Tuesday, 9 October 2018

RUMAH MEWAH BURUNG LAYANG-LAYANG

Malaysia menjadi antara pengeluar utama sarang burung walit atau lebih dikenali sebagai burung layang-layang (burung layang-layang dan burung walit sebenarnya berbeza - untuk tujuan penulisan ini walit akan disebut burung layang-layang).

Promosi yang berterusan mengenai potensi industri mencetuskan fenomena kegilaan pengusaha baru untuk menceburinya. Bagi pengusaha yang sudah lama menceburinya pula berusaha untuk mengembangkan sayap perniagaan setelah menikmati keuntungan lumayan.  

Jika tidak diperhatikan dengan teliti, kebanyakan orang tidak menyedari sesebuah bangunan baru digunakan sebagai rumah burung layang-layang disebabkan telah “disamarkan” kelihatan seperti seakan-akan pejabat.

Bahkan banyak orang bertanya mengapakah bangunan yang diketahui telah siap beberapa tahun lalu tetapi masih tidak digunakan. Sedangkan sebenarnya, bangunan itu sebenarnya telah dijadikan sebagai rumah burung layang-layang sebaik siap dibina.

Apa tidaknya, ada bangunan baru yang bercat dan bercermin cantik sebenarnya rumah burung layang-layang. Bangunan itu lebih cantik berbanding bangunan-bangunan lain di sekelilingnya. Operasi perniagaan seperti kedai dan ruang pejabat dilakukan di tingkat bawah, dan di tingkat atas dijadikan rumah burung layang-layang. 

Malah, ada rumah burung layang-layang didirikan bersebelahan dengan hotel, yang kelihatan rumah burung layang-layang itu seperti sebahagian daripada hotel berkenaan. Hebat sekali bangunan sarang burung layang-layang!

Disebabkan pulangan yang lumayan melalui industri sarang burung layang-layang, banyak pengusaha yang sanggup mengeluarkan perbelanjaan antara RM300 ribu hingga satu juta ringgit untuk membina atau membeli bangunan untuk dijadikan rumah sarang burung layang-layang.

Bangunan yang diubahsuai menjadi rumah burung layang-layang dikonkrit sepenuhnya kecuali dibuatkan lubang-lubang kecil berukuran kira-kira 15 cm garis pusat sebagai ‘pintu’ untuk membolehkan burung layang-layang memasukinya dan juga pengudaraan.

Untuk menarik minat burung layang-layang datang dan membuat sarang, suhu di dalam bangunan perlu sederhana, sesuai seperti dalam sebuah gua yang menjadi habitat asal burung tersebut.

Mungkin satu fenomena tidak menyenangkan yang tidak dapat dielakkan ialah kicauan bunyi bising burung layang-layang ketika waktu petang hampir ke senja. Ketika itu juga sambil terbang burung layang-layang mengeluarkan najis yang jatuh merata-rata. 

Untuk menarik kehadiran burung layang-layang, pembesar suara yang mendengarkan rakaman suara burung layang-layang dipasangkan di setiap bangunan berkenaan. Rakaman suara burung layang-layang ini penting terutama di bangunan baru untuk menarik perhatian burung layang-layang.

Disebabkan banyak rumah sarang burung layang-layang yang disediakan, burung layang-layang agak ‘memilih’ hendak tinggal di mana yang lebih menarik. Jadi, pengusaha “hotel” burung layang-layang perlu menyediakan sesuatu yang menarik berbanding yang ada berhampiran.   

Membina bangunan atau megubahsuai bangunan sedia ada untuk tujuan dijadikan rumah burung layang-layang didapati lebih menguntungkan daripada disewakan untuk tujuan perniagaan. 

Harga sarang burung layang-layang yang belum diproses bernilai antara RM4,500 hingga RM5,500 sekilogram mengikut kualitinya. Bahkan kadangkala harganya lebih tinggi daripada itu. 

Tempoh pungutan sarang burung layang-layang biasanya antara tiga hingga empat bulan sekali. Setiap kali pungutan, pengusaha memperoleh kira-kira tiga kilogram untuk satu tingkat bangunan.  Keuntungan yang diperoleh berlipat ganda berbanding kos pengurusan bangunan.

Memandangkan nilai sarang burung layang-layang amat tinggi, rumah burung layang-layang sering diceroboh oleh pencuri. Justeru, pengusaha terpaksa memasang besi, kawat berduri dan tembok konkrit untuk mengelak berlaku kecurian. 

Malah ada pengusaha yang memasang sistem keselamatan yang biasanya dipasang di rumah kediaman orang ternama. Usaha itu berbaloi untuk mencegah sarang burung yang mahal itu dicuri. 

Begitulah ‘bertuahnya’ burung layang-layang yang mendapat sesuatu yang lebih hebat berbanding manusia. Ketika masih banyak orang tidak memiliki rumah atau tinggal di rumah usang, burung layang-layang pula mendapat kediaman yang hanya layak didiami orang kaya. 

Semuanya ini berpunca air liur burung layang-layang yang dikeluarkan untuk membuat sarangnya yang mendapat permintaan tinggi kerana dipercayai mempunyai banyak khasiat dan amat lazat rasanya.

Khasiat sarang burung layang-layang dipercayai dapat melancarkan perjalanan darah, meningkatkan kekuatan jantung, memulihkan penyakit asma dan meningkatkan tenaga.

No comments:

Post a Comment