Isu berkaitan khatan bayi perempuan
menjadi polimik sejak dahulu yang ditimbulkan di kalangan pejuang hak asasi di
Barat. Mereka menuduh perbuatan itu zalim.
Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan
Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) berkata amalan sunat merupakan pencabulan hak
remaja dan wanita.
Sebenarnya, perbuatan berkhatan bagi wanita sudah
menjadi amalan kebiasaan sebahagian masyarakat termasuk masyarakat Arab sejak
dahulu kala. Pada zaman Rasulullah SAW, amalan ini berlaku dan Rasulullah SAW
mengiktirafnya di samping meletakkan beberapa kaedah.
Allah berfirman di dalam al-Quran:
"Kemudian Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad): Hendaklah engkau
menurut ugama Nabi Ibrahim, yang berdiri teguh di atas jalan yang benar; dan
tiadalah ia dari orang-orang musyrik.
(Surah al-Nahl, ayat 123)
Telah sabit daripada hadis bahawa Nabi
Ibrahim melaksanakan khatan seperti mana yang diarahkan oleh Allah. Daripada
Abu Hurairah SAW bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Nabi Ibrahim AS
berkhatan menggunakan qaddum (alat seperti beliung, kapak kecil) pada umur
beliau 80 tahun. (Hadis riwayat Imam al-Bukhari (no. 3356) dan Imam Muslim (no.
2370) dalam al-Sahihain).
Sabitnya pensyariatan khatan ini juga
dikuatkan dengan hadis daripada Humaid bin Bilal, bahawa Rasulullah SAW bersabda
bermaksud: "Dan apabila bertemu dua khitan (kemaluan lelaki dan wanita,
ertinya jimak) maka wajiblah mandi. (Hadis riwayat Imam Muslim dalam al-Sahih no.
349).
Hadis ini menunjukkan bahawa wanita juga
berkhatan.
Dalam mazhab al-Syafie, hukum
berkhatan bagi wanita adalah wajib mengikut pendapat yang masyhur dan seperti
mana yang diputuskan oleh Imam al-Syafie. Imam al-Rafie daripada Syafieyyah ada
menyebutkan suatu wajah (pendapat) dalam mazhab Syafie bahawa hukumnya sunat ke
atas wanita, tetap pendapat ini dianggap syadz (ganjil).
Imam Ahmad turut menyatakan
kewajipannya tetapi Imam Abu Hanifah, Imam Malik dan majoriti ulama menyatakan
ianya sunat. (Rujuk Majmu’ Syarh al-Muhazzab (1/300-301) oleh Imam al-Nawawi)
Timbul isu dalam kalangan masyarakat
bahawa khatan wanita mencacatkan anggota dan tafsiran bahawa khatan wanita itu
tidak disyariatkan di dalam Islam. Sebenarnya kami berpendapat isu ini berpunca
daripada pengamalan budaya yang bukan Islam dan kejahilan sebahagian orang yang
mengendalikan khatan yang melampau sehingga mencacatkan fungsi kemaluan wanita.
Berkata Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi:
“Dan wajib dipastikan tidak berlaku pencacatan oleh mereka yang mengendalikan
urusan khatan anak perempuan mereka berdasarkan cara yang datang daripada
hadis. Dan tidak boleh dilabelkan perbuatan khatan itu sebagai satu bentuk
jenayah yang dilakukan dalam kurun ke 21, melainkan dalam kes-kes yang
melanggar had-had yang disepakati dalam Syarak, iaitu al-isti’sal
(pemotongan/pengembirian kemaluan), berlebihan dalam memotong, dan dikendalikan
oleh orang-orang yang jahil daripada kalangan bidan dan selainnya, dan
janganlah ubatan yang digunakan itu memandulkan.”
Berkata Prof. Dr. Wahbah al-Zuhaili:
“Berkhatan itu disyariatkan, dan tidak ada pendapat yang boleh menidakkan
perkara ini sama ada bagi lelaki mahupun wanita. Yang penting adalah hendaklah
ianya disempurnakan oleh doktor yang dipercayai. Jika seorang wanita tidak
melakukan khatan, tidak ada dosa ke atasnya kerana itu merupakan haknya dan
satu bentuk penghormatan atas qaul yang rajih dan ianya bukanlah wajib dan
tidak perlulah kamu mewajibkannya.”
Tarjih dan Kaifiat berkhatan.
Kami mentarjihkan pendapat bahawa
wajib hukumnya berkhatan bagi lelaki dan perempuan.
Adapun bahagian yang wajib untuk
dibuang ketika berkhatan ialah:
- Bagi lelaki, bahagian kulit yang
menutupi hasyafah (kepala zakar).
- Bagi perempuan, bahagian kulit di atas
saluran kencing (klitoris), yang seperti balung ayam jantan. Bagi perempuan
disunatkan agar dinipiskan atau dikemaskan sahaja, dan jangan melampau-lampau
dalam memotong seperti amalan female genital mutilation yang mana
sehingga merosakkan dan mencacatkan klitoris.
Bahkan perbuatan seperti itu
diharamkan dalam Islam. Ini berdalilkan hadis daripada Ummu Atiyyah
al-Ansariyyah bahawa perlaksanaan khatan berlaku dalam kalangan kaum perempuan
di Madinah, lalu Rasulullah SAW berpesan kepada beliau yang bermaksud: “Janganlah
engkau potong semuanya, kerana itu menguntungkan bagi wanita dan disukai oleh
suami.” (Hadis riwayat Imam Abu Daud dalam Sunan no. 5271).
Beliau mendaifkannya. Ini dipersetujui
oleh Syeikh Syuaib al-Arnaut, tetapi disahihkan oleh Syeikh al-Albani. (Rujuk
Majmu’ Syarh al-Muhazzab (1/301-302) oleh Imam al-Nawawi.)
Begitulah cara mengkhatan lelaki dan
wanita yang betul. Hendaklah dalam urusan ini kita bersikap adil, tidak
cenderung kepada masyarakat yang menzalimi wanita dan tabiatnya, dan tidak pula
cenderung kepada mereka yang memperlekehkan Syariat Islam dan pengamalannya.
No comments:
Post a Comment