Pantai Cinta Berahi atau Pantai
Cahaya Bulan atau ringkasnya PCB terkenal di Kelantan. Pantai Cahaya Bulan
terkenal dengan kawasan pantai yang landai dan pasir putih halus.
Pengunjung dapat mandi manda dan bermain air ombak dengan gembira. Kawasan tumpuan pelancong itu juga dihiasi dengan pokok rhu dan pokok kelapa yang melambai-lambai kedatangan setiap pengunjungnya.
Pengunjung dapat mandi manda dan bermain air ombak dengan gembira. Kawasan tumpuan pelancong itu juga dihiasi dengan pokok rhu dan pokok kelapa yang melambai-lambai kedatangan setiap pengunjungnya.
Namun, itu hanya tinggal sejarah
bagi Pantai Cahaya Bulan. Sejak tahun 80an, kawasan pantai mengalami proses
hakisan pantai yang teruk, terutama pada musim tengkujuh Monsun Timur Laut.
Ketika itu ombak besar memukul pantai.
Setiap kali musim tengkujuh, kawasan
pantai terhakis sedikit demi sedikit. Hakisan itu mnyebabkan kemusnahan
bangunan, gerai dan pokok yang berada di tepi pantai. Kira-kira 100 meter
kawasan pantai telah dihakis dan menjadi sebahagian daripada laut.
Sebuah montel terkenal di Pantai Cahaya
Bulan yang banyak menyimpan sejarah awal pusat peringinan terkenal itu terpaksa
menutup operasinya dan bangunannya dirobohkan. Kawasan menempatkan
berpuluh-puluh gerai makan yang menjual pelbagai jenis colek makanan laut juga telah
tiada. Semuanya telah ditelan ombak.
Bermula penghujung tahun 2004,
Jabatan Pegairan dan Saliran (JPS) telah membina sistem lapis lindung
menggunakan batu besar di Pantai Cahaya Bulan yang mampu mengatasi masalah
hakisan.
Namun, pembinaan itu secara langsung
mengubah sepenuhnya wajah Pantai PCB. Pantai yang satu ketika dahulu terkenal
dengan pantai yang landai, serta hamparan pasir yang putih, kini bertukar
menjadi pantai batu.
Biarpun Pantai Cahaya Bulan telah
bertukar wajar, kehadiran pelancong masih ramai, terutama pada sebelah petang
hari cuti. Pengunjung masih menjadikan pemandangan indah dan suasana damai
menggamit kedangan mereka.
Sebenarnya, Pantai Cahaya Bulan
adalah antara pusat peranginan terawal di Kelantan yang telah mula dikenali
pada awal tahun 1900 dan pernah dijadikan pusat istirahat pegawai dan tentera
Jepun ketika Jepun menjajah negara kita.
Pada awalnya Pantai Cahaya Bulan dikenali
Pantai Semut Api sempena nama kampung di mana pantai itu terletak. Bagaimanapun
kemudiannya dikenali Pantai Cinta Berahi yang mana ringkasnya PCB.
Namun bagi kebanyakan rakyat
Kelantan, ringkasan PCB telah dianggap nama khas dan sebab itu apabila merujuk
PCB, dipanggil Pantai PCB, walaupun perkataan pantai telah diwakili huruf
‘P’.
Pada tahun 1990, Pantai Cinta Berahi
telah ditukar nama Pantai Cahaya Bulan. Namun, pertukaran nama itu masih
mengekalkan nama Pantai PCB.
Pantai PCB disenaraikan antara
pantai peranginan tercantik di negara kita. Hembusan bayu Laut China Selatan
dan keadaan pantai yang bersih menjadikan tumpuan ramai setiap hari dan menjadi
sesak dengan pengunjung pada hari cuti.
Kedudukan Pantai PCB yang hanya
kira-kira 9 kilometer dari Kota Bharu menjadi faktor mudah dikunjungi. Penduduk
Kota Bharu menjadikan Pantai PCB tempat ambil angin pada sebelah petang bersama
keluarga maupun kawan-kawan.
Selain itu, sepanjang Jalan PCB
merupakan tempat menjadi kunjungan pelancong seperti kedai songket di
Penambang, kedai pertukangan tembaga di Badang dan kedai membuat wau hiasan di
Kedai Buluh. Malah, beberapa ratus meter dari tepi pantai terdapat berpuluh
buah kedai batik yang menjadi tumpuan pelancong.
Jadi, selepas berkunjung ke
tempat-tempat tersebut, langsung pelancong terus ke Pantai PCB. Pengunjung yang
datang ke Kelantan tidak sah jika tidak menjenguk biarpun sekejap di Pantai
PCB. Nama Pantai PCB memang sinonim dengan Kelantan.
No comments:
Post a Comment