Thursday, 20 July 2017

Banyak juga penganut Islam di Malaysia bukan orang Melayu

Tiada Perkara dalam Perlembagaan Persekutuan menetapkan seseorang Islam di Malaysia mesti Melayu. Tetapi ada Perkara menetapkan seorang Melayu mesti Islam. Perkara 160 (2) Perlembagaan Persekutuan memperincikan definisi 'Melayu' sebagai seseorang yang beragama Islam, mengamalkan adat dan budaya Melayu, melazimi pertuturan dalam bahasa Melayu dan a) lahir sebelum Hari Merdeka, di Persekutuan atau di Singapura, atau ibu atau bapanya telah lahir di Persekutuan, atau pada hari Merdeka itu, ia adalah berdomisil di Persekutuan atau Singapura; atau b) ia adalah keturunan seseorang yang tersebut. 

Dengan kata lain, adalah salah untuk mengkhususkan perspektif Islam di Malaysia hanya dari sudut 'kemelayuan' semata-mata. Ini kerana, penganut Islam di Malaysia bukan hanya terbentuk daripada kelompok Melayu sahaja.

Berdasarkan laporan Banci Penduduk dan Perumahan 2010 (Banci dijalankan setiap 10 tahun sekali), meskipun Melayu menjadi kelompok majoriti dengan mewakili 50.4 peratus daripada keseluruhan 28,908,795 penduduk Malaysia, namun harus diingat peratus penduduk beragama Islam di Malaysia ialah 60.4 peratus.

Dalam kata lain, terdapat 10 peratus atau 2.9 juta rakyat Malaysia dari kalangan umat Islam yang bukan berbangsa Melayu. Atau dalam kata lebih mudah, bagi setiap enam orang Muslim di Malaysia, satu daripadanya adalah bukan Melayu.

Justeru, perbincangan mengenai Islam di Malaysia tidak wajar dieksklusifkan dari perspektif Melayu sahaja.

Islam perlu diterjemahkan dalam bentuk yang lebih inklusif menjangkau sempadan perkauman sesuai dengan sifatnya sebagai rahmat kepada sekalian alam.

Namun, tidak dinafikan Melayu dan Islam itu amat rapat di Malaysia. Kebanyakan orang Islam bukan keturunan Melayu pada dasarnya sudah kelihatan seperti orang Melayu. 

Mereka hidup dalam masyarakat Melayu sesuai dengan saudara seagama. Perhubungan dalam hal-hal keagamaan dan melakukan amalan yang sama berkaitan Islam menjadi mereka seperti Melayu. Tambahan, Melayu yang ada pada hari ini pada hakikatnya bukan Melayu jati.  Mereka memenuhi Perkara 160 (2) Perlembagaan Persekutuan untuk menjadi Melayu, sedangkan bukan keturunan Melayu asli. Inilah uniknya Melayu.

Kembali kepada isu bukan Melayu yang memeluk Islam menjadi seperti Melayu memang tidak dapat dinafikan. Lebih-lebih lagi apabila mereka berkahwin dengan pasangan Melayu. Mereka akan hidup dalam keluarga Melayu. Jadi segala yang berkaitan dengan Melayu akan menjadi sebahagian daripada indentiti mereka. Pun mereka lebih dikenali sebagai mualaf.

Mungkin, fakta itulah yang menyebabkan orang beranggapan memeluk Islam itu sebagai masuk Melayu. Bangsa tidak boleh ditukar. Seseorang yang dilahirkan sebagai sesuatu kaum akan kekal sehingga ke akhir hayat.  

Istilah masuk Melayu tidak sesuai digunakan. Orang Cina atau kaum lain yang peluk Islam tidak perlu menukarkan budaya kaum, melainkan yang bertentangan dengan agama Islam. Begitu juga dari segi, hubungan kekeluargaan. Hubungan anak dan ibu bapa serta adik beradik lain tidak putus semata-mata ada di antara mereka memeluk Islam. Islam pentingkan persaudaraan dan ukhwah.  

Justeru, anak yang memeluk Islam masih perlu taat pada ibu dan bapanya walaupun berlainan agama selama dia tidak dipaksa melakukan perkara dosa. Malah, Islam membenarkan ibu bapa yang berlainan agama itu tinggal bersama dengan anak yang telah memeluk Islam. Begitu moleknya Islam. 

Takwa dan keimanan menjadi tonggak menjadi Islam sejati. Islam menjadi panduan dan pedoman hidup. Kita tidak akan sesat selagi mengikut ajaran Islam yang benar dan lurus.

Jadi, tidak ada alasan tidak atau terhalang memeluk Islam kerana kasih kepada ibu bapa. Kasih terhadap ibu bapa tidak berkurang kerana berlainan agama. Islam mementingkan hormat kedua ibu bapa.   

No comments:

Post a Comment