Monday 5 August 2019

PARTI AMANAH NEGARA DITOLAK GOLONGAN MUDA


Pasca PRU 14 yang menyaksikan Pakatan Harapan (PH) mengambilalih kepimpinan di Putrajaya, memberi jangkaan bahawa parti-parti yang menyertai gabungan PH akan lebih mendapat sambutan dan semakin kuat.

Jangkaan itu termasuk akan dimanfaatkan Parti Amanah Negara (Amanah) untuk terus diperkasakan, terutama di kalangan generasi muda yang menjadi pencetus perubahan besar dalam senario politik negara.

Amanah yang merupakan parti serpihan Pas dijangka akan memperoleh manfaat besar untuk 'mencuri' ahli Pas, terutama apabila Pas menyatakan hasrat dan berusaha bergabung dengan UMNO yang didakwa seteru sejak puluhan tahun lalu.

Tindakan Pas ingin bergabung dengan UMNO dikatakan menimbulkan kemarahan golongan muda kepada Pas. Golongan muda didakwa berfikiran liberal dan lebih cenderung kepada Amanah.

Namun, apa yang dijangka dan didakwa itu tidak menjadi kenyataan. Amanah terpaksa menerima hakikat bahawa parti itu tidak mampu menarik minat golongan muda, lebih-lebih lagi golongan tua yang masih setia dengan Pas.

Buktinya, Pemuda Amanah Kawasan Tumpat, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Ketereh, Bachok dan Kuala Krai digantung menyebabkan perwakilan dari kawasan tersebut tidak boleh menghadiri Konvensyen Pemuda Amanah Negeri Kelantan pada 2 Ogos 2019 (Jumaat).

Pemuda Amanah tersebut digantung kerana didapati telah melantik 'bukan ahli pemuda' iaitu mereka yang sudah melebihi umur 40 tahun memegang jawatan dalam Jawatankuasa Pemuda Amanah Kawasan dalam Mesyuarat Tahunan mereka sesi 2019/2022.

Selain itu, mereka juga didapati melantik bukan ahli pemuda dari kawasan berkenaan sebagai pemegang jawatan dalam Jawatankuasa Pemuda bagi kawasan tersebut.

Kedua-dua kesalahan ini adalah melibatkan perlanggaran kepada peruntukan yang telah termaktub dalam Perlembagaan Amanah.

Kawasan tersebut digantung bagi suatu tempoh sehingga Amanah Nasional membuat satu keputusan samada mereka perlu membuat Mesyuarat Tahunan semula atau sebaliknya.

Walaupun ada sesetengah pihak mempertikai keputusan ini kerana dibuat agak lewat, namun ianya bukan perkara pokok kerana jika konvensyen itu dijalankan dengan kehadiran perwakilan dari pemuda kawasan berkenaan, Konvensyen Pemuda Amanah Kelantan itu sendiri boleh terbatal.

Menurut Naib Pengerusi Amanah Negeri, Che Ibrahim, isu seperti ini tidak memerlukan Mesyuarat Tahunan semula, cukuplah sekadar Amanah Nasional mengisytiharkan pemegang-pemegang jawatan tersebut sebagai hilang kelayakan dan tidak berhak menyandang jawatan itu.

Jawatan tersebut boleh diganti atau dilantik oleh jawatankuasa berkenaan secara pemangkuan. Mana-mana ahli pemuda kawasan berkenaan boleh dilantik untuk memangku jawatan tersebut sehingga pemilihan yang akan datang.

Hanya Kawasan Tanah Merah dan Kubang Kerian sahaja yang layak hantar perwakilan ke Konvensyen Pemuda Amanah Kelantan.

Manakala Kawasan Pasir Mas, Rantau Panjang, Pasir Puteh, Jeli dan Gua Musang masih berstatus penaja dan Machang pula ditangguhkan ke suatu tarikh yang belum ditetapkan.

Kes yang berlaku itu membuktikan bahawa Amanah di Kelantan khasnya masih lagi lemah dan tidak keterlaluan dikatakan semakin ditolak oleh golongan muda.

No comments:

Post a Comment