Thursday, 23 May 2019

SEDEKAH MENJELANG AIDILFITRI

Golongan kaya perlu memahami penderitaan yang terpaksa ditanggung golongan miskin. Amat baik dan berhati mulia jika menghulurkan bantuan kepada golongan miskin agar dapat menikmati taraf kehidupan lebih baik, lebih-lebih lagi ketika persiapan menyambut Aidilfitri ini. 

Bantuan yang disumbangkan, tidak kira apa jenis sekali pun amat bermakna bagi golongan miskin dan fakir. Mungkin sumbangan itu satu nilai yang amat sedikit bagi golongan kaya, tetapi sesuatu yang amat berharga boleh golongan miskin. 

Bahkan, pakaian terpakai yang sudah menjadi bahan buangan bagi golongan kaya adalah sesuatu yang paling berharaga bagi golongan miskin. Pakaian itu lebih baik daripada apa yang mereka miliki dan gunakan sekarang. 

Sesungguhnya sedekah pada bulan Ramadan adalah seutama-utama sedekah berbanding sedekah pada bulan-bulan lain. Pahala sedekah pada bulan Ramadan digandakan pahalanya, seperti mana Allah menggandakan balasan pahala bagi setiap kebaikan yang dilakukan sepanjang Ramadan.

Sedekah yang diberikan tidak semestinya dalam nilai yang besar. Sesiapa yang ingin menghulurkan sedekah, berikanlah mengikut kemampuan. Apa yang penting ialah keikhlasan pemberinya dan manfaat yang diperoleh oleh penerimanya.

Sedekah dalam bentuk makanan, pakaian dan wang sesuatu yang amat bermakna bagi golongan miskin. Ia satu keperluan asas yang diperlukan semua orang.  

Ketibaan Syawal disambut golongan miskin tidak ada bezanya dengan hari-hari lain. Tidak ada apa yang membolehkan mereka menyambut Aidilfitri dalam keadaan bergembira, melainkan rasa bersyukur dan memikirkan cara mana hendak meneruskan kehidupan seharian.  

Sedekah adalah lambang kasih sayang dan bersyukur dengan nikmat yang dikurniakan oleh Allah. Sesiapa bersyukur, dia akan ditambahkan nikmat hidup di dunia dan akhirat.  

Kekuatan umat Islam terbentuk melalui kasih sayang dan persaudaraan. Sesungguhnya, seluruh umat Islam adalah bersaudara antara satu sama lain. Perkara ini perlu diterjemahkan terutama ketika sambutan Aidilfitri. 

Islam mengutamakan amalan sedekah bukan saja bertujuan memberi kebaikan kepada orang yang menerima sedekah itu. Bahkan, amalan bersedekah turut memberi kebaikan kepada orang yang memberi sedekah. 

Sebahagian harta yang disedekahkan akan membersihkan dan menyuburkan sebahagian harta yang masih dimiliki. Ia membantu menumbuhkan tunas-tunas rezeki yang lebih diberkati dan memberi manfaat kepada pemiliknya.    

Rasa keimanan yang ditanam sepanjang Ramadan mampu mengikis perasaan sayang harta kekayaan, sebaliknya lebih mudah melakukan sedekah dan membelanjakan harta ke jalan Allah.    

Tingkatkan amalan bersedekah pada bulan Ramadan. Sesungguhnya sedekah dapat menghindarkan diri daripada dilalaikan dengan keindahan dan kemewahan dunia.

Banyak orang menjadi kufur disebabkan tidak mensyukuri nikmat harta disedikan oleh Allah. Perasaan angkuh dan sayangkan harta menyebabkan seseorang merasakan apa yang dimilikinya adalah hasil kebolehnya mencari harta di dunia ini dan menolak yang hakikatnya ia dikurniakan oleh Allah Yang Maha Pemberi Rezeki.

Sempena ketibaan Aidilfitri ini, jadikan amalan bersedekah sebagai sebahagian daripada keberkatan Ramadan yang mendidik manusia menjadi insan bertakwa.   

No comments:

Post a Comment