Wednesday, 20 July 2022

SEJARAH GUA MUSANG DITAWAN KOMUNIS

 
Pada 17 Julai 1948, Gua Musang ditawan oleh pengganas Komunis. Hubungan di antara Gua Musang dengan kawasan-kawasan lain di Persekutuan Tanah Melayu telah terputus. Penduduk di situ dimaklumkan bahawa Gua Musang adalah kawasan terakhir yang dibebaskan oleh PKM dari penjajah, seluruh Tanah Melayu sudah menjadi milik PKM. 
 
Hakikatnya Gua Musang adalah kawasan yang pertama dan terakhir berjaya ditawan oleh pengganas komunis. 
 
Awal pagi 17 Julai 1948, segerombolan 100 orang pengganas komunis menyusup masuk ke pekan Gua Musang. Mereka telah berpecah kepada beberapa kumpulan, dan memasuki kampung-kampung berdekatan untuk menangkap ketua-ketua masyarakat Gua Musang. 
 
Menjelang siang, mereka telah berkumpul dan mengepung Balai Polis Gua Musang. Gerombolan pengganas komunis di bawah komander tempatan bernama Kim Siong menyerang balai polis yang diketuai oleh seorang Inspektor dengan 15 anggota. 
 
Balai Polis Gua Musang yang pada masa itu baharu didirikan semula di kaki Bukit Gua Musang berhampiran dengan stesen kereta api menggantikan balai polis yang musnah dibakar semasa pendudukan Jepun. 
 
Walaupun dengan kekuatan hanya seramai 16 anggota, mereka dapat bertahan selama hampir satu jam setengah sehingga kehabisan peluru. 
 
Dari sudut geografi, pihak pengganas mempunyai kelebihan. Mereka berada pada kedudukan yang lebih tinggi kerana balai itu terletak di lembah. Dari atas bukit batu kapur mereka melepaskan tembakan dan melempar bom tangan ke arah balai. 
 
Seorang anggota polis terkorban, 14 anggota telah menyerah diri dan seorang lagi berjaya melarikan diri. Manakala di pihak komunis tidak diketahui jumlah yang terkorban. 
 
Menurut Chin Peng, Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM), pihaknya berjaya menahan kesemua anggota balai tersebut sebagai tebusan. 
 
Setelah berjaya menawan Balai Polis Gua Musang, pihak pengganas telah mengambil alih pekan Gua Musang dan kampung-kampung berdekatan tanpa tentangan. 
 
Satu-satunya alat perhubungan dengan dunia luar yang berada di balai itu dimusnahkan. Gua Musang kini terputus terus hubungan komunikasi. 
 
Penduduk tempatan dikumpulkan dan pengumuman dibuat. Mereka dimaklumkan bahawa PKM telah menawan seluruh Tanah Melayu, dan Gua Musang adalah kawasan terakhir ditawan oleh PKM. 
 
Usaha pemerintah Inggeris di Persekutuan Tanah Melayu menghantar pasukan tentera dari pos terdekat terhalang akibat tindakan sabotaj oleh pengganas. Gua Musang tidak dapat diselamatkan daripada menjadi jajahan pertama Parti Komunis Malaya di Semenanjung Tanah Melayu. 
 
Hakikatnya, Gua Musang kekal dalam lipatan sejarah sebagai satu-satunya yang disebut oleh PKM sebagai kawasan yang dibebaskan dari penjajah Inggeris. 
 
Walaupun seawal esoknya, pihak Persekutuan Tanah Melayu menghantar bantuan dan memulakan serangan udara ke atas Gua Musang. Namun selama lima hari, Gua Musang kekal sebuah “Republik Komunis di Tanah Melayu”. 
 
Beberapa hari kemudian, satu operasi dengan pesawat terbang Dakota telah dilakukan terhadap pengganas komunis di bandar ini. Anggota-anggota polis yang ditawan pengganas dalam pertempuran sehari sebelum itu berjaya dibebaskan dan dibawa balik ke Kuala Krai. 
 
Gerombolan komunis tersebut dipercayai telah berundur melalui Kampung Pulai. 
 
Walaupun daerah Gua Musang adalah antara kawasan penempatan awal di Kelantan, tetapi sehinggalah ke tahun 80-an tidak ada jaringan jalan raya menghubungkan Gua Musang dengan bandar-bandar berdekatan. Ia hanya dihubungkan oleh laluan kereta api dari Kuala Lipis dan Kuala Krai. 
 
Terletak di selatan negeri Kelantan dan bersempadan dengan Negeri Pahang dan Perak, Gua Musang merupakan kawasan tanah tinggi dengan dikelilingi oleh bukit-bukit batu kapur. 
 
Penerokaan kawasan hutan bermula pada tahun 1908, bagi penanaman getah. Peneroka awal terpaksa berdepan dengan kesukaran akibat ketiadaan kemudahan asas dan ancaman pengganas komunis yang berterusan. 
 
Ketika itu Gua Musang ibarat Siberia, di Russia. Sebut sahaja nama daerah itu, pelbagai persepsi negatif bermain di imaginasi. Apa lagi Gua Musang juga terkenal sebagai tempat orang-orang buangan. 
 
Pada tahun 1978, Kerajaan Persekutuan telah menubuhkan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) bertujuan mengimbangi komposisi penduduk Kelantan Selatan dan Utara, membasmi kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat. Sejak penubuhan KESEDAR, Gua Musang mula berkembang pesat. 
 
Walaupun kawalan keselamatan diketatkan, aktiviti militan PKM mendapat simpati segelintir masyarakat Cina. 
 
Menurut Chin Peng di dalam bukunya My Side Of History, apabila PKM menilai semula cadangan pendekatan strategik baharu, mereka mendapati keperluan menubuhkan satu kawasan bebas penjajah atau liberated area sebagai permulaan ke arah penubuhan negara komunis. Untuk tujuan itu, mereka telah memilih Negeri Kelantan. 
 
“Terletak 100 batu dari Kuala Krai, pekan Gua Musang adalah sentiasa menjadi kubu kuat PKM semenjak zaman pemerintahan Jepun. Gerila-gerila di situ mempunyai kelengkapan senjata dan bermotivasi tinggi serta diketuai oleh seorang komander yang mempunyai rekod cemerlang menentang tentera Jepun.” 
 
Bagaimanapun jika dikaji maklumat daripada buku ‘The Communist Party of Malaysia – The Inside Story’ oleh Aloysius Chin, kita mendapati Chin Peng bukan sahaja mahu menggerakkan gerila-gerila berpengalaman dari Perak ke Kelantan, tetapi lebih dari itu, Chin Peng juga telah menggerakkan gerila-gerila Islam dari rejimen yang baru ditubuhkan ke Gua Musang. 
 
Aloysius Chin, yang merupakan bekas Timbalan Pengarah (Operasi) Cawangan Khas menulis, “Pada satu tarikh dalam tahun 1949, Abdullah CD, Musa Ahmad dan Wahi Annuar telah mengadakan pertemuan dengan Chin Peng di Kerdau, Pahang. Chin Peng mendedahkan perancangan PKM untuk maju ke utara dan menubuhkan kawasan bebas penjajah. Chin Peng mengerahkan Rejimen ke 10 untuk menggerakkan kesemua ahlinya dan maju ke utara dengan segera. Pada waktu yang sama Rejimen ke 10 diarahkan meningkatkan rekrutnya kepada 500 orang.” 
 
Abdullah CD, merupakan antara pengasas Rejimen Ke 10 PKM. 
 
Chin Peng tidak memaklumkan kepada mereka di manakah kawasan bebas penjajah itu hendak diwujudkan. Sehinggalah mereka telah meninggalkan Luboh Kawah dan di dalam perjalanan ke utara baru mereka tahu bahawa kawasan yang hendak dibebaskan itu adalah Gua Musang. 
 
Maklumat ini tidak pernah didedahkan di dalam buku Chin Peng, dan jika ianya benar, maka ia adalah satu tindakan politik licik Chin Peng untuk menawan Kelantan dengan menggunakan sentimen agama Islam. 
 
Menurut sumber Aloysius Chin, Rejimen ke 10 ditubuhkan pada 21 Mei 1949 di Kerdau. Nombor 10 itu diambil sempena tarikh 10hb Zulhijah dalam kalendar Islam yang melambangkan pengorbanan dan dedikasi terhadap perjuangan, ia dikuasai oleh nasionalis tempatan dan tokoh-tokoh muda berpendidikan Islam. Songkok merupakan sebahagian daripada pakaian seragam rejimen ini. Ia terdiri daripada 5 platun dan satu seksyen wanita. 
 
Di dalam usaha pertama mereka ke Gua Musang, ia telah bertempur dengan pasukan keselamatan di Bukit Kuin, Pahang dan terpaksa berundur dan berkumpul di Gong, Pahang. 
 
Abdullah CD kemudiannya mengarahkan mereka bergerak di dalam 2 kumpulan. Abdullah CD mengetuai kumpulan pertama yang terdiri daripada platun pertama dan kedua. Wahi Annuar dan Musa Ahmad mengetuai kumpulan kedua yang terdiri daripada platun ketiga, keempat dan kelima. Bagaimanapun, strategi mereka sekali lagi menemui jalan buntu, dan hubungan sesama mereka terputus. 
 
Aloysius Chin menambah, ini mengakibatkan kumpulan ke dua berpecah. Wahi Annuar meneruskan usahanya dengan 200 orang rekrut, Shamsiah Fakeh, isteri Wahi yang sarat mengandung pula mengikuti kumpulan 50 rekrut di bawah Musa Ahmad untuk kembali ke Temerloh. Musa Ahmad, bersama Wahi Annuar kemudiannya mengetuai Kumpulan ke dua Rejimen ke 10. 
 
Musa Ahmad dan kumpulannya tersesat selama setahun sebelum bertemu semula dengan kumpulan yang diketuai oleh Abdullah CD. Shamsiah Fakeh melahirkan anaknya di dalam hutan dan bayi itu kemudiannya dicampakkan oleh gerila Cina ke dalam sungai. 
 
Wahi Annuar menyerah diri di Jerantut, Pahang dan langkahnya diikuti oleh lebih 150 orang anggota rekrut Melayu. 
 
Rejimen ke 10 tidak pernah tiba di Gua Musang. Akhirnya, pada tahun 1951 mereka diarahkan berundur ke Betong, Thailand. 
 
Chin Peng meletakkan kegagalan PKM menjadikan Gua Musang kawasan pertama di bawah pemerintahan komunis kerana tindakan tergesa-gesa komander PKM di Gua Musang untuk mengambil alih daerah tersebut. 
 
Walaupun PKM telah memutuskan untuk menawan Gua Musang, tetapi langkah yang diambil oleh Kim Siong untuk menyerang balai polis pada 17 Julai 1948 dibuat tanpa arahan daripada parti. 
 
Akhirnya, ‘kejayaan’ lima hari menguasai Gua Musang tidak membawa apa-apa makna kepada PKM. 
 
Nota - Artikel ini ditulis berpandukan maklumat daripada beberapa buah buku oleh sejarahwan, Cawangan Khas Polis DiRaja Malaysia dan Chin Peng. 
 
KREDIT : VAT 69 - PERJUANGAN SEMALAM.

No comments:

Post a Comment