Monday, 22 October 2018

JAUHKAN REMAJA DARIPADA ROKOK


Kerajaan saban tahun mengadakan kempen anti merokok bagi mengurangkan bilangan perokok dan menyedarkan golongan berpotensi menjadi perokok agar tidak terjebak dengan amalan membawa padah buruk itu. 

Perangkaan menunjukkan, antara 50 hingga 60 orang remaja mula merokok setiap hari dan golongan pelajar merangkumi kira-kira lapan peratus daripada anggaran lima juta perokok di Malaysia. 

Fenomena ini tentu memberi kesan jangka masa panjang kepada gaya hidup masyarakat yang meningkatkan jumlah bilangan perokok secara berterusan, sekaligus menggagalkan kempen anti merokok.

Hakikatnya, merokok jelas mendatangkan bahaya kepada kesihatan sebagaimana amaran yang tertera dengan jelas pada kotaknya. 

Setiap rokok mengandungi 4,000 jenis bahan kimia dan sebahagian besar daripadanya adalah beracun dan ‘carcinogenic’. Antara antara jenis racun dalam rokok ialah aseton, ammonia, naphthylamine, metanol, naftalena, kadmium, karbon monoksida, vinil klorida, hidrogen sianida, toluidina, arsenik dan fenol. 

Statistik berdasarkan kajian perubatan jelas menunjukkan kaitan antara penyakit arteri jantung, tersekat saluran darah, kurang daya kecergasan otak, masalah lemah tenaga batin dan penyakit barah dengan merokok.

Adalah menjadi kesalahan bagi individu berusia 18 tahun ke bawah membeli, menjual dan memiliki rokok. Malangnya penguatkuasaan amat lemah. Remaja didapati bebas merokok di mana-mana tanpa rasa takut ditahan pihak berkuasa. Peniaga pula bebas menjual rokok kepada remaja dan kanak-kanak. Remaja dan kanak-kanak tidak sukar untuk mendapat rokok dan mengamalkan tabiat itu.  

Ada remaja dan kanak-kanak sanggup menipu ibu bapa untuk mendapatkan wang membeli rokok. Lebih buruk lagi ada yang mencuri untuk mendapat rokok.  

Selain remaja lelaki, amat membimbangkan sekarang ini apabila bilangan remaja perempuan terlibat gejala merokok semakin meningkat dengan mendadak. Remaja perempuan yang terlibat merokok terpengaruh dengan gaya hidup bebas dan melakukan sesuatu yang di luar kebiasaan dilakukan perempuan.  

Kebanyakan perokok mula merokok sejak umur belasan tahun dan sesetengahnya ketika di sekolah rendah. Remaja mencuba merokok kerana pengaruh rakan sebaya. Kajian mendapati 99 peratus remaja terlibat dadah bermula dengan tabiat merokok seawal usia 13 tahun. 

Lebih malang lagi mereka terpengaruh tabiat merokok daripada bapa dan abang mereka. Fakta kajian mendapati kira-kira 60 peratus bapa dan orang dewasa dalam keluarga menghisap rokok di hadapan remaja dan kanak-kanak dalam rumah. 

Kanak-kanak dan remaja mudah terpengaruh apa yang dilakukan oleh orang dewasa dan dianggap kelakuan lumrah dalam masyarakat, jadi mereka juga perlu melakukan sebagai sebahagian komuniti masyarakat.    

Usaha mengelak remaja terlibat merokok adalah permulaan mencegah daripada melakukan kesalahan sosial dan pengaruh dadah. 

Majoriti penagih dadah bermula dengan ketagih rokok. Malah, masalah sosial dilakukan pelajar dan remaja berpunca daripada pengaruh rokok. Semua pelajar dan remaja bermasalah terlibat dengan merokok. 

Oleh itu, ibu bapa perlu memberi tumpuan menghalang daripada anak-anak menghisap rokok. Isu merokok bukan perkara kecil. Pelajar dan remaja yang merokok berdepan dengan masa depan yang sukar, setidak-tidaknya berkaitan dengan kesihatan.   

Rata-rata perokok mengaku berusaha menghentikan tabiat merokok, tetapi gagal. Ramai yang berhenti merokok sekejap saja dan kemudian kembali mengamalkan tabiat itu. Mereka ingin bebas daripada rokok setelah menyedari ia perbuatan merugikan. 

Cara terbaik mengelak daripada merokok ialah tidak mencubanya dari awal. Kanak-kanak dan remaja perlu diberi lebih tumpuan untuk menghalang daripada cuba merokok. 

Ibu bapa dan orang dewasa perlu memainkan peranan penting mencegah kanak-kanak dan remaja mencuba merokok. Lebih 85 peratus mereka yang cuba-cuba merokok kekal merokok.

No comments:

Post a Comment