Peribahasa membanting tulang bermaksud melakukan kerja dengan
bersungguh-sungguh.
Dalam proses penghasilan padi, terdapat kerja-kerja membanting
padi atau juga dipanggil memukul padi. Membanting ialah proses meleraikan buah padi
dari tangkainya.
Kerja
membanting padi memang memerlukan banyak tenaga. Kalau dilakukan tidak bersungguh-sungguh,
buah padi tidak akan terlerai kesemuanya. Agaknya sebab itu mengapa membanting tulang
bermaksud kerja bersungguh-sungguh.
Kerja
membanting padi biasanya dilakukan oleh lelaki. Jika wanita turut serta, mereka
biasanya lebih menumpukan kepada kerja menyabit atau mengerat pokok padi.
Dalam
proses memukul, sebuah tong padi yang dilengkapi dengan sehelai layar yang
diperbuat daripada tikar atau kain guni dan sebuah tangga kecil di dalamnya
berserta dengan kayu (buloh) yang mencekangkan layar yang di kenali sebagai
"turus layar" akan digunakan.
Kedap-kedap
atau ikatan batang padi akan dipukul ke dalam tong padi dan buah padi akan
terlerai masuk dan terhimpun di dalam tong tersebut. Layar digunakan untuk
mengelak buah padi yang terlerai itu 'melompat' keluar dari tong ketika proses
memukul.
Ukuran
ikatan batang padi berdasarkan kepada keselesaan atau kemampuan pemukul. Kalau
yang lagi besar, lebih cepat selesai kerja memukul, tetapi memerlukan banyak
tenaga untuk mengangkat ikatan batang padi melepasi paras kepala sebelum
dihempas atau dipukul di atas tangga di dalam tong padi.
Ikatan
batang padi biasanya menggunakan kain atau tali yang tidak licin dan berukuran
lebar. Batang padi sebenarnya bukan diikat simpulan mati, sebaliknya sekadar
dijerut agar kemas dan tidak terurai semasa proses memukul.
Pokok
padi yang telah semua buah padi terlerai atau terpisah dari tangkainya
dinamakan jerami.
No comments:
Post a Comment