Thursday, 4 December 2025

BAHAYA ARAK DIAKUI SEMUA PIHAK

 
Kajian ilmiah sama ada dari segi sains perubatan, psikologi dan kemasyarakatan menunjukkan banyak bahaya arak. Jadi, tidak ada alasan peminat arak hendak berhujah mengatakan arak mempunyai banyak kebaikan. 

Sebab itu perbuatan meminum arak bukan sahaja diharamkan di dalam Islam, bahkan menjadi perbuatan yang dianggap tidak bermoral dan dijauhi oleh penganut setia agama lain. 

Individu yang berfikiran rasional sekali-kali tidak akan mengamalkan mengambil arak biarpun pegangan agama mereka tidak mengharamkan. Perhatikan di kalangan orang yang berjaya di mana didapati mereka bebas arak.

Keburukan yang lahir disebabkan meminum arak ada yang bersifat sementara dan untuk tempoh yang lama ia memberi kesan buruk kepada kesihatan. Pengaruh arak meyebabkan fikiran tidak berfungsi dengan baik sehinggalah pengaruh arak atau alkohol hilang dari badan.

Ketika otak dipengaruhi arak, individu yang berkenaan berkedudukan lebih hina daripada haiwan, kerana mereka tidak lagi kenal diri sendiri dan tidak mampu mengawal fungsi badan sehingga berjalan pun tidak mampu dilakukan dengan betul. 

Banyak kes pergaduhan yang tidak dapat dikawal oleh kewarasan fikiran biarpun perkara kecil berpunca pengaruh arak. Banyak kerugian harta benda dan ada kes sehinggga menyebabkan kematian disebabkan pergaduhan yang berlaku itu.

Begitu juga, pemandu yang di bawah pengaruh arak banyak yang terlibat dengan kemalangan jalan raya. Minda mereka tidak dapat berfungsi dengan sempurna, melakukan perbuatan yang membahayakan keselamatan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain.

Banyak penagih arak akan berdepan dengan barah usus, selain yang berkaitan dengan darah dan penyakit lumpuh. Penyakit paling ketara dihadapi penagih arak adalah yang berkaitan dengan otak seperti barah otak, kurang daya ingatan dan daya pemikiran yang lemah.

Khalifah Usman Affan pernah berkata: “Jauhkan diri kamu daripada khamar (benda yang memabukkan), sesungguhnya khamar itu ibu segala kerosakan.”

Jauhi amalan meminum arak yang diharamkan dalam Islam.  Setiap sesuatu yang diharamkan Allah pastinya bersifat membinasakan. Siapakah yang lebih mengetahui mengenai keperluan manusia, selain Allah yang menciptakan manusia dan seluruh alam ini. 

Jadi, patuhilah perintah Allah yang mengharamkan arak. Perbuatan meminum arak menyebabkan peminumnya diharamkan memasuki syurga.

Hadis Rasulullah yang bermaksud: “Tiga orang tidak masuk syurga (iaitu) penagih arak, orang yang membenarkan sihir dan orang yang memutuskan persaudaraan.” (Hadis riwayat Ahmad dan Hibban).

Langkah untuk mengelak diri terjebak arak ialah jangan sekali-kali mencubanya dan menjauhkan diri daripada tempat-tempat yang menghidangkan arak. Banyak individu yang terpengaruh dengan arak disebabkan sentiasa menghadirkan diri di tempat yang terhidang minuman arak dan bergaul dengan kaki arak.

Mula-mula mungkin mencuba untuk mengetahui kesannya atau terpengaruh dengan ajakan kawan.  Sedangkan, itulah sebenarnya perangkap awal yang sukar untuk melepaskan diri. Biarpun diketahui rasa arak tidak sedap (bagi mereka yang pertama kali), tetapi setelah ia mula mengalir ke segenap urat nadi dan mula mempengaruhi fikiran, rasa yang tidak sedap bertukar sebaliknya. 

Baca juga;

No comments:

Post a Comment