Ajaran
Islam mengandungi ketetapan jelas berdasarkan sumber agama yang tidak pernah
berubah dari dulu, kini dan selamanya iaitu al-Quran dan sunah.
Sabda
Rasulullah SAW bermaksud: “Wahai sekalian manusia, sesungguhnya aku telah
tinggalkan buat kamu (dua perkara) selagi kamu berpegang dengannya, maka kamu
tidak akan sesat selama-lamanya iaitu Kitabullah (al-Quran) dan sunah
Nabi-Nya.” (Hadis riwayat al-Baihaqi)
Dengan
memahami perkara asas itu, umat Islam lebih-lebih lagi pada saat berdepan
dengan kelompok manusia daripada pelbagai agama perlu berpegang teguh terhadap
prinsip Islam.
Meskipun
Islam menggesa umatnya tidak menghina atau mempermainkan agama lain, namun
tidak bermakna ketetapan agama boleh diketepikan.
Tidak
ada toleransi dalam soal menjaga prinsip agama Islam kerana ia perkara yang
menjadi tonggak menzahirkan kebenaran Islam.
Lihat
bagaimana Rasulullah SAW bersikap tegas terhadap golongan yang tidak menerima
Islam, namun cuba bertoleransi dengan Islam.
Golongan
kafir itu mengajak supaya dilakukan penggiliran agama agar ada kalanya orang
ramai mempraktikkan Islam dan pada tempoh waktu kemudiannya semua orang
termasuk golongan Muslim mempraktikkan kepercayaan yang ditolak oleh Islam. Bagaimanapun,
cadangan itu ditolak Rasulullah SAW secara tuntas.
Perkara
itu dirakamkan Allah SWT menerusi Surah al-Kafirun ayat 1-6 yang
bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): Hai orang kafir! Aku tidak akan menyembah
apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah.
Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat. Dan kamu pula tidak mahu
beribadat secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku.”
Penjelasan
itu membuktikan Islam mempunyai prinsip yang tidak boleh digadai.
Kebenaran
Islam, malah pengiktirafan yang diberikan Allah SWT terhadap Islam perlu
difahami agar menjadi asas dalam memartabatkan Islam.
Islam
adalah satu-satunya agama yang diterima di sisi Allah SWT. Firman
Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguh-nya agama (yang benar dan diredai) di sisi
Allah ialah Islam.” (Surah Ali Imran, ayat 19)
Islam
tidak mempromosikan permusuhan, sebaliknya kedamaian dan keharmonian hidup
sesama insan sentiasa menjadi saranan.
Acuan
yang ditetapkan Islam tidak boleh sama sekali direndahkan semata-mata untuk
menjaga hati pihak lain. Islam tidak menerima toleransi yang mengubah prinsip Islam.
Firman
Allah SWT yang bermaksud: “Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam,
maka tidak akan diterima daripadanya dan ia pada hari akhirat kelak daripada
orang yang rugi.” (Surah Ali Imran, ayat 85)
No comments:
Post a Comment