Apa itu maksud rasis. Rasis dan perkauman telah lama menjadi istilah yang mengikat orang-orang
Melayu daripada bercakap tentang kepentingan Melayu. Dua istilah ini sekaligus
menjadi fobia kepada orang Melayu, bimbang kalau apa yang dikatakan terjebak
dalam erti rasis atau perkauman. Mereka tidak mahu menyinggung perasaan kaum lain.
Bagaimanapun dari sudut lain, fobia dilabel
dua istilah ini pula membuka laluan kepada kaum lain bertindak sebaliknya
kepada orang Melayu.
Sebenarnya kedua-dua istilah ini tidak ada
dalam perbendaharaan kata adat dan berbudaya orang Melayu. Orang Melayu tidak
diajar untuk berlaku rasis kepada kaum lain. Dalam budaya dan tradisi Melayu,
tetamu tetap dirai, silap dan lantangnya pula terpaksa ditelan dengan senyum
dan bermanis muka.
Inilah orang Melayu. Sejak turun temurun
mereka diasuh mendahulukan yang datang seperti kata bidalan, orang asing yang
singgah kekenyangan, anak di rumah mati kelaparan.
Dalam konteks politik, orang Melayu berpesan
kepada diri sendiri supaya memegang etika sebagai tuan rumah. Tetapi pada masa
yang sama, sesetengah pihak dalam kalangan kaum yang datang ke negara ini tidak
membawa budaya pendatang yakni menjaga hati tuan rumah.
Tetapi apalah gunanya menjadi tuan rumah
kalau terlalu kerap disuruh beralah dengan gelagat orang asing yang datang ke
rumah mereka? Sebenarnya orang Melayu di negara ini sudah lama dimangsai oleh
dua istilah di atas yang dilabelkan dengan sewenang-wenangnya kepada kepada
orang Melayu yang menyuarakan tentang hak mereka.
Ketidakadilan menggunakan label ini sangat
jelas apabila rasis tidak dirujuk kepada kaum lain, melainkan orang Melayu.
Persoalannya benarkah orang Melayu rasis ketika ada kaum lain yang berarak dan
membuat keganasan di jalan-jalan raya mempertikaikan hak orang-orang Melayu?
Dalam sebuah kampung yang dihuni oleh orang
Melayu bukanlah suatu fenomena yang luar biasa kalau ada sebuah kedai runcit
Cina yang begitu maju perniagaannya. Siapakah yang memajukan perniagaan kedai
runcit ini kalau bukan semua orang Melayu di kampung berkenaan?
Kalau benar orang Melayu mengamalkan racisme,
percayalah tidak ada kedai India atau Cina di kampung-kampung Melayu. Orang
Melayu tidak ada masalah untuk berurusan jual beli di kedai milik Cina dan
sikap ini bukan dibuat-buat sebaliknya memang menjadi amalan sejak dulu lagi.
Di pekan atau bandar-bandar pula, sebahagian
besar kedai dimiliki oleh orang Cina dan segelintir saja dimiliki orang Melayu.
Orang Cina tidak pergi ke kedai orang Melayu seperti orang Melayu
berduyun-duyun ke kedai Cina.
Malah sikap terbuka orang Melayu ini juga
banyak membunuh perniagaan orang Melayu di pekan dan bandar-bandar besar
apabila orang Melayu pilih kedai Cina dan orang Cina pilih kedai kaumnya. Itu
pun orang Melayu tetap dianggap kaum yang mengamalkan racisme terhadap
kaum lain.
Nampaknya orang Melayu tidak boleh lagi
berterusan mengambil langkah yang apologetik semata-mata untuk mengambil hati
kaum-kaum lain di negara ini. Apa saja yang menyentuh kepentingan orang Melayu
sebagai penduduk asal negara ini dan yang terkandung dalam Perlembagaan perlu
terus diperjuangkan.
Orang Melayu perlu mempunyai keberanian untuk
menangkis pihak lain yang menggunakan istilah rasis dan perkauman untuk menutup
hujah mengenai orang Melayu.
Malah orang Melayu perlu menyerlahkan
keberanian untuk tidak menjadikan Perlembagaan sebagai kitab usang. Caranya
ialah dengan tidak membiarkan pihak lain dengan mudah memanipulasikan sentimen
yang menjuruskan kepada rasis sesuatu kaum.
Di Selangor pula misalnya terdapat 700,000
orang beragama Hindu tetapi mereka mempunyai lebih 1,000 buah kuil. Padahal
orang Islam di Selangor berjumlah empat juta orang tetapi hanya mempunyai 380
buah masjid.
Sekiranya orang Melayu rasis, sudah tentu di
Selangor tidak akan ada 700 kuil kalau melihat nisbah dengan jumlah masjid dan
orang Islam. Semua ini berjalan lancar kerana toleransi orang Melayu yang faham
peri pentingnya agama lain kepada kaum lain.
Kaum lain tidak perlu sengaja membuat andaian
salah terhadap orang Melayu, kononnya Melayu kaum yang rasis dan penindas
kepada kaum lain.
Buktinya, dalam sejarah dan ketamadunan
Melayu tidak mencatatkan Melayu sebagai penakluk. Lihatlah mana-mana catatan
sejarah sekali pun, adakah mencatatkan bahawa orang Melayu menjadi penakluk
seperti bangsa-bangsa lain di dunia?
Kalau dilihat di luar konteks negara, dunia
Melayu bukanlah sempit dan tidak berpengaruh. Tetapi memilik pengaruh besar
tidak pernah menjadikan Melayu sebagai bangsa penakluk seperti sekian banyak
penjajah yang menjajah negara ini.
Jadi, orang Cina dan India perlu mengakui
bahawa label rasis yang diberikan kepada orang Melayu sebenarnya membongkar
sikap rasis mereka sendiri.
Toleransi orang Melayu sebenarnya hingga ke
peringkat memakan diri. Semua ini tentunya dilakukan demi keamanan dan
kestabilan politik di negara yang dihuni oleh pelbagai kaum ini.
Apa lagi yang perlu orang Melayu korbankan
supaya tidak dianggap rasis oleh orang bukan Melayu? Hinggakan menghunus keris
yang menjadi salah satu daripada resam budaya Melayu tidak boleh dilakukan
kerana orang Cina mentafsirkan keris itu melambangkan keganasan. Dalam budaya
Melayu menghunus keris tidak ada kena mengena dengan mengamuk atau rasis
terhadap kaum lain.
Maka berkorbanlah orang Melayu memohon maaf
kerana menghunus keris. Sebenarnya cerita tentang keris ini sangat sukar
dipercayai tetapi begitulah realitinya yang terpaksa dihadapi oleh orang Melayu
bagi menjaga keharmonian hidup di negara ini.
Kaum lain kena ingat, orang Melayu adalah
manusia biasa yang mempunyai tahap kesabaran yang sama dengan orang lain.
Sekiranya terlalu banyak provokasi yang melabelkan Melayu seolah-olah kaum yang
rasis, sudah tentu suatu perasaan yang tidak baik wujud di antara pelbagai kaum
di negara ini.
Kenyataan bahawa kedudukan
kaum lain tidak sama dengan bumiputera di negara ini bukanlah luar biasa. Malah
dalam Perlembagaan juga ada peruntukkan tertentu yang tidak diberikan kepada
kaum lain.
No comments:
Post a Comment