Islam mengharamkan meminum arak kerana
ia bahan yang memabukkan. Sesungguhnya semua bahan yang memabukkan atau
menghilangkan fungsi otak (biarpun sementara) adalah diharamkan. Pengharaman
itu membabitkan pengambilan sama ada melalui mulut (makan, minum atau sedut)
serta cara lain seperti suntikan.
Jenis arak yang diharamkan meliputi
semua jenis sama ada yang dibuat secara kimia yang diproses segera memasukkan
unsur alkohol di dalam air biasa, atau yang diproses secara biologi (diperam
atau dibiarkan lama) yang menukarkan sifat sesuatu bahan kepada bersifat
memabukkan.
Arak dari jenis biologi ialah air
tapai beras, nira kelapa, nira nipah, perahan anggur dan pelbagai jenis perahan
buah-buahan lain. Asalnya air itu harus diminum, tetapi bertukar menjadi haram
apabila sifatnya bertukar menjadi sesuatu yang boleh memabukkan.
Para ulama mengambil ketetapan
mengatakan arak yang diharamkan tidak kira bagaimana ia dibuat atau dihasilkan.
Ini bertepatan dengan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Setiap yang
memabukkan itu adalah haram.” (Hadis riwayat Muslim)
Biarpun arak hanya memabukkan jika diminum
dengan kuantiti yang banyak atau ada individu yang sukar mabuk disebabkan sudah
lali, ia tidak mengubah hukum haram meminum arak biarpun sedikit, hatta setitik.
Setiap yang haram tetap haram
biarpun dalam kuantiti sedikit. Seperti mana berjudi tetap haram sekalipun
hanya bertaruh beberapa ringgit. Begitu juga tetap haram menerima rasuah yang
bersifat secawan kopi.
Jadi, tidak ada alasan untuk
mengatakan tidak haram minum arak jika diminum sedikit sahaja atau selagi tidak
mabuk. Islam menegah sesuatu perbuatan yang mendatangkan keburukan biarpun keburukan
itu belum berlaku. Langkah itu adalah bertujuan mencegahnya secara keseluruhan
dan memberi peringatan supaya menjauhkan dalam keadaan apa sekalipun.
Perkara ini ditegaskan dalam sabda
Rasulullah SAW yang bermaksud: “Apa saja yang memabukkan, maka pada sedikitnya
juga adalah haram.” (Hadis riwayat Ahmad, Abu Daud dan Ibnu Majah)
Mencegah dari awal adalah langkah
terbaik untuk tidak terlibat dengan pengaruh arak. Orang Islam yang mengaku
beriman dengan Allah dan Rasul-Nya pasti akan menjauhkan semua perkara yang
ditegah. Perkara ini dapat kita ambil iktibar bagaimana para sahabat Rasulullah
boleh berhenti tabit minum arak disebabkan mematuhi perintah agama.
Orang Arab Jahiliyah sebelum
kedatangan Islam menjadikan arak satu keperluan harian. Mereka menganggap arak tonik
yang memberi banyak keistimewaan hingga mendorong melakukan pelbagai tindakan
yang tidak mungkin dilakukan semasa dalam keadaan normal.
Meminum arak juga dijadikan lambang
status yang mana hanya golongan berada dapat menikmati hidangan yang menjadi
kemegahan itu. Mereka minum pada awal pagi sebagai meraikan ketibaan hari baru
yang bakal berdepan dengan cabaran hidup baru, dan pada sebelum petang atau
awal malam pula mereka minum untuk menyatakan kegembiraan sepanjang hari dan melupakan
segala masalah atau penat pada siang hari.
Malah, masyarakat Arab Jahiliyah
menganggap arak sebagai ubat dalam menangani beberapa gejala penyakit. Sebab
itu, pada peringkat awal ada individu yang baru memeluk Islam cuba memberitahu Rasulullah
SAW dengan mengatakan arak adalah ubat.
Namun Rasulullah SAW menyatakan
sebaliknya dengan bersabda yang bermaksud: “Ia bukan ubat, bahkan arak
sebenarnya punca kepada penyakit.” (Hadis riwayat Muslim). Dalam hadis lain
yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak akan menjadikan ubat pada sesuatu
yang diharamkan ke atasmu.” (Hadis riwayat Bukhari).
Disebabkan betapa kuatnya ‘kuasa’
arak dalam masyarakat Arab Jahiliyah, maka Islam tidak terus mengharamkan arak
kepada mereka yang baru memeluk Islam pada ketika itu.
Kata-kata Aisyah, isteri Rasulullah SAW
yang dipetik oleh Imam Bukhari iaitu: "Sekiranya al-Quran mula-mula
memberitahu orang Arab supaya jangan meminum khamar (arak) dan tidak berjudi
serta melakukan perzinaan, mereka akan berkata; "tidak, kami tidak akan
patuh."
“Al-Quran terus menyampaikan ke
dalam hati mereka rasa takut dan kasih kepada Allah. Cerita kehidupan selepas
mati, mengenai syurga dan taman indah bagi sesiapa yang patuh, seksaan api
neraka bagi yang ingkar sehingga hati mereka menjadi lembut, selepas itu mereka
diperintahkan berhenti daripada meminum arak, melakukan perzinaan dan berjudi
dan mereka mematuhinya.”
Orang Islam mula bertanyakan perihal
arak seperti dinyatakan oleh al-Quran dalam surah al-Baqarah ayat 219 yang
bermaksud: "Mereka bertanya kepadamu khamar (arak) dan judi. Katakanlah
pada keduanya dosa besar dan beberapa manfaat bagi manusia. Tetapi dosa
keduanya lebih besar daripada manfaatnya."
Ayat itu menjelaskan kedudukan arak
yang sebenarnya mendatangkan lebih banyak keburukan berbanding kebaikan. Ia
sekaligus menyangkal dakwaan masyarakat Arab Jahiliyah yang mengatakan arak
mempunyai banyak kebaikan.
Langkah seterusnya dalam pengharaman
arak ialah menegah meminum arak sebelum menunaikan sembahyang. Ia lanjutan peristiwa
seorang sahabat bersolat dalam keadaan mabuk dan melakukan kesilapan besar
ketika membaca ayat suci al-Quran.
Firman Allah yang bermaksud: "Hai
orang yang beriman, janganlah kamu solat sedang kamu dalam keadaan mabuk,
sehingga kamu mengerti apa yang kamu ucapkan." (Surah an-Nisa, ayat 43).
Dengan kata lain, pada masa itu arak
belum diharamkan sepenuhnya, kecuali ketika hampir waktu hendak mendirikan
sembahyang. Ternyata perintah yang berperingkat-peringkat itu memberi banyak
hikmah. Jika larangan secara keseluruhan
dibuat serentak, sudah pasti mereka tidak mampu mematuhinya.
Mereka yang sudah biasa dengan
pengaruh arak tidak mampu untuk bertahan lama tanpa meminum arak. Parkara yang
sama berlaku di kalangan penagih dadah. Mereka
perlu berhenti secara perlahan-lahan dan memerlukan kekuatan fizikal dan mental
untuk menjayakannya.
Perintah akhir larangan meminum arak
diturunkan selepas kejadian dalam satu majlis jamuan yang mana arak menjadi
salah satu bahan hidangan. Apabila banyak yang mabuk, berlakulah pergaduhan sesama
sendiri.
Selepas peristiwa itu maka turunlah
ayat 91 surah al-Maidah yang bermaksud: "Syaitan itu bermaksud hendak
menimbulkan permusuhan dan kebencian antara kamu lantaran meminum arak dan
berjudi dan menghalang kamu mengingati Allah dan solat, maka berhentilah kamu (daripada
melakukan perbuatan itu)"
Jelas sekali arak mesti dijauhi biar
apa alasan sekalipun. Jika ia dikaitkan dengan ubat, masih banyak lagi perkara
yang baik dan bersih dapat digunakan untuk dijadikan ubat. Mengapa kita mesti
terpedaya dengan hasutan syaitan yang ingin menyesatkan manusia supaya tinggal
bersma-samanya di dalam neraka di akhirat nanti.
Masyarakat Arab Jahiliyah yang
menganut Islam dapat mengubah cara hidup yang dikuasai dengan arak kepada bebas
arak semata-mata kerana mematuhi perintah Allah. Justeru, umat Islam sekarang tidak
ada alasan untuk mengatakan mengapa perlu mengambil minuman haram itu.
No comments:
Post a Comment