Thursday 28 February 2019

SIAPA PELAKU BULI SIBER


Kemajuan teknologi datang bersama ancaman baru dan peningkatan bilangan ancaman seperti buli siber. Buli siber berlaku apabila seseorang menggunakan Internet untuk menghantar teks atau imej untuk menyakiti atau memalukan orang lain.

Berikut adalah beberapa contoh perkara yang dilakukan oleh pembuli siber:
- Menghantar e-mel, pesanan segera, atau pesanan teks dengan kata-kata kesat atau mengugut.
- Memulau seseorang daripada senarai kawan Instant Messenger atau kumpulan WhatsApp atau menghalang e-mel mereka tanpa sebarang alasan.
- Menipu seseorang agar mendedahkan maklumat peribadi atau sesuatu yang memalukan lantas mengedarkannya kepada orang lain.
- Menggodam e-mel atau akaun dalam talian seseorang untuk menghantar mesej kesat atau menyebarkan perkara tidak benar sambil menyamar seperti orang berkenaan.
- Mencipta laman web untuk mengejek orang lain.
- Mengguna laman web untuk menilai rakan sebaya sebagai paling cantik, paling buruk dan sebagainya.
- Menanam kebencian terhadap orang lain meng­gunakan maklumat yang tidak benar atau maklumat yang diada-adakan dan menghantarnya dalam talian.

Buli siber ialah satu jenayah dan masalah serius dalam kalangan remaja dan tidak harus diambil ringan. Pembuli boleh dihukum di bawah Akta Jenayah Komputer, Kod Penal atau Akta Juvenil, bergantung kepada sifat atau keterukan kes.

TRANSFORMASI DIKIR BARAT

Dikir barat terkenal di Kelantan sejak negara belum mencapai kemerdekaan. Dikir barat mula terkenal di seluruh Malaysia apabila ia ‘dieksport’ keluar Kelantan melalui Pesta Dendang Rakyat anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM), yang turut mempertandingkan persembahan boria dan dondang sayang. 

Untuk menyesuaikan dengan persembahan nasional dan pertandingan, persembahan dikir barat telah melalui sedikit perubahan. Ia mengikut ketetapan perkiraan permarkahan yang ditetapkan.

Pertamanya dari segi pakaian. Asalnya pendikir hanya memakai ‘singlet’ dan bersemutar ‘kain lepas’. Mereka pakai ikut apa yang ada. Soal keseragaman pakaian tidak diambil kira asalkan selesa dan menepati sebagai hiburan rakyat biasa. Pakaian ketika pertandingan ala pendekar Melayu.

Perubahan kedua ialah dari segi susunan pendikir. Kedudukan ketika pertandingan atau persembahan rasmi, pendikir duduk bersila membuat satu atau dua barisan mengadap ke arah penonton. Manakala tukang karut akan bangun berdiri di hadapan barisan mengadap penonton apabila tiba masanya. 

Ini berlainan kedudukan asal yang mana pendikir duduk bersila dalam satu bulatan secara rapat-rapat mengadap ke dalam dan di tengah-tengah disediakan ruang untuk tukang karut berdiri. Kedudukan sedemikian memberi ‘kekuatan’ suara agar bunyi nyaring dan sekata. 

Manakala dari segi dialek Kelantan yang digunakan untuk persembahan dikir barat nasional tidak begitu pekat bunyinya bagi memudahkan orang luar Kelantan memahaminya. Ditambah lagi jika pendikirnya bukan berasal dari Kelantan dan tidak pernah tinggal di Kelantan. 

Pertandingan Dikir Barat Kebangsaan diadakan secara tahunan sejak 1993. Penyertaan kumpulan dikir barat luar dari Kelantan hampir separuh daripada jumlah penyertaan. Ini membuktikan minat masyarakat terhadap dikir barat tidak terhad kepada orang Kelantan semata-mata.

Disebabkan dikir barat telah terkenal di seluruh negara, ada mencadangkan namanya ditukarkan kepada dikir Malaysia. Mengikut Kamus Dewan perkataan ‘dikir’ bermakna lagu atau nyanyian dengan berpantun yang dilakukan beramai-ramai. 

Justeru kiranya ada dikir ala dikir barat baharu diperkenalkan, bolehlah dipanggil dikir Malaysia. Buatlah apa saja ubah suai, peraturan dan pendekatan agar ia dapat menarik minat rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

Tetapi, pada masa yang sama, biarkan dikir barat kekal dengan nama dan identitinya seperti sekarang. Ia wajar dipertahankan sebagai warisan tradisional.  

SEJARAH ASAL NAMA JELAWAT BACHOK

Jelawat satu pekan dalam jajahan (daerah) Bachok. Jelawat adalah pekan 'terbesar' dalam jajahan Bachok, mengatasi pekan Bachok yang menjadi pusat pentadbiran jajahan Bachok.

Pasar Jelawat menjadi tumpuan penduduk untuk mendapat barang keperluan harian dan urusan lain.

Bachok terletak kira-kira 25 kilometer dari Kota Bharu dan 8 kilometer dari pekan Bachok.

Asal usul nama Jelawat dikatakan berasal dari 'tempat berselawat'. Nama Jelawat tiada kaitan dengan ikan jelawat yang disangka kebanyakan orang.

Mengikut bari atau cerita orang tua-tua, pada zaman dahulu sekumpulan pemburu untuk memburu di satu kawasan. Sebelum mula berburu, kumpulan pemburu itu terlebih berselawat sebelum bergerak ke kawasan lain.

Tempat mereka berselawat itu kemudiannya dikenali sebagai Kampung Jelawat dan nama itu kekal sehingga sekarang.   

PUTERI SAADONG BUNUH SUAMI?

Puteri Saadong anak kepada Raja Loyor yang memerintah Kelantan Utara berpusat di Kota Jembal. Pada masa sama terdapat sebuah lagi kerajaan iaitu berpusat di Kelantan Selatan dikenali Kerajaan Chinta Wangsa.yang diperintah oleh Cik Siti Wan Kembang, pemerintah wanita ulung dalam sejarah Kesultanan Kelantan.

Memandangkan Cik Siti Wan Kembang tidak mempunyai anak, maka baginda mengambil Puteri Saadong sebagai anak angkat.

Puteri Saadong berkahwin dengan Raja Abdullah dan bersemayam di Kota Mahligai. Namun, kehidupan suami isteri Puteri Saadong dengan Raja Abdullah tidak lama kerana selepas itu Puteri Saadong terpaksa menyerah diri kepada Raja Siam yang terlalu kagum dengan kecantikan Puteri Saadong. 

Tindakan Puteri Saadong itu bertujuan untuk mengelak peperangan lebih teruk antara Kelantan dan Siam akibat keinginan Raja Siam terhadap Puteri Saadong.

Ketika hendak bertolak ke Siam, Puteri Saadong telah berpesan kepada Raja Abdullah agar menunggu kepulangannya semula ke Kota Mahligai. 
 
Sepanjang berada di Siam, Puteri Saadong tidak mudah tunduk pada kehendak dan pujukan Raja Siam mengatur strategi bagi menyelamatkan diri. 

Puteri Saadong menggunakan helah dengan mengatakan tubuhnya tidak boleh disentuh Raja Siam sehingga terpaksa disediakan sebuah istana untuknya bersemayam.

Pada masa sama, Raja Siam diserang penyakit kudis yang sukar diubati. Puteri Saadong berjaya menyembuhkan penyakit Raja Siam dan membuat permintaan supaya dia dihantar balik ke Kelantan.

Namun, sekembalinya ke Kota Mahligai, dia menjadi berang dan marah dengan tindakan Raja Abdullah yang memungkiri janjinya untuk setia menantinya. Raja Abdullah telah berkahwin lain.

Pertelingkahan yang berlaku antara Puteri Saadong dengan Raja Abdullah akhirnya menyebabkan kemangkatan Raja Abdullah.

Berhubung kemangkatan Raja Abdullah, terdapat beberapa pendapat yang dikemukakan mengenai punca yang menyebabkan kematian suami Puteri Saadong itu.

Ada pendapat mengatakan wujudnya konspirasi atau pakatan yang dilakukan oleh pihak tertentu yang sengaja mencetuskan ketegangan di antara suami isteri itu yang seterusnya menyebabkan Puteri Saadong menikam Raja Abdullah. Kematian Raja Abdullah seolah-olah dirancang supaya takhta raja tersebut dapat dirampas.

Ada pendapat lain pula menafikan Puteri Saadong menikam suaminya dengan menggunakan cucuk sanggul akibat mengikut perasaan marah dan cemburu kerana dia disifatkan sebagai seorang yang mempunyai pegangan agama dan berperibadi baik, mana mungkin dia sanggup membunuh suaminya. Jadi, kematian Raja Abdullah dikatakan tiada kaitan dengan Puteri Saadong.

Pendapat lain pula mengatakan Puteri Saadong tanpa sengaja tertikam Raja Abdullah dengan cucuk sanggulnya yang akhirnya menyebabkan suaminya terbunuh.

Raja Abdullah dimakamkan di tempat yang kini dikenali Padang Halban.

PUTERI SAADONG RAWAT RAJA SIAM

Puteri Saadong terkenal cantik dan bijak. Keistimewaan Puteri Saadong telah diketahui oleh Raja Siam, lalu ingin memperisterikan Puteri Saadong.

Kehendak Raja Siam itu ditolak. Raja Siam rasa terhina dan mengambil keputusan menyerang Kelantan. Serangan pertama dapat dipatahkan. Apabila tersebar berita akan ada serangan kedua, Puteri Saadong mengambil keputusan mengadap Raja Siam agar serangan itu dibatalkan.

Keberangkatan tiba Puteri Saadong ke Siam telah diraikan dengan penuh meriah. Bagaimanapun, sebaik Puteri Saadong menjejakkan kakinya di istana barunya itu, Raja Siam jatuh gering.

Setelah beberapa hari berlalu, Raja Siam yang tidak sembuh-sembuh telah menitahkan supaya dia diusung ke kamar Puteri Saadong. Keberangkatan Raja Siam disambut Puteri Saadong dengan hormat dan bermaruah.

Raja Siam ketika bertemu Puteri Saadong mengakui penyakitnya bermula sebaik ketibaan Puteri Saadong ke istana. Biarpun kudis yang tumbuh di bahagian dadanya agak kecil, namun sungguh berbisa. Ketika bertemu Puteri Saadong, bisa kudis semakin terasa dan tidak mampu lama berada di situ.

Pelbagai bomoh dan tabit dipanggil mengadap untuk merawat baginda, tetapi semakin lama, semakin merebak kudis-kudis kecil itu. Kesakitan itu amat sangat kuatnya, dan bertambah-tambah lagi bila baginda menghampiri Puteri Saadong.

Melihat kegeringan baginda mula menjejaskan pemerintahan Kerajaan Siam, ketua sami mengadap Raja Siam. Setelah bersujud sembah dan memohon diampunkan segala yang akan dituturkan, ketua sami itu menawarkan pandangannya.

Pada firasat ketua sami itu, geringnya baginda ada kaitan dengan kehadiran Puteri Saadong ke tanah Siam dan menasihatkan baginda menitahkan supaya Puteri Saadong mengadap dan mendengar pandangan tuan puteri tentang penyakit yang dialaminya itu.

Maka atas titah baginda, Puteri Saadong dibawa mengadap. Seperti sebelum-sebelumnya, bertambah-tambah sakit baginda bila berada hampir dengan tuan puteri itu.

Bertanyalah baginda Raja Siam kepada Puteri Saadong, adakah musibah yang dialaminya itu adalah atas angkara Puteri Saadong. Namun dengan berhemah, Puteri Saadong menjawab bahawa pada firaatnya, musibah itu, adalah angkara perbuatan Raja Siam sendiri.

Puteri Saadong berjanji akan merawat Raja Siam dengan syarat setelah sembuh nanti, baginda akan dihantar pulang ke Jelasin. Raja Siam yang tiada pilihan terpaksa menerima syarat tersebut.

Setelah sekian masa berlalu, penyakit Raja Siam telah sembuh. Lalu, atas menunaikan janjinya, Puteri Saadong telah dihantar pulang menaiki bahtera dengan diiringi dayang-dayang dan hadiah.

Kereta terbang Malaysia


KUALA LUMPUR (26 Febuari 2019): Kereta terbang pertama Malaysia akan dipacu oleh teknologi tempatan, kata Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Redzuan Md Yusof.

Beliau berkata prototaip kereta itu sudah ada dan dijangka diperkenalkan kepada awam tahun ini.

Meskipun beliau menerima pelbagai kritikan susulan kenyataannya sebelum ini mengenai kereta terbang, Mohd Redzuan berkata perkara itu bakal terlaksana tidak lama lagi.

“Tahun ini, anda akan melihat saya menaiki kereta terbang. Tahun ini adalah tahun yang sesuai. Bagaimanapun, jangkaan masa mengenainya tertakluk kepada interaksi antara dua pihak iaitu penyedia teknologi dan juga penaja.

“Ia bergantung kepada pihak berkenaan sama ada mereka boleh mengemukakan saranan mereka mengenai teknologi berkenaan dengan kadar segera.

“Apa yang penting, kementerian mahu membuka mata semua pihak bahawa ia boleh dilaksanakan. Malah, ada beberapa kementerian lain memberikan maklum balas kepada saya untuk menggunakan pesawat tanpa pemandu (UAV) di kawasan pedalaman,” katanya kepada media selepas pelancaran Growth Malaysia, di sini, hari ini.

Mohd Redzuan berkata pelancaran kereta terbang itu juga tertakluk kepada undang-undang keselamatan penerbangan.

“Kereta terbang itu perlu memenuhi beberapa spesifikasi termasuklah terbang pada altitud yang rendah, mempunyai kelajuan yang munasabah serta selamat.

“Prototaip kereta terbang itu sudah ada dan sebenarnya syarikat tempatan mempunyai kemahiran yang cukup untuk membangunkan kereta terbang,” katanya.

Beliau berkata, kereta terbang itu mungkin menggunakan teknologi tempatan dan mempunyai kapasiti untuk dua penumpang.

Ia dijangka menelan kos pelaburan sekitar RM1 juta.

Menerusi laporan berita sebelum ini, Jepun dijangka melancarkan kereta terbang pertamanya pada 2025. 

AMBANG KEMUSNAHAN NEGARA


Masyarakat akan berada di ambang kemusnahan apabila fitnah berlaku berleluasa. Orang ramai terlalu mudah mempercayainya dan melakukan tindakan yang mendatangkan keburukan. Mereka tidak lagi yakin kepada kebenaran, sebaliknya sukakan kepalsuan.     

Fitnah lahir dalam masyarakat yang tidak berpegang kepada hukum-hukum agama di mana keburukan dilakukan secara berleluasa dan ilmu (ajaran Islam) tidak dipatuhi. 

Ironisnya, orang yang melakukan perbuatan itu mendakwa tindakan itu sebagai memperjuangkan kepentingan agama dan bangsa. Malah, atas nama agamalah banyak berita fitnah disebarkan melalui alam siber.

Rasulullah sabda bermaksud: “Akan muncul suatu ketika di mana ilmu Islam dihapuskan, muncul pelbagai fitnah, berleluasa sifat kedekut dan banyak berlaku jenayah” (Hadis riwayat Muslim).

Perbuatan fitnah juga sebahagian perbuatan mengadu-domba memburukkan pihak lawan dan pada masa sama untuk menonjolkan diri.

Fitnah yang disebarkan mudah menyebabkan permusuhan dua pihak. Memang sifat manusia mudah rasa tercabar dengan mengambil tindakan yang melanggar batasan agama dan kemanusiaan.

Situasi itu lebih bercelaru apabila ada pihak ketiga mengambil kesempatan menaburkan fitnah agar mencetuskan permusuhan yang lebih tegang.    

Untuk mengelak wujud konflik fitnah, terutama melalui alam siber, wajib bagi setiap Muslim menghalusi berita yang diterima. Jika menerima sesuatu berita yang tidak sahih, janganlah diforwardkan kepada orang lain. 

Ini untuk mengelak fitnah merebak hingga tidak dapat dikawal atau tidak dijangka kesannya. Sebelum mempercayai sebarang berita, perlu dipastikan kesahihannya berdasarkan sumber dan faktanya.     

Kebijaksanaan dan kewarasan fikiran amat penting bagi memastikan tidak terpedaya dengan berita berunsur fitnah. Jangan memperkatakan sesuatu yang kita tidak pasti. Sesungguhnya, diam lebih baik daripada berkata-kata perkara tidak perlu.      

Firman Allah dalam surah al-Hujurat, ayat 6 bermaksud: “Wahai orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan.”

Dosa membuat fitnah digolongkan sebagai dosa sesama manusia. Justeru, dosa fitnah tidak diampunkan Allah, melainkan orang yang difitnahkan memberi keampunan. Dapat kita fikirkan betapa sukarnya menemui setiap orang yang difitnah bagi memohon maaf. 

Fikirkan, betapa besarnya dosa jika fitnah itu ditujukan kepada kelompok orang ramai yang tidak mampu ditemui setiap orang untuk memohon maaf. Malah, kita tidak kenal pun orang yang telah difitnahkan itu.     

Dosa membuat fitnah menghalang seseorang daripada memasuki syurga. Sabda Rasulullah bermaksud: “Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Orang menyebarkan fitnah dibangkitkan di akhirat di mana dirinya akan diberikan malu oleh Allah. 

Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang menyebarkan satu kata-kata yang memalukan seorang Muslim dengan tidak sebenarnya, nescaya dia akan diberi malu oleh Allah dalam neraka pada hari kiamat” (Hadis riwayat Ibnu Abid Dunya dari Abu Zar).

SEJARAH PANTAI NDO TUMPAT

Pantai Ndo merupakan taman rekreasi bagi penduduk bandar Tumpat dan kawasan sekitarnya. Sejarahnya telah bermula sejak puluhan tahun lalu.

Mengapa taman itu dikenali Pantai Ndo? Perkataan 'ndo' dalam dialek Kelantan adalah merujuk kepada buaian. Pada masa dahulu, di taman itu terdapat buaian dan jongkang jongkit untuk kanak-kanak.

Walaupun di situ juga terdapat jongkang jongkit atau dalam dialek Kelantan dipanggil conget cakdong, nama ndo lebih mudah disebut. Bayangkan jika nama Pantai Conget Cakdong digunakan.

Selain itu terdapat juga kerusi batu yang biasa kita lihat dalam filem zaman P Ramlee.  

Kanak-kanak yang hadir di situ tidak melepaskan peluang untuk bermain ndo. Manakala ibu bapa pula berpeluang untuk menikmati suasana damai di situ.

Ia juga menjadi lokasi pasangan kekasih bertemu. Manakala remaja pula menjadikannya tempat lepak.

Satu fakta mengapa dipanggil 'pantai' atau 'pata' sedangkan tempat itu sebenarnya berada di tebing sungai. Terdapat pulau yang menjadi pemisah tempat itu dengan laut luas.  

Mengikut cerita orang dahulu, tempat itu memang asalnya mengadap laut luas dan layak dipanggil pantai. Namun, hasil pemendapan lumpur dan tumbuhnya pokok nipah dan bakau, lama kelamaan terbentuk 'pulau' di hadapan Pantai Ndo yang menjadikan tempat itu tidak lagi sebagai pantai. Biarpun kawasan itu bukan lagi pantai, nama asal masih digunakan sampai sekarang. 

Pantai Ndo sehingga kini kekal sebagai taman rekreasi dengan disediakan kemudahan taman permainan kanak-kanak yang lebih menarik.

Ia juga menjadi lokasi pelbagai program anjuran kerajaan, NGO mahupun syarikat.

Pembinaan benteng konkrit di tepi sungai memberi keselesaan dan selamat untuk pengunjung berada di tepi sungai. Selain itu ia menjadi pengkalan untuk bot dan perahu berlabuh di situ.

PADANG KEMAHKOTAAN TUMPAT

Padang Kemahkotaan Tumpat, satu padang rekreasi menjadi tumpuan penduduk setempat dengan pelbagai aktiviti santai dan berkumpulan. 
 
Padang Kemahkotaan terbahagi dua kawasan iaitu taman dan kawasan lapang seluas padang bola.

Memandangkan Padang Kemahkotaan Tumpat terletak berhampiran dengan sungai, ia sesuai dijadikan lokasi acara padang dan sungai. 
 
Kawasan tersebut kerap dijadikan lokasi perlumbaan perahu panjang. Selain itu ia menjadi pengkalan untuk bot dan perahu berlabuh di situ.

Padang Kemahkotaan Tumpat menjadi tumpuan penduduk untuk dijadikan tempat berkumpul dan melakukan aktiviti riadah pada waktu pagi dan petang.

Pembinaan benteng konkrit di tepi sungai memberi keselesaan dan selamat untuk pengunjung berada di tepi sungai. Selain itu ia menjadi pengkalan untuk bot dan perahu berlabuh di situ.

PANTAI NDO MENJADI TUMPUAN PENDUDUK TUMPAT

Nama Pantai Ndo atau dalam dialek Kelantan dikenali Pata Ndo agak terkenal apabila seorang pengusaha menjadikan kawasan itu tempat dia 'menunggu' pelanggan secara berkala setiap minggu yang mana iklan mengenainya disiarkan di stesen radio tempatan.

Namun, ramai hanya mengenai namanya berdasarkan kepada siaran iklan itu, tanpa pengetahui secara tepat lokasi itu. Tentu ramai menyangka bila disebut 'Pantai Ndo' menyangka ia kawasan pantai yang yang mengadap ke laut luas.

Tentu ramai bertanya, kalau bukan mengadap ke laut luas, mengapa nama tempat itu dipanggil pantai. 

Mengikut cerita orang dahulu, tempat itu memang asalnya mengadap laut luas dan layak dipanggil pantai. Namun, hasil pemendapan lumpur dan tumbuhnya pokok nipah dan bakau, lama kelamaan terbentuk 'pulau' di hadapan Pantai Ndo yang menjadikan tempat itu tidak lagi sebagai pantai. Biarpun kawasan itu bukan lagi pantai, nama asal masih digunakan sampai sekarang. 

Perkataan 'ndo' pula ialah merujuk kepada buaian dalam dialek Kelantan. Pada masa dahulu, di tempat itu terdapat beberapa buaian dan jongkang jongkit sebagai taman permainan. 

Walaupun di situ juga terdapat jongkang jongkit atau dalam dialek Kelantan dipanggil conget cakdong, nama ndo lebih mudah disebut. Bayangkan jika nama Pantai Conget Cakdong digunakan.

Selain itu terdapat juga kerusi batu yang biasa kita lihat dalam filem zaman P Ramlee.  

Pantai Ndo terletak di hujung bandar Tumpat yang telah dimajukan sebagai tempat rekreasi. Terletak di tepi sungai (bukan pantai) menjadikan Pantai Ndo sesuai dijadikan lokasi acara padang dan sungai.

Pembinaan benteng konkrit di tepi sungai memberi keselesaan dan selamat untuk pengunjung berada di tepi sungai. Selain itu ia menjadi pengkalan untuk bot dan perahu berlabuh di situ.

Tepi tebingan sungai itu dijadikan lokasi pasar terapung. Pantai Ndo juga menjadi lokasi untuk Pasar Ramadan Bot yang memberi peluang penduduk dari pulau sekitar lembangan Sungai Kelantan seperti Pulau Seratus, Pulau Timun, Teluk Renjuna dan beberapa kampung lain memasarkan produk keluaran masing-masing dari atas bot.

Kawasan tersebut juga dijadikan lokasi perlumbaan perahu panjang. Terdapat juga perkhidmat bot untuk menyusuri kawasan sungai yang damai dan melihat kawasan hutan nipah.

Dengan daya tarikan itu, Pantai Ndo menjadi lokasi kunjungan ramai.

SEJARAH AMALAN KAHWIN MUDA

Istilah kahwin muda biasanya merujuk kepada pengantin wanita yang dketika dikahwinkan berumur di antara tujuh sehingga 14 tahun, manakala pengantin lelaki pula telah lanjut usia. Berlainan dengan perkahwinan kanak-kanak yang mana kedua-dua pengantin masih berusia kanak-kanak dan ia dilakukan atas dasar adat atau budaya setempat. 

Banyak sejarah besar membuktikan memang wujud berlaku perkahwinan muda. Ia dilakukan hampir di seluruh bahagian dunia iaitu di Eropah, Asia, Afrika dan Amerika. 

Antara sejarah perkahwinan muda ialah: 
- Saint Augustine (350Masihi), seorang paderi Kristian, menikahi kanak-kanak perempuan berumur 10 tahun.
- King Richard II (1400M), seorang Raja England dan Lord of Ireland, menikahi kanak-kanak perempuan berumur 7 tahun.
- Henry VIII (1500M), Raja England, menikahi kanak-kanak perempuan berumur 6 tahun.
- Dalam Bible, “… but save for yourselves every GIRL who has never slept with a man.” (Numbers 31: 17-18)
- Dalam Ensiklopedia Katolik, Mary (Maryam), ibu kepada Jesus (Nabi Isa), berumur 12 tahun ketika bernikah dengan Joseph yang berumur 99 tahun.
- Sebelum tahun 1929, para orang besar Gereja England boleh bernikah dengan orang (atau kanak-kanak) perempuan berusia 12 tahun di Britain.
- Sebelum tahun 1983, undang-undang Katolik membenarkan paderi untuk bernikah dengan orang (atau kanak-kanak) perempuan berusia 12 tahun di Britain.
- Ramai orang tidak tahu bahawa di Amerika Syarikat pada 1880, umur minimum untuk bernikah adalah 7 tahun di Delaware dan di California, umur minimum adalah 10 tahun.
- Bahkan sekarang, umur dibenarkan bernikah adalah 12 tahun di Massachusett (MA), 13 tahun di New Hampshire (NH) dan 14 tahun di New York (NY).

Gambar hiasan

NEGARA RUNTUH AKIBAT FITNAH


Negara boleh huru hara dan runtuh jika rakyat mengamalkan budaya fitnah. Banyak sejarah keruntuhan negara dan kerajaan adalah berpunca daripada fitnah.

Banyak individu yang menyebar berita yang diyakininya sebagai benar dan beranggapan dia telah melakukan kebaikan. Hakikatnya, itu sekadar satu anggapan dan tidak dapat dibuktikan kebenarannya. 

Kita hanya dikehendaki menyebarkan sesuatu berita mengenai perkara yang kita pasti atau mengetahuinya dengan jelas. Jika maklumat kita tidak tahu apa-apa, melainkan apa yang diterima itu sahaja, maka tidak patut ia disebarkan. 

Tindakan menyebarkan berita yang tidak pasti akan membawa diri ke dalam kancah fitnah. Kebaikan yang ingin diperoleh bertukar menjadi perbuatan dosa besar. Pihak yang tidak bertanggungjawab sentiasa mencari peluang untuk mencetuskan fenomena berita fitnah dianggap sebagai satu yang benar.

Apabila penyebaran fitnah berlaku secara berleluasa bermakna kehidupan masyarakat berada di ambang kemusnahan. Masing-masing keliru dan sukar untuk membuat pilihan yang mana berada di pihak benar.

Pihak yang menyebarkan fitnah itu merasakan dirinya paling baik. Hakikatnya, perbuatan itu melambangkan peribadi yang keji dan jahat. Jika perbuatan itu telah sebati dalam diri, hati tidak akan merasakan kemanisan iman ketika melakukan kebaikan. Maka, hati menjadi lebih cenderung untuk melakukan perbuatan dosa.

JANJI BUKAN SOAL REMEH

Menunaikan janji adalah ciri-ciri orang beriman. Mengingkari janji merupakan sifat dan perbuatan syaitan, kerana syaitan itu ialah makhluk yang memberikan janji-janji dan membangkitkan angan-angan kosong pada manusia, padahal yang dijanjikan itu hanyalah tipu daya belaka.

Oleh sebab itu, adab semasa berjanji ialah dengan melafazkan ucapan ‘insya-Allah’ bagi setiap janji yang dibuat.

Firman Allah SWT yang bermaksud, “Dan janganlah engkau berkata mengenai sesuatu yang hendak dikerjakan bahawa aku akan lakukan yang demikian itu kemudian nanti melainkan hendaklah disertakan dengan berkata ‘insya-Allah’.” (Surah al-Kahfi, ayat 13).

Walaupun disertakan ‘insya-Allah, bukan bermakna ia suatu pilihan kepada pembuat janji, sama ada mahu ditepati dan dipenuhi atau tidak.

Ucapan ‘insya-Allah adalah bertujuan untuk mengelak daripada berdosa jika tidak dapat memenuhi perkara yang dijanjikan, dan merupakan suatu azam yang bersungguh-sungguh untuk berusaha memenuhi segala janji, supaya tidak termasuk dalam golongan orang munafik yang dibenci oleh Allah SWT.

Demikianlah betapa agama Islam sangat mengambil berat dalam soal janji, walaupun dibuat secara lisan. Berjanjilah dalam perkara-perkara yang mampu ditepati dan ditunaikan.

Jangan menganggap janji suatu hal yang remeh dan dijadikan barang mainan. Nasib rakyat tidak wajar dijadikan bahan lelucon.

SEJARAH ASAL NAMA BACHOK

Bachok salah sebuah jajahan (daerah) di Kelantan. Pusat pentadbiran daerah Bachok terletak di pekan Bachok yang terletak kira-kira 25 kilometer dari ibu negeri Kelantan, Kota Bharu. Keluasan jajahan Bachok kira-kira 264 kilometer persegi.

Bachok terkenal sebagai jajahan pelancongan kerana mempunyai pantai peranginan seperti Pantai Irama, Pantai Kandis, Pantai Kemayang, Pantai Melawi dan Pantai Senok.

Nama Bachok dikatakan berasal dari dua perkataan Siam iaitu Ban dan Choh. Ban bererti kampung dan Choh pula bermakna jala/jaring untuk menangkap ikan.

Orang Siam memanggil tempat itu Ban Choh kerana mata pencarian penduduknya tertumpu kepada menangkap ikan. Sebutan Ban Choh akhirnya bertukar menjadi Bachok mengikut loghat Kelantan. 
 
Namun, ada juga mengatakan nama Bachok dari perkataan ban dan chak. Ban adalah kampung, manakala chak pula bermaksud nipah. Di kawasan Bachok memang terdapat banyak pokok nipah. Bahkan, sekarang ini ada satu kampung dikenali Kampung Nipah, berhampiran dengan Pantai Irama. 
 
Jadi, tidak pasti adakah ia dari perkataan ban dan choh atau ban dan chak. 

Sekarang ini keturunan Siam banyak tinggal di Kampung Balai dan Kampung Aril.

Wednesday 27 February 2019

HALAL HARAM MAKANAN


Allah mengurniakan pelbagai nikmat makanan dan minuman kepada manusia. Hanya sedikit sahaja larangan berkaitan makanan yang ditetapkan agar dipatuhi. Peraturan itu untuk kebaikan umat Islam sendiri. Sesuatu yang dilarang adalah untuk mengelak kesan yang buruk akibatnya. 

Ini jelas bertepatan dengan Islam sebagai agama yang lengkap dan sempurna dalam segenap hal bersangkutan kehidupan manusia. Ajaran Islam tidak terhad hanya kepada soal ibadah khusus yang perlu dipatuhi penganutnya. Sebaliknya Islam memberi garis panduan dalam segenap aspek kehidupan. 

Setiap apa yang ditetapkan adalah jelas. Sabda Rasulullah diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim yang bermaksud: “Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu pun jelas.” 

Soal halal dan haram makanan amat penting diketahui kerana dilakukan setiap hari. Orang Islam tidak boleh makan semua jenis makanan yang boleh dimakan oleh manusia. Hanya makanan yang memberi kebaikan dibenarkan dimakan. 

Manakala makanan yang mendatangkan keburukan secara fizikal dan rohani adalah ditegah sama sekali, walaupun naluri manusia terdorong inginkannya. Individu yang lemah imannya mudah terdorong untuk melakukan perbuatan yang ditegah.

Sesungguhnya makanan bukan sekadar dapat memberi rasa kenyang dan zat pemakanan kepada badan, tetapi juga mempengaruhi dan membentuk sikap pemakannya. Sebab itu, amatlah penting bagi seseorang memastikan dirinya tidak mengambil sebarang unsur makanan yang diharamkan.

Secara asas, segala jenis makanan yang tidak membahayakan diri pemakannya, maka makanan itu halal dimakan. Kita dibenarkan memakan atau mencampurkan pelbagai jenis bahan untuk menghasilkan jenis makanan yang diingini.

Sabda Rasulullah bermaksud: “Wahai orang yang beriman, makanlah barang yang bersih daripada apa yang kami kurniakan kepada kamu.” (Hadis riwayat  Muslim).   

Kebersihan yang dijelaskan oleh Rasulullah bukan sekadar bersih secara fizikal, tetapi juga bersih cara memperolehnya. Islam menegah mendapatkan makanan dari hasil pendapatan secara haram seperti menipu, mencuri, hasil riba, rasuah dan penindasan. 

Setiap orang perlu berusaha mencari pendapatan dari sumber yang halal. Bersyukurlah dengan nikmat yang dikurniakan Allah walaupun sedikit. Mencari keredaan Allah adalah lebih penting berbanding mendapat kemewahan secara yang salah. 

GOUT PENYAKIT LELAKI


Penyakit gout merupakan satu bentuk arthritis yang disebabkan oleh hyperuricemia. Hyperuricemia ditakrifkan sebagai aras plasma urate (asid urik) melebihi 420 Î¼mol/L (7.0 mg/dL). 

Ciri hyperuricemia adalah penyebab utama gout. Namun, terdapat kes individu aras asid urik yang tinggi, tetapi tidak mengidap penyakit gout.

Gout boleh dianggap penyakit lelaki. Jika ada pun wanita mengidap gout, kemungkinan berlaku hanyalah selepas mengalami menopaus.

Apabila gout menyerang, kaki akan menjadi bengkak, panas dan amat sakit. Kesakitan ini boleh berlanjutan beberapa hari dan hanya hilang dengan pengambilan ubat.

Kita hanya berusaha, Allah jua yang menyembuhkan. Tetapi, tanpa usaha sudah pasti ia tidak akan mengubah apa-apa. Cuba, berdoa dan bertawakal kepada Allah agar penyakit ini dapat disembuhkan. 

Penyakit gout dianggap antara penyakit tertua. Ia dikesan sejak lebih 2,000 tahun lalu. Gout boleh dianggap penyakit lelaki. Jika ada pun wanita mengidap gout, kemungkinan berlaku hanyalah selepas mengalami menopaus. 

Dulunya ia dipanggil penyakit orang kaya lantaran ia dikaitkan dengan pengambilan makanan dan minuman yang terlalu banyak khasiat.

Ia adalah sebahagian daripada penyakit artritis yang dikelaskan sebagai penyakit metabolik akibat asid urik (iaitu bahan buangan yang terhasil daripada pemecahan purin (protein); berkumpul pada sendi dan tisu lembut di sekeliling sendi, terutama pada kaki dan menyebabkan rasa sakit.

Pemendapan asid urik ini lama kelamaan akan menghasilkan hablur garam dan hablur inilah yang mencetuskan rasa sakit sendi. Ia juga dipanggil masalah bengkak sendi yang daripada tapak ibu jari kaki, menular ke sendi lain pada kaki dan tangan.

Jangan biarkan penyakit ini terus merebak sehingga tidak dapat dirawat lagi. Ingat, penyakit gout boleh membawa maut. Bertindak segera.

TEGAS TERHADAP ORANG KAFIR


Oleh kerana adanya setia kawan yang kuat dan padu, masyarakat Islam pada zaman awal Islam tidak boleh dipermainkan oleh sesiapapun. Mereka mempunyai maruah yang tinggi dan disegani kerana mereka prihatin terhadap kesusahan dan kesulitan saudara mereka.

Mereka bertindak tegas terhadap orang kafir yang cuba menceroboh dan menjatuhkan maruah Islam dan umat Islam.

Allah berfirman yang bermaksud: “Muhammad pesuruh dan mereka yang bersama-samanya bersikap tegas terhadap orang-orang kafir dan saling berkasih sayang sesama mereka.” (Surah Al-Fath, ayat 29)

Tetapi ketegasan dalam tindakan mereka sentiasa berpegang kepada keadilan. Mereka akan memihak kepada yang benar, walaupun terpaksa menghukum diri serta saudara. Mereka berpegang kepada prinsip yang ditetapkan al-Quran.

Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami turunkan kepada kamu kitab supaya kamu menjalankan hukuman di kalangan manusia dengan apa yang dipeliharakan kepada kamu kepada Allah dan jangan kamu menjadi pembela kepada orang yang khianat." (Surah al-Nisa, ayat 105)

Ayat itu mengenai Ibn Ubairaq yang mencuri sebilah pedang dan kemudian melemparkan tuduhan kepada seorang yang tidak bersalah. Orang yang dituduh itu sama ada daripada kalangan orang Ansar atau Yahudi.

Larangan menjadi pembela kepada pengkhianat itu merangkumi perbuatan khianat terhadap orang Islam atau kafir muahad (yang memeterai perjanjian damai dan hidup bersama secara aman). Keadilan menjadi pegangan kukuh mereka dalam pelaksanaan sikap tegas.

Bersikap adil mengimbangi ketegasan dalam hubungan mereka dengan manusia. Sikap ini perlu menjadi pakaian bagi amalan kita supaya erti kehidupan Muslim yang sebenar dapat dibina kembali pada zaman ini.

TEMU LAWAK BANYAK KHASIAT

Khasiat temulawak lebih banyak dari ginseng. Temulawak memiliki lebih dari 100 komponen, sementara ginseng terbatas. Komponen aktif kurkuminoid dan beberapa komponen minyak atsiri berkhasiat sebagai antioksidan, antiradanga, antibakteri, antihepatotoksik, antikolesterol, antikanser dan anti pembekuan darah.

Aktiviti imunomodulator dari kurkumin (salah satu kandungan dalam kurkuminoid) juga dapat meningkatkan daya tahan tubuh terhadap serangan penyakit.

Hasil penelitian membuktikan temulawak tidak memiliki kesan sampingan seperti ubat anti inflamasi kimia yang harganya jauh lebih mahal.

Penggunaan temulawak secara rutin, juga dapat melancarkan darah sehingga baik untuk mencegah stroke.

Temulawak dapat diminum dengan cara direbus atau dijadikan jus dengan ditambahkan madu, limau nipis atau asam.

Penggunaan temulawak bagi sesetengah penduduk Malaysia telah diwarisi secara turun temurun. Hasilnya mereka lebih sihat. Sementara itu, penyelidikan mengenai manfaat temulawak telah banyak dilakukan.

Dengan terdapatnya bukti-bukti ilmiah tersebut diharapkan dapat meningkatkan penerimaan masyarakat terhadap ubat tradisional ini.

Secara umumnya manfaat temulawak dapat dibahagikan kepada tujuh bahagian, iaitu memperbaiki nafsu makan, memperbaiki fungsi pencernaan, memelihara fungsi hati, mengurang masalah sendi dan tulang, menurunkan lemak darah, antioksidan dan membantu memelihara kesihatan serta mencegah penggumpalan darah.

Sebahagian masyarakat di Nusantara mengamalkan meminum rebusan temulawak segar yang dicampur  dengan asam jawa atau perahan limau nipis. Minuman ini mereka jadikan sebagai alternatif atau ganti kepada minuman teh.