Sunday 23 September 2018

NASIB BERBEZA SONGKOK DAN KASUT


Kasut dan songkok memang berbeza. Namanya pun sudah berbeza. Biarpun kedua-duanya dibeli dan dipakai, namun nasib dan kedudukannya tetap berbeza.

Kasut dipakai di kaki ketika berjalan. Kedudukan kasut paling bawah. Bersedia menerima apa bebanan berat pemakainya dan terpaksa menjadi pemisah antara tapak kaki dangan apa sahaja yang dipihak. Kaki tidak terasa panas tar yang dipijak. Kaki tidak kena tajam duri. Kaki tidak sedar kasut terpijak najis.

Jadi, kasut tidak boleh bermegah biarpun harganya mahal. Apapun jenama dan asal kasut diperbuat dari bahan bernilai, termasuk kulit haiwan berkualiti tinggi, kedudukan kasut tetap di tempat paling rendah.

Kedudukan kasut berjenama hanya nampak hebat ketika berada di kedai kasut. Diletakkan di rak kaca yang mahal dan ada cahaya lampu bergemerlapan. Namun, belumpun dibeli oleh orang yang berminat terhadapnya, kasut yang dicuba sudah diletakkan di lantai.

Nasib kasut berjenama malah akan kembali apabila tidak jadi dibeli. Ia akan kembali diletakkan di tempat tinggi. Jadi, jika kasut tidak mahu kedudukannya jatuh pada kedudukan paling rendah, 'berdoalah' agar tiada siapa membelinya. Dan, jika begitu apa hebatnya menjadi kasut yang tidak digunakan?

Songkok pula dipakai di kepala. Songkok paling tinggi kedudukannya. Songkok dipakai ketika majlis rasmi dan kebesaran. Songkok dipakai ketika menunaikan sembahayang, mengadap Yang Maha Berkuasa.

Orang sanggup menanggalkan songkok jika hari hujan. Biar kepala basah, asal songkok tidak basah. Biarpun songkok ditanggalkan seketika, ia akan diletakkan kembali agar kedudukan lebih betul dan kelihatan segak. Jadi, hebatnya songkok biarpun harganya murah.

Kasut yang mahal dan songkok yang murah dipakai bersama menuju ke masjid. Kasut akan ditanggalkan dan ditinggalkan di tangga. Sedangkan songkok yang murah akan terus dipakai di dalam masjid.

Dalam majlis perkahwinan semasa akad nikah, pengantin lelaki ‘mesti’ pakai songkok. Namun songkok tidak pula dijadikan sebahagian barang hantaran wanita kepada lelaki. Sebaliknya yang biasa dijadikan hantaran ialah kasut.

Jadi, jangan bermegah dengan kekayaan dan kedudukan. Maka, jangan pula berasa hina disebabkan miskin. Miskin dan kaya lumrah kehidupan saling melengkapkan. Apa yang penting kita faham peranan dan tugas masing-masing. Hidup ini tidak membawa apa-apa erti tanpa melaksankan tugas yang diamanahkan. 

No comments:

Post a Comment