiri" kerana kes yang bertali arus dan polis sendiri tidak menafikan ada kes yang tidak dilaporkan kepada pihaknya.
   
Seorang tokoh masyarakat, bimbang dengan peningkatan bilangan mangsa, menasihati ibu bapa supaya tidak membiarkan anak mereka membeli dan bermain mercun terutama pada musim perayaan ini.
   
Beliau berkata bermain bahan letupan berbahaya itu bukan budaya Melayu dan boleh menyebabkan kecederaan dan maut.
   
"Anggota badan kita ni amanah Allah, jangan bagi jadi kudung tak pasal-pasal. Oleh kerana budaya kita sekarang ni masih lagi (terikut-ikut) budaya penjajah tidak bertuan kepada Allah tetapi bertuankan kepada nafsu, maka kita masih lagi meneruskan budaya anak-anak kita membeli mercun.
   
"Nasihat saya, jangan bagi peluang sekali-kali kepada anak kita beli mercun. dia nak beli coklat beri, nak beli kuih bui (beri), nak beli baju raya pun bui, beli mercun jangan sekali-sekali," katanya. 
   
Setakat mana yang kita ingati, mercun dan bunga api sudah menjadi kemestian pada musim perayaan utama seperti Hari Raya dan Tahun Baru Cina walaupun usaha dijalankan pihak berkuasa untuk membanterasnya yang kini sudah menjadi ancaman.
   
Walaupun pihak berkuasa terus meningkatkan pemantauan dan kawalan terutama di kawasan sempadan Malaysia-Thailand, namun masih lagi kedengaran di merata tempat letupan mercun yang pelbagai bunyi terutama di waktu malam.
   
Mereka yang melakukan kesalahan berkaitan boleh didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan dan Kakisan 1957 yang membawa denda sehingga RM10,000 atau penjara tujuh tahun atau kedua-duanya.
   
Peniaga yang tamak mengaut keuntungan secara bermusim itu, eloklah dikenakan hukuman yang berat supaya menjadi pengajaran kepada peniaga lain daripada menjual bahan letupan yang boleh mencacatkan atau membunuh anak bangsa sendiri.
    
Maka eloklah ibu bapa dan masyarakat menggunakan pendekatan mendidik anak-anak supaya menjauhkan diri daripada bermain mercun dan bunga api manakala bagi perantau yang pulang ke kampung halaman janganlah sampai "taja" mercun dan bunga api untuk memeriahkan suasana.
  
Kita menyambut Aidilfitri ini sebagai tanda kemenangan menjalani ibadah puasa selama sebulan dan jangan cemari ia dengan tangisan  kanak-kanak yang cedera akibat bermain mercun.

Wednesday 23 May 2018

Akibat tidak malu membuat dosa

Terdapat individu tidak malu melakukan perbuatan jahat disebabkan tidak memahami bahawa perbuatan itu menyalahi syariat. Individu berkenaan dipanggil jahil dalam agama dan perlu dibimbing agar tidak mengulangi kesalahan yang telah dilakukan itu.

Biasanya golongan muda mudah terpengaruh dengan perbuatan dosa atas alasan hidup alam muda untuk bersuka-ria dan menikmatinya sebelum usia tua. Mereka mendakwa akan bertaubat dan melakukan kebaikan apabila usia tua.  

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Apabila seseorang menyertakan keghairahan atau tarikan berahi kepada setiap perkara yang dilakukan, ia akan menjadi keburukan, dan apabila malu disertakan dalam setiap perbuatan ia akan menjadi indah.” (Hadis riwayat Tirmizi).

Dewasa ini terlalu banyak orang semakin ‘tidak malu’ melakukan perkara bertentangan dengan tuntutan agama. Perbuatan yang dilakukan tidak melambangkan kematangan fikiran dan kedudukan yang sepatutnya dijaga. 

Amat malang apabila pemimpin politik, pegawai tinggi kerajaan dan orang ternama terjebak melakukan perbuatan tidak bermoral seperti berzina, rasuah dan salah guna kuasa.

Setelah perbuatan buruk mereka didedahkan kepada umum, baru timbul perasaan malu. Kita dapat lihat bagaimana orang yang dihadapkan ke mahkamah akan cuba mengelak wajah mereka dirakamkan pihak media agar perbuatan salah itu diketahui umum.  

Malah ada si dituduh memohon perintah mahkamah agar media tidak membuat liputan perbicaraan yang melibatkan dirinya. Petugas media dihalang oleh ahli keluarga atau rakan si dituduh daripada menjalankan tugas membuat liputan. Kerapkali perbuatan ini menimbulkan keadaan kecoh dan tegang sehingga memaksa pihak keselamatan campur tangan. 

Alangkah eloknya, jika perasaan malu itu lahir sebelum si dituduh melakukan perbuatan buruk itu. Perasaan mulu dari awal akan mendatangkan kesedaran dan keinsafan agar menghindarkannya daripada perbuatan buruk itu. Tindakan bijak itu dapat menyelamatkan maruah diri daripada tercalar.

Malu tanda keimanan

Perasaan malu perlu disuburkan bukan setakat sesama manusia. Malah lebih penting perasaan malu itu ditujukan kepada Allah SWT. Muslim sejati tidak akan melakukan sebarang perbuatan yang ditegah, sama ada secara terang atau sembunyi. Malu melakukan perkara ditegah sebagai tanda keimanan.

Diriwayatkan oleh Baihaqi bahawa Rasulullah bersabda bermaksud: “Malu dan amanah adalah perkara yang mula-mula sekali hilang dari dunia ini, sebab itu mintalah dengan Allah untuk kedua-duanya.”

Orang yang beriman yakin setiap apa yang dilakukan olehnya adalah dalam pengetahuan Allah SWT dan tidak dapat disembunyikan daripada-Nya. Sebab itu sama secara terang maupun sembunyi, dia tidak akan melakukan apa-apa perbuatan yang memalukan.      

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Malu itu datangnya daripada keimanan, dan iman itu membawa ke syurga. Dan sebaliknya adalah membawa kepada neraka.” (Hadis riwayat Bukhari).

Perasaan malu mempunyai kaitan secara langsung dengan ketakwaan. Muslim yang patuh kepada larangan Allah SWT memperlihatkan tahap ketakwaan yang tinggi. Dia malu melakukan perbuatan dosa sebagai mematuhi larangan Allah SWT.

Marilah kita semua menghiasi diri dengan perasaan malu sebagai lambang kepada keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT. Manfaat daripada sifat malu diperoleh ketika hidup di dunia dan akhirat. 

Di dunia ini orang yang bersifat malu tidak akan ditimpa kehinaan disebabkan dirinya sentiasa menjauhi daripada pebuatan yang menyebabkan dipandang hina. Sedangkan di akhirat nanti pula dirinya mendapat pembalasan sebaik-baiknya daripada Allah Yang Maha Pembalas dan Maha Adil. 

Firman Allah SWT dalam surah an-Najm ayat 39 - 41 bermaksud: “Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakan. Dan bahawa sesungguhnya usahanya itu akan diperlihatkan (kepadanya pada hari kiamat kelak). Kemudian usahanya itu akan dibalas dengan balasan yang amat sempurna.”

Tuesday 22 May 2018

Zakat fitrah pelangkap puasa

Zakat fitrah menjadi pelengkap kepada kesempurnaan ibadat puasa. Ibadat puasa tanpa sempurna zakat fitrah adalah ibadat yang cacat, tidak layak diangkat sebagai ibadat orang bertakwa.

Zakat fitrah juga berbeza berbanding zakat harta, zakat ternakan, zakat perniagaan, zakat galian, zakat simpanan dan zakat pertanian yang mana hanya diwajibkan kepada yang memiliki sejumlah hasil agak banyak. 

Zakat fitrah diwajibkan kepada semua individu Muslim, tidak kira kecil, miskin maupun hamba. Zakat fitrah bukan hanya diwajibkan kepada golongan kaya seperti difahami kebanyakan orang.

Ini jelas membuktikan kepentingan zakat fitrah kepada setiap Muslim dan seluruh masyarakat yang mendapat manfaatnya. Sesungguhnya kefarduan zakat fitrah menguji ketakwaan dan keikhlasan yang tiada tandingannya. 

Tanpa menunaikan zakat fitrah, diri seseorang masih dalam keadaan tidak bersih sepenuhnya. Sebab itu fitrah bererti suci bersih. 

Zakat fitrah wajib ditunaikan bagi setiap orang yang dikira masih mempunyai makanan mencukupi untuk diri dan tanggungannya pada hari Aidilfitri.

Kefarduan zakat fitrah turut menyenaraikan golongan miskin wajib menunaikan bagi dirinya dan juga tanggungannya. Hanya golongan fakir, yakni golongan paling miskin yang tidak mempunyai bekalan makanan untuk dimakan pada keesokannya tidak diwajibkan membayar zakat fitrah.

Amat jelas sekali kefarduan zakat fitrah memerlukan pengorbanan yang amat tinggi, terutama di kalangan orang miskin. Pada kebiasannya, golongan miskin menjadi kelompok utama menerima zakat, sedekah dan bantuan, tetapi bagi zakat fitrah mereka turut menjadi golongan memberi.

Di sebalik kefarduan zakat fitrah memperlihatkan betapa Islam amat mementingkan kepada pembinaan ummah yang sejahtera, tidak mementingkan diri, serta kepatuhan kepada hukum biarpun dalam keadaan kurang mampu.

Ketika kita merasa kurang mampu, mungkin ada orang lain yang lebih memerlukan daripada kita. Sikap sanggup berkorban untuk membantu orang yang lebih daif daripada kita amat mulia. 

Untuk melahirkan ummah yang kuat dan berpadu hendaklah menjauhkan sikap mementingkan diri. Melalui kefarduan berzakat fitrah diharapkan perpaduan umat Islam berada dalam keadaan lebih kukuh dan padu, lebih-lebih lagi ketika menyambut Aidilfitri yang menjadi lambang kejayaan melawan hawa nafsu.

Ingatlah, kegembiraan menyambut Aidilfitri tidak lengkap selagi tidak melaksanakan zakat fitrah untuk diri sendiri dan orang di bawah tanggangan. Berzakat fitrahlah untuk menyempurnakan Ramadan dan ibadat puasa.

Berpecah kerana ingin tunjuk lebih mulia

Wujudnya perpecahan di kalangan umat Islam adalah disebabkan kumpulan-kumpulan kecil yang cuba menonjolkan diri bahawa mereka yang lebih benar, lebih mulia dalam memperjuangkan Islam yang suci sehingga memusuhi pemimpin seagama dan sanggup berkawan dengan musuh Islam yang nyata dan jelas.

Perkembangan mutakhir ini amat menyedihkan dan membimbangkan. Umat Islam berpecah kerana ada kelompok cuba menegakkan sesuatu yang bertentangan dengan Ahli Sunnah wal-Jamaah sehingga meninggalkan perpaduan sesama Islam. 

Fahaman liberal semakin marak yang diperjuangkan kelompok mengaku profesional.  

Perlembagaan negara telah memberikan kedudukan istimewa kepada agama Islam dan ia harus dijaga dan tidak boleh membiarkan sama sekali orang lain mengganggu gugatnya. 

Perpecahan menyebabkan kuasa dan kedudukan Islam tergugat. Dalam keadaan lemah, akan ada musuh Islam ambil kesempatan. 

Perpaduan sesama umat Islam amat penting. Biar apa pun perbezaan ideologi politik marilah kita bersatu kembali dan lupakan persengketaan, kembali kepada kepada perintah Allah SWT bahawa hendaklah kamu sentiasa memperbaiki saudara-saudara kamu.

Ibadat korban bukti ketaatan melaksanakan perintah Allah

Pengajaran korban terbesar ialah apa yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail. Demi memenuhi suruhan Allah SWT, Nabi Ibrahim sanggup mengorbankan anak yang tersayang, Nabi Ismail yang diharapkan untuk menjadi tempatnya bergantung pada hari tua dan meneruskan tugas-tugas menyeru manusia mentauhidkan Allah SWT.   

Allah SWT memberi mimpi kepada Nabi Ibrahim agar menyembelih anaknya. Mimpi yang berlaku berturut-turut itu diyakini dan difahami oleh Nabi Ibrahim tentang apa yang perlu dilakukan olehnya. Biarpun perintah itu amat berat, namum Nabi Ibrahim reda melakukan demi membuktikan ketakwaannya.  

 
Lebih memilukan apabila berita itu disampaikan kepada Nabi Ismail, anaknya itu dengan penuh reda menerima suruhan Allah SWT itu. Bahkan, Nabi Ismail beriya-iya benar agar suruhan itu dilaksanakan dengan segera.   


Allah SWT merakamkan kisah ketika Nabi Ibrahim menyampikan perintah Allah SWT kepada Nabi Ismail dan apa yang dijawab oleh Nabi Ismail. 


Firman Allah SWT bermaksud: “Wahai anakku! Sesungguhnya aku bermimpi di dalam tidurku aku diperintah menyembelih engkau, bagaimanakah pendapatmu? Jawab Ismail: “Wahai ayahku, laksanakanlah apa-apa yang diperintahkan oleh Allah kepadamu.” (Surah ash-Shaffat, ayat 102).


Ketaatan dan keikhlasan dua beranak itu memberi pengajaran yang amat mendalam tentang istilah dan tuntutan korban. Melakukan korban bukan perkara mudah dan sekadar suka-suka.


Apakah yang lebih disayangi di dunia ini melainkan anak? Bapa sanggup berkorban apa sahaja, termasuk nyawanya sendiri demi membesarkan seorang anak. Tetapi, Nabi Ibrahim melakukan sebaliknya. Anaknya bakal terkorban di tangannya sendiri.


Begitu juga tidak ada yang paling ditakuti oleh manusia di dunia ini melainkan maut. Namun, Nabi Ismail pula tidak sabar-sabar untuk menemui maut semata-mata kerana ingin melaksanakan suruhan Allah SWT.


Iblis berusaha keras mengganggu upacara korban itu dengan membisikkan keraguan di mereka agar membatalkan melakukan korban.


Simbolik Nabi Ibrahim melontar iblis dengan batu daripada mengganggu tugasnya melakukan korban diterjemahkan dalam perbuatan jamaah haji melantor di tiga buah Jamrah ketika berada di Mina.


Sesungguhnya Allah SWT tidak akan mendatangkan kerugian kepada hamba-Nya yang benar-benar melakukan korban. Allah SWT menggantikan Nabi Ismail dengan seekor kibas yang baik, didatangkan dari syurga ketika mana Nabi Ibrahim telah hampir melaksanakan korban terhadap anaknya.


Dari peristiwa korban Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail itu, maka dijadikan asas kepada ibadat korban yang diadakan pada setiap menyambut ketibaan Aidiladha.