Kita tidak
mengetahui bilakah masa ajal, biarpun yakin saat itu adalah pasti. Apabila tiba
masa ajal, tidak ada siapa pun dapat menghalangnya, biarpun diketahui bekalan
untuk hari akhirat belum mencukupi.
Firman Allah
bermaksud: “Dan bagi setiap umat ada tempoh masanya (yang telah ditetapkan),
maka apabila datang ajalnya, tidak dapat mereka melambatkan walaupun sesaat,
dan tidak dapat pula mereka mempercepatkannya.” (Surah al-Araf, ayat 34).
Begitulah
pentingnya disegerakan sebarang pekerjaan yang perlu dilakukan tanpa
menangguhnya. Sebab itu Rasulullah menjelaskan agar ‘rebut’ berberapa perkara
sebelum tiba perkara lain. Rasulullah menggunakan perkataan rebut sebagai
menyatakan perkara itu perlu dilakukan dengan bersunguh-sungguh dan cepat.
Antara perkara
jangan ditangguh-tangguh ialah melakukan taubat. Amatlah baik jika melakukan
taubat sepanjang masa bagi memastikan perjalanan hidup mendapat keampunan
Allah. Sebenarnya melakukan taubat tidak hanya apabila melakukan dosa. Taubat
juga satu bentuk ibadat. Bertaubat akan membersihkan jiwa dan menjauhkan diri
daripada kemungkaran.
Biarpun pintu
taubat sentiasa terbuka, namun ada batasan waktunya. Taubat hanya diterima
selagi nyawa belum sempai di halkum atau ketika hampir sangat dengan kematian.
Sabda Rasulullah
bermaksud: “Sesungguhnya Allah tetap menerima taubat hamba-Nya, selagi nyawa
belum sampai di halkum (yakni belum sakaratulmaut).” (Hadis riwayat Tarmizi).
Ramai orang
menangguh-nangguhkan taubat disebabkan ingin menunggu usia tua. Semasa usia
muda mereka ingin melakukan segala macam perkara yang mendatangkan keseronakan
dan kepuasan. Kebanyakan perbuatan itu adalah dosa, termasuklah dosa besar.
Apabila tua baru
mereka ingin bertaubat dan menumpukan sepenuh masa dan tenaga untuk beribadat.
Kononnya ketika usia tua nafsu untuk melakukan perbuatan dosa sudah tiada lagi.
Mereka telah puas menikmati kehidupan di dunia, dan tambahan pula tenaga telah
berkurangan.
Angan-angan
mereka itu semata-mata didorong oleh syaitan. Ramai individu yang telah
memasuki peringkat usia tua tetapi masih hanyut dengan pelbagai jenis dosa.
Mereka terus dikuasai syaitan yang tidak mahu gagal dalam usaha selama ini.
Syaitan semakin bersemangat dan bersungguh-sungguh memperdayakan manusia hingga
ke akhir hayat.
Sesungguhnya
sikap bertangguh dalam hal apa sekalipun tidak mendatangkan kebaikan, melainkan
bertangguh daripada melakukan kemungkaran. Sesiapa menangguhkan niat melakukan
kemungkaran, pada dirinya sudah mendapat satu kebaikan.
Individu yang
berjaya menangguhkan diri daripada melakukan kemungkaran, dia tidak menghadapi
kesukaran untuk terus mengelakkan diri daripada melakukan kemungkaran
itu.
No comments:
Post a Comment