Friday, 23 November 2018

WASPADA ELAK MENJADI MANGSA PENIPUAN


Bohong atau al-kazib ialah menyatakan tidak benar atau dusta mengenai sesuatu. Bohong juga berkaitan dusta, tipu muslihat dan penyelewengan. 

Kes penipuan banyak berlaku. Orang kena tipu dipanggil mangsa penipuan. Maksudnya orang yang dianiayai dan mendapat nasib malang. Penipu pula dipanggil pemangsa atau orang mendapat keuntungan hasil perbuatan itu.

Penipuan berlaku banyak sebab dan dalam banyak keadaan. Jadi, tidak boleh kita terus menyalahkan mana-mana pihak yang kena tipu. Di pihak penipu memanglah bersalah.

Puncanya kerana orang ditipu mungkin terlalu mempercayai atau yakin dengan kejujuran seseorang. Banyak perkara diambil mudah sehingga mudah menjadi mangsa penipuan. Mangsa mempercayai penipu kerana mungkin diperkenalkan oleh orang yang telah dipercayai mangsa.

Semua orang terdedah menjadi mangsa penipuan. Rasulullah SAW juga pernah ditipu oleh kaum Yahudi yang ingkar tidak mematuhi perjanjian. Ada juga orang berpura-pura memeluk Islam, tetapi dengan niat jahat. Mereka ini dipanggil munafik.

Masa sekarang, penipuan berlaku dalam segenap aspek. Dalam politik, penipuan paling besar tentulah berkaitan manifesto. Banyak manifesto tidak ditunaikan. Itu adalah penipuan. Mereka membuat manifesto atau berjanji sekadar ingin mendapat undi.

Dalam perniagaan juga banyak penipuan. Malah ada pepatah, kalau berniaga tanpa menipu, mana dapat untung. Pepatah itu, memang tidak boleh dipakai. Namun itulah banyak dilakukan oleh mereka yang tamak. Dalam Islam, kejujuran amat penting untuk mendapat keberkatan dan keuntungan.

Apapun punca penipuan, orang yang kena tipu atau menjadi mangsa penipuan tentu sekali tidak mahu perkara itu berlaku. Maka, tidak patut jika mangsa penipuan yang dipersalahkan. Yang boleh kita sebut ialah pengalaman itu perlu dijadikan pengajaran oleh individu berkenaan dan juga orang lain.

Kata bijak pandai, orang Islam tidak akan dipagut dua kali oleh ular dari lubang yang sama. Berhati-hati dari menjadi mangsa penipuan.

No comments:

Post a Comment