Kegiatan pemberi hutang (pemiutang) tidak berlesen atau
dikenali Along berleluasa. Kes Along mendapat perhatian bukan kerana mereka
memberi hutang, tetapi perbuatan tidak bertanggungjawab terhadap penghutang
yang tidak mampu menjelaskan hutang.
Memberi penjaman tanpa lesen memang satu kesalahan,
tetapi kesalahan lebih besar ialah melakukan jenayah.
Kes jenayah Along kini semakin mendapat perhatian
kerajaan untuk membanterasnya.
Sekiranya dahulu Along sekadar mengugut peminjan yang
gagal menjelaskan hutang, tetapi kini bertindak ganas menculik ahli, merosak
harta benda, membakar kediaman, mencederakan dan membunuh. Along
bertindak lebih berani apabila kegiatan mereka dilindungi pihak tertentu.
Kegiatan Along lahir adanya permintaan orang ramai yang
ingin berhutang disebabkan memerlukan wang segera dengan cara
mudah. Ini membuktikan ramai terpaksa berhutang untuk memenuhi
keperluan hidup terdesak dan pelbagai tujuan.
Diakui kehidupan sekarang, terutamanya mereka tinggal di
bandar memerlukan wang untuk pelbagai tujuan. Istilah, jika ada wang
semua boleh jadi, membuktikan berapa pentingnya wang dalam
kehidupan.
Dalam dunia ekonomi kapitalis sekarang, wang menjadi raja
kehidupan. Kuasa berada pada sesiapa yang memiliki banyak
wang.
Bagaimanapun, meningkatnya permintaan terhadap hutang
disebabkan kehendak manusia yang pelbagai dan melampuai kemampuan.
Ramai berbelanja tidak mengikut kemampuan
masing-masing. Selagi ada wang di tangan, maka sebanyak itulah akan
dibelanjakan. Sikap boros dibisikan oleh syaitan kerana ia mendatangkan banyak
keburukan.
Wang lebih yang dimiliki selain keperluan harian
sepatutnya disimpan untuk digunakan apabila perlu. Ada kalanya
pendapatan kita tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan
semasa. Ketika itulah wang simpanan boleh digunakan.
Disebabkan tiada simpanan yang boleh digunakan semasa
wang amat diperlukan, sumber paling mudah diperoleh daripada
Along. Perkhidmatan Along amat mudah diperoleh. Mereka
menyediakan perkhidmatan tanpa banyak birokrasi.
Along boleh ditemui untuk membuat pinjaman biarpun waktu
sudah larut malam. Along tidak cerewet dan sentiasa ingin
menolong. Malah mereka menyediakan kad perniagaan dibahagikan kepada
orang ramai. Along ada di mana-mana untuk menghulurkan bantuan.
Pinjaman boleh diluluskan hanya dalam tempoh kira-kira
sejam. Jika kena caranya, pinjaman diluluskan dalam tempoh masa 10
minit.
Jumlah pinjaman pula sehingga lebih 10 kali ganda
pendapatan. Tiada penjamin diperlukan. Begitu budah
sekali berurusan dengan Along, tidak seperti dengan syarikat kewangan dan
bank.
Sebab itulah perkhidmatan Along amat terkenal dan menjadi
tempat orang ramai mengadu masalah. Nama Along sendiri dipercayai
mengambil nama gelaran abang sulung yang sentiasa ingin menolong
adik-adiknya.
Bagaimanapun, segala kebaikan Along hanya ketika memberi
pinjaman. Along berubah sikap apabila ingin memunggut
hutang.
Along menjadi garang dan sanggup melakukan apa saja asalkan hutang mereka dijelaskan. Along bertukar penjenayah apabila ingin memungut hutang. Kebaikan Along hilang serta merta.
Tindakan Along tidak sedikitpun melambangkan sifat
disuruh oleh firman-nya dalam surah al-Baqarah ayat 280 yang bermaksud: “Dan
jika si berhutang dalam kesukaran, maka berilah masa sehingga dia mampu
(membayar). Sebenarnya kalau kamu mahu menyedekahkan hutang itu
adalah baik bagimu, jika kamu mengetahui.”
Dalam Islam, kegiatan Along dinamakan pemiutang
mengamalkan riba. Amalan riba dilarang dalam Islam. Riba
adalah malapetaka kepada kehidupan manusia yang terpaksa menambah kesengsaraan
ketika mana mereka sebenarnya sudah menanggung kesengsaraan.
Keburukan riba bukan saja dilarang dalam Islam, bahkan
menjadi perjuangan dalam beberapa fahaman atau mazhab agama
lain. Mereka menyedari keburukan riba dan ingin menghapuskan amalan
riba. Mengambil riba tidak ubah seperti merampas hak orang
lain.
No comments:
Post a Comment