Dalam keadaan umat Islam lemah, pihak lain ambil kesempatan. Tengok saja apa yang berlaku di negara lain. Keadaan tidak aman dan berpecah sesama sendiri. Pihak lain campurtangan yang kononnya untuk mengembalikan keamanan. Ironinya perkara sebaliknya berlaku.
Peristiwa yang berlaku di Palestin itu perlu dijadikan renungan oleh umat Islam. Sebagai umat Islam, peristiwa penyiksaan rakyat Palestin sepatutnya dijadikan satu iktibar yang baik, yang boleh membangkitkan semangat perpaduan di kalangan orang Arab dan seluruh umat Islam.
Israel adalah sebuah negara yang kecil, yang dikelilingi oleh negara-negara Arab dan Islam di Timur Tengah. Persoalannya, kenapa negara kecil itu begitu berkuasa dan berani menunjukkan keganasan terhadap rakyat Palestin, sedangkan mereka dikelilingi oleh negara-negara Arab?
Umat Islam dan negara-negara Arab hanya mampu untuk menunjukkan kemarahan mereka, dan meminta bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menyelesaikan masalah keganasan Yahudi. Kenapa umat Islam begitu lemah dan tidak bermaya untuk menghalang kuasa Yahudi bermaharajalela di tanah suci Baitulmaqdis?
Ini perlu dilihat dan dikaji mengikut perspektif ajaran Islam. Pengabaian terhadap ajaran al-Quran, hadis dan sejarah adalah antara faktor utama di mana umat Islam sering menjadi bahan persendaan masyarakat agama lain.
Faktor utama yang menggalakkan penindasan Yahudi terhadap rakyat Palestin ialah, kegiatan yang dilakukan oleh Yahudi terhadap rakyat Palestin tidak mendapat tentangan dunia Barat secara serius, malah sokongan Amerika Syarikat terhadap Israel telah bermula sejak Zionis bertapak di Jerusalem.
Sikap dan mentaliti masyarakat Arab juga merupakan salah satu faktor terpenting yang menyebabkan mereka mudah dipersendakan dan ditindas oleh Yahudi dan Amerika.
Mereka kurang prihatin terhadap firman Allah dalam surah 42 (al-Syura) ayat 13 yang bermaksud; ``Dia (Allah) telah mensyariatkan bagi kamu tentang agama apa yang telah diwasiatkan-Nya kepada Nuh, dan apa yang telah Kami wahyukan kepadamu, dan apa yang telah Kami wasiatkan kepada Ibrahim, Musa dan Isa iaitu: Tegakkanlah agama dan janganlah kamu berpecah belah tentangnya.''
Perkataan tegakkanlah agama dan janganlah kamu berpecah belah, perlu dijadikan prinsip hidup umat Islam. Usaha untuk menyatupadukan masyarakat itu merupakan satu matlamat perjuangan hidup umat Islam. Tetapi malangnya, firman Allah dalam soal ini, tidak dihiraukan oleh umat Islam keseluruhannya.
Paling menyukarkan keadaan apabila umat Islam saling bertikai dan bermusuhan apabila keadaan keselamatan dan kedudukan mereka terancam. Peristiwa yang berlaku di negara Arab dan Palestin perlu dijadikan satu panduan hidup umat Islam keseluruhannya.
Dalam keadaan mereka ditindas oleh Israel dan Amerika, rakyat Palestin dan Arab berpecah-belah. Pembunuhan sesama sendiri sering berlaku. Perebutan kuasa sesama sendiri, bukan sahaja boleh menyebabkan keadaan menjadi lemah, malah ia juga menjuruskan kepada sistem perhambaan kepada Barat.
Apa yang berlaku di negara lain kini turut berlaku di Malaysia. Umat Islam tidak bersatu. Akibatnya keadaan menjadi lemah dan mudah diperkudakan oleh puak lain. Lihat saja senario politik negara. Orang Islam berpecah kepada banyak parti. Perbuatan saling melagakan antara satu sama lain semakin menjadi-jadi.
Akibat berada di bawah kawalan pihak lain, orang lain sanggup menafikan peranan atau kuasa yang dimiliki. Mereka sanggup menentang perkara yang mendatangkan kebaikan kepada umat Islam. Perbuatan itu semata-mata kerana tunduk kepada permintaan bukan Islam.
Amat lemah sekali kedudukan orang Islam. Sudahlah tidak memiliki kekayaan, kuasa yang ada pun sanggup dipergunakan oleh pihak lain.
Bersatulah umat Islam tidak kira di mana berada. Itu satu perintah Allah. Sesiapa ingkar dan lebih suka kepada keadaan berpecah belah, maka bermakana telah menolak suruhan agama.
No comments:
Post a Comment