Saturday, 7 October 2017

Cara selesai konflik suami isteri

Berkahwin dianggap mendirikan masjid. Sebab itu, perkahwinan mesti dipertahankan dan berada dalam keadaan aman. Perkara yang boleh menyebabkan perceraian mesti dihalang kerana perceraian adalah perkara halal yang paling dibenci Allah. Terdapat kaedah atau cara boleh dilakukan untuk mengelak konflik dalam rumahtangga.

Muhasabah diri. Masalah suami isteri biasanya berpunca sikap ego dan menyalahkan pasangan masing-masing.

Perkara ini dapat dielakkan jika masing-masing menilai diri sendiri sebelum menyalahkan pasangan. Sikap menyalahkan pihak lain tidak akan menyelesaikan masalah, bahkan menjadi semakin kusut. Adalah lebih baik jika kita terlebih dahulu melihat kelemahan darlam diri sendiri dulu.

Konflik rumahtangga dapat diatasi jika kita melihat kembali matlamat mendirikan rumahtanggga. Kebahagiaan yang ingin dikecapi tidak sepatutnya dirosakkan oleh sedikit masalah. 

Berusaha menerima kekurangan atau kelemahan pasangan adalah satu cara terbaik untuk menghentikan sebarang konflik yang timbul. Sedarlah tidak ada manusia yang sempurna. Justeru, suami isteri perlu menerima kekurangan atau kelemahan masing-masing dan anggaplah itu satu pengorbanan yang perlu dilakukan untuk memastikan kebahagiaan rumahtangga dapat dikekalkan.

Dalam semua masalah yang timbul, amalan nasihat menasihati amat penting. Kita tidak dapat melihat keseluruhan masalah dan jalan penyelesaiannya dengan sendiri, melainkan ada orang lain yang dapat memberi nasihat.

Penasihat paling hampir tentulah dari pasangan sendiri. Maksudnya di sini ialah jika masalah berpunca dari suami, maka isteri patut memberi nasihat. Manakala jika isteri pula yang menjadi punca masalah, sudah tentu suami yang memberi nasihat. Usaha nasihat menasihati perlu dilakukan secara berhemah agar tidak timbul salah faham.

Tindakan suami meninggalkan tempat tidur adalah juga sebahagian dari satu bentuk nasihat untuk mengingatkan isteri telah melakukan sesuatu yang tidak disukai suami. Begitu juga isteri boleh menunjukkan sikap 'merajuk' sebagai satu tanda tidak puas hati apa yang telah dilakukan oleh suami. Tindakan-tindakan itu perlu dilakukan secara terkawal atau perasaan yang bertujuan mencari kebaikan, dan bukannya untuk mencetuskan konflik lebih buruk.

Pengalaman adalah guru kehidupan. Pasangan perlu menjadikan pengalaman yang dialami dulu sebagai cara untuk menyelesaikan konflik. Biasanya konflik berlaku secara berulang-ulang dan tentunya juga cara penyelesainnya juga sama. 

Maka, pasangan perlu menggunakan pengalaman untuk menyelesaikannya. Selain, pengalaman sendiri, pengalaman daripada orang lain atau melalui pembacaan juga boleh dijadikan sumber untuk menyelesaikan masalah.

Konflik yang sukar diselesaikan memerlukan campurtangan pihak lain untuk menyelesaikannya. Pun perlu diingatkan, pihak yang dirujuk itu hendaklah boleh dipercayai dan berniat untuk menolong mencari penyelesaian. Perkara ini dibangkitkan kerana ada pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan untuk lebih mengusutkan keadaan.

Keluarga adalah sumber terdekat untuk mendapat nasihat. Mereka lebih berpengalaman dan lebih mengetahui masalah yang berlaku. Nasihat yang diberikan lebih sesuai dan mereka turut mengharapkan agar masalah itu dapat diselesaikan. Selain nasihat, mereka juga boleh menghulurkan bantuan lain yang menjadi punca kepada konflik rumahtangga itu.

Dalam kes yang telah rumit dan memerlukan bantuan pihak luar, penggunaan hakam atau pengantara perlu digunakan. Kaedah ini yang mana pihak isteri dan suami masing-masing menghantar wakil untuk berbincang. 

Hakam diberi penjelasan mengenai konflik yang berlaku dan memberi hak untuk hakam membuat keputusan yang terbaik, tanpa boleh dibantah oleh mana-mana pihak kerana menganggap hakam seperti dirinya sendiri. 

Penggunaan pakar kauseling adalah satu langkah yang semakin digunakan. Kaunselor bertanggungjawab mendengar dan kemudian berdasarkan kepada pengalaman atau kaedah yang difikirkan sesuai mencadangkan sesuatu tindakan yang wajar dilakukan.  

Khidmat kaunselor boleh diguanakan secara bersama di mana suami dan isteri bersemuka serentak dengan atau mereka bertemu secara berasingan. Khidmat kauseling memberi kita pilihan untuk mengambil tindakan yang positif ke arah menyelesaikan konflik yang wujud.

Menggunakan saluran undang-undang dianggap langkah terakhir untuk menyelesaikan masalah konflik rumahtangga. Biarpun, disebut undang-undang, hakikatnya ia adalah berdasarkan kepada hukum fikah yang diamalkan dalam Islam, tetapi dijadikan enekmen atau akta bagi membolehkan ia dilaksanakan secara undang-undang.

Suami isteri secara bersama atau mana-mana pihak boleh mengadu kepada pihak mahkamah syariah atau kadi. Kadi biasanya pada peringkat awal akan memberi nasihat secara terus. Pasangan diberi tempoh untuk berfikir dan kembali hidup aman.

Sekiranya nasihat kadi tidak memberi kesan, maka tindakan selanjutnya biasanya melibatkan perlantikan hakam. Ia satu kaedah rasmi dan tertakluk kepada undang-undang. Hakam itu dari kalangan ahli keluarga kedua-dua pihak atau sesiapa yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

Hakim berkuasa untuk mengarahkan kepada isteri kembali taat kepada suami. Jika isteri masih ingkat taat, maka dia akan kehilang hak-hak sebagai isteri seperti hak nafkah, jika berlaku perceraian akan hilang hak nafkah edah, hilang hak menggunakan taklik suami dan beberapa perkara lain yang sepatutnya ditunaikan oleh suami terhadap isteri.

No comments:

Post a Comment