Sejak 2008, semua pengeluar rokok di negara ini diwajibkan
memaparkan tanda amaran bergrafik pada kotak rokok yang menunjukkan risiko
dihadapi perokok seperti kerosakan paru-paru, gigi, keguguran dan kanser mulut
bertujuan memberi rangsangan emosi seperti ngeri, gerun dan jijik di kalangan
perokok.
Amaran bergrafik itu sebagai tambahan kepada label ‘Amaran oleh
Kerajaan Malaysia - Merokok Membahayakan Kesihatan’ pada setiap kotak rokok.
Mengikut Artikel 11 Rangka Kerja Konvensyen Mengenai Kawalan
Tembakau (FCTC), semua negara yang menandatangani perjanjian perlu
menguatkuasakan peraturan (amaran bergrafik pada kotak rokok) dalam tempoh tiga
tahun.
Malaysia menandatangani persetujuan untuk mematuhi Artikel 11 itu
pada 16 September 2005 dan perlaksanaan sepenuhnya pada Disember 2008. Manakala bagi Artikel 8 (larangan merokok di
tempat awam sepenuhnya) dilaksanakan pada 2010, iaitu lima tahun selepas
persetujuan ditandatangani.
Syarikat rokok mencari jalan lain untuk mengiklankan produk
selepas kerajaan mematuhi Artikel 13 dengan mengharamkan iklan dan promosi
produk tembakau di media cetak mahu pun elektronik.
Syarikat rokok mengeluarkan kotak rokok seperti pek berkembar, pek
warna warni, pek perayaan selain rokok pelbagai rasa seperti menthol, mild,
light dan pelbagai perasa seperti strawberi, epal dan anggur.
Strategi itu bertujuan menarik perokok baru di kalangan remaja,
terutama wanita yang lebih berminat kepada pek berwarna warni keluaran terhad
di samping rasanya yang sejuk (methol) dan ringan (light).
Islam menganjurkan agar umatnya menjauhkan diri daripada perkara
yang mendatangkan mudarat, tidak kra kecil ataupun besar. Banyak perkara
mendatangkan mudarat dipandang ringan oleh umat Islam, termasuk prbuatan
merokok tanpa memikirkan tegahan agama.
Perbuatan itu turut dilakukan golongan yang mendakwa ulamdan
pemimpin agama. Justeru, amat sukar
untuk menguatkuasakan larangan merokok berdasarkan kehendak agama.
Masyarakat di negara ini menghukum perbuatan merokok makruh
berdaarkan kepada mazahab Syafie. Merokok dihukumkan makruh kerana ia tidak
memabukkan dan bukan dari jenis memabukkan. Bagaimanapun, merokok jelas
mendatangkan bahaya kepada kesihatan sebagaimana amaran yang tertera dengan
jelas pada kotaknya.
Mengikut kaedah hukum, sesuatu yang mendatangkan keburukan wajib
dijauhi. Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 195 yang bermaksud:
“Dan hendaklah kamu memberikan derma untuk kepentingan sabilillah dan janganlah
kamu menjerumuskan diri dalam jurang kebinasaan, dan hendaklah bertindak
sebaik-baiknya. Sesungguhnya Allah suka kepada orang –orang yang melakukan
kebaikan.”
Merokok yang jelas diakui membahayakan kesihatan tergolong antara
sikap yang menjerumuskan diri dalam jurang kebinasaan. Mengapa merokok? Banyak
di kalangan perokok mendakwa perbuatan itu memberi ketenangan dan perasaan
gembira. Merokok juga dikatakan menjadi pencetus perasaan positif untuk
melakukan kerja dan mengelak perasaan bosan.
Pandangan itu tidak wajar diterima sebagai meletakkan hukum. Islam
tidak menghalalkan sesuatu berdasarkan kepada sesuatu andaian dan alasan saja.
Perhatikan firman Allah SWT yang bermaksud: “Mereka bertanya
kepadamu (wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah pada kedua-duanya ada dosa besar
dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa kedua-duanya adalah
lebih besar daripada manfaatnya.” (Surah al-Baqarah, ayat 219)
Manfaat yang sedikit tidak menjadikan sesuatu itu halal jika
keburukannya lebih banyak. Islam tidak membenarkan sebarang perbuatan
mendatangkan keburukan dilakukan kerana ingin mendapatkan sedikit kebaikan.
Asas hukum ini menjadi pegangan kepda ulama fikah yang menghukum
perbuatan merokok sebagai hram. Perkara utama dikaji dan dinilai ialah kesan
buruk akibat merokok terutama membahayakan kesihatan dan menimbulkan masalah
sosial.
Islam dengan tegas melarang perbuatan mendatangkan keburukan
sebagaimana firman Allah SWT dalam surah an-Nisa ayat kedua yang bermaksud:
“Dan jangalah kamu cuba menukarkan yang baik-baik dengan yang buruk-buruk.”
Firman allah SWT yang bermaksud: “Dan Dia (Allah) telah
menghalalkan bagi kamu segala yang baik-baik dan mengharamkan ke atas kamu
segala yang buruk-buruk.” (Surah al-Aaraf, ayat 157).
Sesungguhnya Allah SWT tidak mendatangkan keburukan kepada
seseorang itu kecuali dia sendiri yang melakukannya, sebagaimana firman-Nya
yang bermaksud: “Dan setiap keburukan yang menimpa kamu itu dilakukan oleh
tangan kamu sendiri.” (Surah as-Syura, ayat 30).
No comments:
Post a Comment