Friday, 22 May 2020

AK 23 – TIDAK SEMUA GAGAL

Dalam agensi atau organisasi yang besar akan ada jabatan atau bahagian ditubuhkan untuk melaksanakan bidang tugas tertentu. Setiap bahagian akan melaksanakan tugas sama ada saling berkait dengan jabatan lain atau bersendirian.

Dalam kes tugas seling berkait dengan jabatan lain, maka kejayaan atau kelancaran operasi akan saling berkait juga. Tetapi, jika tugas tiada berkaitan (pada hakikatnya tugas itu berkaitan dengan organisasi), maka kelancaran tugas jabatan itu tidak bergantung kepada jabatan lain.

Ambil contoh operasi Syarikat Air Kelantan Sendirian Berhad (AKSB). Umum mengetahui AKSB gagal memberi perkhidmatan penyediaan bekalan air bersih kepada pengguna di Kelantan sejak bepuluh-puluh tahun yang lalu.

Selain kualiti air yang tidak memuaskan seperti keruh dan berkarat, masalah lain yang dialami pengguna ialah penyaluran bekalan air sentiasa terganggu secara tidak berjadual.

Masalah bekalan air bukan sekadar berlaku sehari dua, bahkan ada yang berlanjutan sehingga berminggu-minggu. Malah lebih teruk lagi ia melangkaui tempoh tahun.

Akibat masalah itu, banyak pengguna AKSB terpaksa mencari alternatif lain untuk memenuhi keperluan air harian untuk kegunaan keluarga dengan cara menggali telaga atau membuat 'boring'.

Namun, tidak semua bernasib baik kerana air telaga di sesetengah kawasan berbau dan tidak selamat digunakan.  

Tugas operasi di loji rawatan air dan seterusnya mengagihkan bekalan air bersih kepada pengguna melalui saluran paip dilaksanakan oleh jabatan atau bahagian tertentu dalam AKSB. Secara konsepnya, jabatan inilah yang dikategorikan sebagai gagal beroperasi dengan baik (bukan bermaksud pegawai dan staf tidak dedikasi).

Dalam AKSB ada bahagian atau staf membaca dan menyerahkan bil kepada pengguna. Bahagian ini dianggap paling berjaya dalam melaksanakan tugas. Meter air tidak gagal dibaca setiap bulan dan bil akan diserahkan kepada pengguna dengan baik.

Bacaan meter tetap dilakukan biarpun pengguna tidak mendapat atau tidak menggunakan perkhidmatan disediakan AKSB berbulan-bulan, bahkan bertahun lamanya.

Staf pembaca meter tetap hadir ke premis biarpun sering menjadi bahan cacian atau dimarahi pengguna yang kecewa dengan perkhidmatan AKSB. Mereka tetap setia dan melaksanakan tugas dengan sempurna tanpa gagal.

Inilah dikatakan dalam satu organisasi yang dilihat gagal, sebenarnya ada bahagian yang cemerlang melaksanakan tugas mereka. Jadi, jangan kita melabelkan semuanya gagal kerana ia berada dalam kumpulan yang gagal.

No comments:

Post a Comment