Monday, 11 March 2019

CARA JERUK PAUH MUDA

Buah pauh ringan atau buah mangga rasa masam ketika masih muda. Cara terbaik untuk makan buah puah muda ialah dengan membuat jeruk.

Untuk membuat jeruk pauh sama juga dengan cara membuat jeruk buahan lain seperti jeruk celagi, jeruk kelubi dan sebagainya.

Buah pauh yang hendak dijeruk hendak masih muda atau bijinya belum keras. Ini kerana untuk memudahkan proses membelah buah itu menjadi bahagian kecil bersama-sama dengan bijinya. Bijinya dibuang.

Buah pauh dibelah memanjang dengan ukuran lebih kurang sama seperti kentang goreng. Ukuran lebih besar pun boleh.

Kalau buah telah tua atau bijinya telah keras, ia masih boleh dibuat jeruk dengan cara mengambil bahagian isinya sahaja.

Kulit pauh sama ada dibuang atau dibiarkan. Kalau hendak dibuang kulitnya, ia perlu dilakukan sebelum buah itu dibelah kecil.

Buah yang telah dibelah kecil itu direndam di dalam air garam untuk semalaman atau beberapa jam. Buang air garam itu.

Kemudian masukkan buah ke dalam bekas bertutup. Bubuh air gula. Guna gula kasar pun boleh. Gula itu akan cair dengan sendiri dan menjadi air jeruk atau kuah. Boleh juga masukkan gula melaka dan cili untuk menambah rasa.

Tutup bekas dan simpan untuk beberapa hari. Boleh disimpan pada suhu bilik atau di dalam peti sejuk.

Berapa hari perlu dijeruk? Terpulang kepada anda. Biasanya dua atau tiga hari agar air gula meresap masuk di dalam buah pauh. Buah pauh jeruk akan sedikit nampak kecut apabila air pauh keluar hasil proses osmosis.  

Pauh jeruk boleh disimpan beberapa minggu sehingga berbulan-bulan. Namun, lebih sedap jika dimakan selepas beberapa hari jeruk. Ketika itu isinya masih pejal.  

No comments:

Post a Comment