Monday, 15 December 2025

APA HUKUM MAKAN KATAK

 
Tidak terdapat ayat al-Quran menyebut tentang haram makan katak. Jika meneliti nas dan dalil daripada hadis tentang hukum makan katak didapati Rasulullah SAW tidak pernah menjelaskan hukum yang jelas tentang makan katak. Sebaliknya yang ada ialah hadis larangan membunuh katak.

Dalam satu hadis disebutkan daripada Abu Hurairah katanya bahawa Rasulullah telah menegah daripada membunuh surah (sejenis burung), katak, semut dan pelatuk. (Riwayat Ibn Majah)

Dalam hadis lain disebutkan Rahman bin Uthman berkata telah menyebut seorang ahli perubatan berada di sisi Rasulullah dan dia telah menyebut katak akan dijadikan ubat, maka Rasulullah melarang membunuhnya. (Riwayat Ahmad)

Dalam sebuah hadis lagi disebutkan: "Daripada Abdul Rahman bin Uthman bahawa Rasulullah telah melarang membunuh katak. (Riwayat Nasai)

Ada juga hadis yang menyebut bahawa suara katak pada musim hujan merupakan tasbih kepada Allah. Berdasarkan hadis itu menyebabkan ada ulama termasuk Imam Syafie berijtihad dan menganggap kerana Rasulullah melarang membunuh katak, maka hukum makannya pun haram.

Bagaimanapun, ketiga-tiga hadis melarang membunuh katak serta beberapa hadis yang menyebut bahawa katak itu sebagai tasbih kepada Allah adalah hadis yang lemah disebabkan terdapat perawinya yang lemah dan tidak boleh dipercayai.

Ada sesetengah ulama mengkategorikan katak seperti ikan dan haiwan-haiwan yang tinggal dalam air. Mengenai kategori ini ada nas yang umum daripada ayat al-Quran dan hadis dihurai dan ditafsirkan (bukan secara terang-terang dan muktamad) bahawa semua haiwan yang tinggal dalam air adalah harus dimakan.

Nas yang umum daripada al-Quran itu bermaksud: "Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanan yang didapati dari laut, sebagai bekalan bagi kamu (untuk dinikmati kelazatannya) dan juga bagi orang-orang yang dalam pelayaran; tetapi diharamkan atas kamu memburu binatang buruan darat selama kamu sedang berihram. Oleh itu, bertakwalah kepada Allah, yang kepada-Nya kamu akan dihimpunkan. (Surah al-Maidah, ayat 96)

Nas yang umum daripada hadis pula seperti hadis riwayat Ahmad, Tirmizi, Malik, Darimi dan lain-lain yang bermaksud: "Ia (laut) bersih airnya dan halal bangkainya."

Berdasarkan nas daripada al-Quran dan hadis yang umum ini serta hukum yang diambil daripada kaedah syariah asal setiap sesuatu itu harus, maka dapat dikatakan semua haiwan yang tinggal dalam air harus dimakan termasuk katak. 

Bagaimanapun, hukum halal ijtihad seperti ini adalah terserah kepada adat dan pertimbangan kita masing-masing. Jika ada orang tergamak, bukan saja katak tetapi buaya pun boleh dia makan.

Sementara itu ada sesetengah ulama mengkategorikan katak dari golongan haiwan dua alam yang dipanggil dalam bahasa Arab, barmai (darat air). 

Haiwan jenis dua alam ini dianggap haram dimakan oleh sesetengah ulama dan hukum ijtihad ini jika dilaksanakan sepenuhnya, maka beberapa jenis ketam, siput dan kerang tidak boleh dimakan.

Pun, didapati hukum haram dimakan haiwan dua alam tidak ada dalam al-Quran dan hadis, tetapi ia merupakan hukum ijtihad sesetengah ulama berdasarkan adat tempat dan persekitaran yang mereka tinggal.

Secara umumnya majoriti (jumhur) ulama menganggap semua haiwan laut (air), sama ada ikan dan binatang-binatang lain harus dimakan. Hukum majoriti ulama ini berdasarkan ayat 96 daripada surah al-Maidah dan hadis yang menyebut bahawa bangkai laut adalah halal seperti tersebut di atas.

Bagaimanapun, sesetengah mazhab seperti Syafie dan Hambali berbeza dengan majoriti ulama kerana mereka menganggap katak haram dimakan disebabkan ada hadis-hadis yang melarang membunuhnya.

Tetapi seperti telah disebut di atas bahawa kedudukan semua hadis yang melarang membunuh katak itu adalah tidak kuat belaka.

Imam al-Bukhari dalam kitab sahihnya ketika menghurai ayat 96 daripada surah al-Maidah itu menyebut bahawa asy-Syabi (Aamir bin Syarahil) berkata: Jika ahli keluargaku makan katak, nescaya aku memberi mereka makannya.