Sebelum meletus Perang Dunia Kedua, Jepun telah menandatangi
Perjanjian Pakatan Tiga Negara (Tripartite Pact) dengan Jerman dan Itali yang
dikenali sebagai Kuasa Paksi (Axis Power). Kuasa Paksi menjadi saingan kepada
Pihak Berikat (dianggotai Amerika Syarikat, British, Rusia dan lain-lain) dalam
kancah kempen ketenteraan di seluruh dunia.
Kuasa Paksi bermatlamatkan untuk menghalang Amerika Syarikat
daripada membantu British yang sedang bermusuhan dengan Jerman dan Itali di
Eropah.
Sebelum perang meletus, Lapangan Terbang Pengkalan Chepa
yang kini dikenali Lapangan Terbang Sultan Ismail telah siap sepenuhnya dan
digunakan menempatkan pesawat B29 milik tentera British.
Manakala Lapangan Terbang Gong Kedak yang kini digunakan Tentera Udara Diraja Malaysia, baharu saja siap dibina
beberapa minggu sebelum tentera Jepun menyerang.
Lapangan Terbang Padang Luas pula pada ketika itu baharu
dalam proses pembinaan, terhenti begitu sahaja apabila tentera Jepun menyerang,
dan kini menjadi kawasan terbiar.
Kubu kebal juga dibina di sepanjang pantai di daerah Bachok
dan Tumpat untuk tujuan pertahanan.
British bercadang membina kubu seumpama itu
sepanjang pantai sehingga ke Johor Bharu. Bagaimanapun, pembinaannya terhenti
apabila perang meletus lebih awal daripada apa yang dijangkakan. Terdapat beberapa buah kubu kebal sempat disiapkan di Kuantan, Pahang dan Kota Tinggi, Johor.
Bentuk kubu kebal dibina seakan-akan bulatan tapak kuda,
tetapi bersegi sembilan. Seluruh dindingnya dibuat daripada konkrit simen
setebal kira-kira 30 cm. Bahagian atas atau bumbung berkedudukan rata juga
diperbuat daripada konkrit simen dengan ketebalan juga kira-kira 30 cm.
Ketebalan itu mampu menahan tembakan senjata ringan dan mortar.
Ketinggian kubu kira-kira 2.1 meter, melepasi ketinggian
anggota tentera (rata-rata ketinggian anggota melebihi 1.8 meter, tidak
termasuk ketinggian kasut dan topi) dan memudahkan penggunaan senjata. Manakala
keluasannya kira-kira 8 meter persegi dengan bahagian tengahnya terdapat tiang
penyokong berukuran 60 cm kali 60 cm.
Di setiap penjuru kubu kebal dibina lubang yang muat untuk
penggunaan senjata persendirian dan senjata bantuan. Lubang itu juga bertujuan
untuk memerhati pergerakan musuh.
Setiap kubu yang dibina tidak mengikut ukuran yang
sama, tetapi jika dilihat dari luaran kelihatan seperti sama. Perbezaan ini
mungkin disebabkan kerana dibuat mengikut anggaran pekerja yang membinanya,
asalkan menampakkan ciri-ciri sebuah kubu kebal.
Setiap kubu kebal diawasi oleh kira-kira 5 hingga 10 orang
tentera. Pada malam pertempuran, anggota tentera keturunan Punjabi yang
ditempatkan di kubu kebal berhampiran Pantai Sabak dan Pantai Cahaya Bulan
dikatakan telah dirantai oleh pegawai tentera berbangsa Inggeris untuk mengelak
mereka melarikan diri.
Bagaimanapun, tidak kesemua kubu kebal diawasi tentera
memandangkan kekurangan anggota. Banyak kubu tidak digunakan, bahkan tidak
berlaku pertempuran di kawasan itu. Tentera Jepun melalui kawasan yang
mempunyai kubu kebal itu tanpa sebarang tentangan.
Kubu kebal masih kukuh sampai sekarang. Bagaimanapun,
dianggarkan berpuluh-puluh kubu kebal yang dibina berhampiran dengan pantai telah banyak yang berkubur di dasar laut apabila tapaknya mengalami
hakisan. Kubu kebal yang tenggelam itu masih dalam bentuk asal atau tidak
berlaku kemusnahan struktur asalnya.
Sekarang ini terdapat kira-kira 20 buah kubu kebal yang
masih berada di daratan.
Pihak Muzium Kelantan pernah ‘memulihara’ sebuah kubu kebal
yang terletak di Pantai Sabak pada awal tahun 80-an yang dijadikan sebagai
salah satu daya tarikan ke pantai peranginan itu.
Bagaimanapun, sejak awal
tahun 90-an, pantai itu telah mengalami hakisan teruk yang turut menenggelamkan
kubu kebal di situ.
Pihak Muzium Kelantan telah membuat raplika kubu kebal yang
diletakkan di kawasan Memorial Perang Dunia Kedua sebagai tatapan umum.
Gambar - Kubu kebal yang masih terdapat di Pantai Kundur.
No comments:
Post a Comment