Sunday, 21 October 2018

BENARKAH ORKID MENJADI LAMBANG STATUS

Bunga orkid dianggap lambang status pemiliknya. Tarikan utama orkid ialah kecantikan dan keunikan bunganya. Ia mempunyai keistimewaan tersendiri yang tiada terdapat pada bunga jenis lain.

Orkid atau dikenali juga dengan nama anggerik amat diminati oleh segenap lapisan masyarakat.

Setiap orang yang terpandang bunga orkid, pasti tergerak di hati untuk turut menanamnya di halaman dan di dalam rumah. Menjadi satu kebanggaan bagi mereka yang di rumahnya terdapat orkid yang menghiasi. Saat paling menggembirakan tentulah apabila orkid sedang berbunga.

Bunga orkid yang digubah disematkan kepada baju pemimpin politik, orang kenamaan atau orang yang diraikan ketika menyambut kedatangan mereka. Selain itu, dalam satu-satu majlis hanya orang tertentu memakai hiasan bungan orkid di baju.

Bunga orkid juga menjadi penghias muka gelas bagi tetamu hotel terkemuka. Bunga orkid itu bukan memberi apa-apa rasa kepada miniman, tetapi satu lambang status dan penghormatan kepada tetamu.

Orkid menjadi lambang bunga universal. Ia tidak seperti bunga ros atau bunga mawar yang berkaitan dengan percintaan. Orkid sesuai dihadiahkan kepada sesiapa sahaja sama ada lelaki atau perempuan.

Tanpa disedari, orkid kebanyakannya hanya dikaitkan dengan golongan kaya dan ternama. Timbul persoalan adakah orkid hanya milik orang kaya dan tidak mampu ditanam dan dimiliki orang yang kebanyakan.

Justeru, benarkah orkid menjadi lambang status dan kebanggaan kepada mereka yang menanam, memilik, menggunakan atau dihadiahkan orkid. Ia dilambangkan sebagai bunga yang mahal dan amat istimewa. Benarkah orkid juga dikaitkan dengan tuah kepada miliknya?

Tidak dinafikan ada jenis orkid berharga sampai beribu-ribu sepokok. Tentulah ia hanya mampu dimiliki oleh orang kaya. Kalaupun orang kebanyakan mampu membelinya, tentu tidak ramai yang sanggup membelanjakan wang yang banyak hanya untuk sepohon orkid. Wang itu lebih baik digunakan untuk tujuan lain yang lebih penting.

Sebenarnya pokok orkid yang berharga mahal tidak banyak. Orkid berharga mahal biasanya hanya daripada jenis tertentu yang terkenal kerana keunikan bunga serta warnanya. Jenis tersebut sukar ditemui kerana baru dibiakkan atau permbiakannya dikawal supaya jumlahnya tidak banyak dan harganya sentiasa tinggi.

Pokok orkid istimewa mempunyai nama khas yang dikhaskan sempena nama orang yang menemui (menghasilkan melalui penyelidikan) baka tersebut, pemimpin terkenal atau orang ternama. Nama tersebut didaftarkan dengan pertubuhan khusus mengenai orkid.

Sedangkan, kebanyakan jenis orkid berharga murah sekitar beberapa ringgit sehngga ratusan ringgit. Ia mudah diperoleh di kebanyakan tempat semaian bunga atau ditanam di rumah orang kebanyakan. 

Orkid adalah tumbuhan liar berasal dari hutan tropikal. Ia dikatakan berasal di kawasan Asia Tenggara. Sebab itu orkid mudah ditemui hampir di semua tempat di Malaysia yang tergolong kawasan hutan tropika.

Dalam keadaan semua jadi, orkid tumbuh di atas pokok atau tanah di hutan tanpa ditanam. Ia mudah membiak dan tahan kepada perubahan cuaca.

Baca juga;



No comments:

Post a Comment