Gua Hira ialah sebuah gua
yang terletak kira-kira 3.2 kilometer dari Makkah, di atas sebuah gunung atau bukit
yang dikenali Jabal Nur atau Bukit Cahaya.
Gua Hira menyimpan catatan
sejarah tempat junjungan besar Nabi Muhammad SAW menerima wahyu pertama
daripada Allah SWT.
Rasulullah SAW menerima
wahyu pertama baginda ketika bersendirian di Gua Hira.
Malaikat Jibril datang dan mengajar baginda untuk membaca lima ayat pertama dalam surah al-Alaq
yang bermaksud: “Bacalah dengan menyebut nama Tuhan yang menciptakan. Dia telah
menciptakan manusia daripada segumpal darah. Bacalah dan Tuhanmulah yang paling
pemurah. Yang mengajar manusia dengan perantaraan kalam. Dia mengajarkan kepada
manusia apa yang tidak diketahui.”
Gua Hira tidaklah besar.
Sekadar berukuran 3.7 meter panjang dan 1.6 meter.
Ruang di dalam gua hanya
selesa untuk dua orang dan ramai pengunjung mengambil kesempatan melakukan
solat sunat di situ.
Apa yang menakjubkan
dari ruang yang dikatakan menjadi tempat solat Rasulullah SAW, kita akan dapat
melihat secara jelas Baitullah dari celah-celah batu.
Kedudukan Gua Hira kira-kira
270 meter dari paras laut. Letaknya di tebing menegak yang agak curam. Justeru,
untuk mendakinya memerlukan tenaga dan kekuatan fizikal mental yang kuat.
Untuk sampai ke Gua
Hira, kita mempunyai dua pilihan, kedua-duanya cukup
menggentarkan. Laluan pertama perlu melalui celah-celah bukit yang cukup sempit
manakala laluan kedua perlu mendaki tebing curam.
Tempoh pendakian kira-kira
30 minit sehingga 45 minit mengikut kelajuan langkah seseorang.
Mereka yang pernah mendaki
Jabal Nur akan merenung memikirkan bagaimana Rasulullah SAW boleh sampai ke puncak
tersebut dengan menunggang unta baginda dan bagaimana pula kudrat isteri
baginda, Siti Khadijah yang saban hari menghantar makanan kepada Rasulullah SAW
ketika baginda bersendirian di bukit.
Sekarang ini, untuk ke
puncaknya sudah ada anak tangga dibina tetapi fikirkan bagaimana sukarnya
Rasulullah SAW mendaki dahulu dengan menunggang unta, tiada anak tangga, tiada
jalan pintas. Apa yang ada ialah satu pendakian bukit yang cukup menyeksakan.
Mungkin atas sebab
itulah ada antara pengunjung tidak menggunakan anak tangga sebaliknya berusaha
mendaki melalui laluan biasa untuk sampai ke Gua Hira. Niat mereka mahu merasai
kesusahan Rasulullah SAW.
Ramai
yang mendaki pada awal pagi dan berada di puncak Bukit Cahaya itu sebelum waktu
subuh. Apabila azan Subuh dilaungkan, gema bunyinya dari dari pelbagai ceruk pelusuk
kota Mekah dan wajah kota mula tersingkap sedikit demi sedikit yang sebelum itu
hanya dilihat dari cahaya lampu.
Gambar: Pemandangan Kota Makkah dari puncak Jabal Nur.
No comments:
Post a Comment