Monday, 3 June 2024

MAKSUD MAKAN DAGING KE TAHUN NI

 
Di Malaysia terdapat banyak dialek mengikut negeri. Bahkan sebenarnya, bukan sahaja dialek negeri, ada juga dialek mengikut daerah. Lebih menarik lagi, ada dialek atau bahasa percakapan yang hanya digunakan dalam kelompok tertentu sahaja. Malah, perkataan yang disebut itu hanya pada masa tertentu sahaja.
 
Contoh perkataan atau farsa “makan daging ke tahun ni?” hanya digunakan ketika sambutan Aidiladha. Jika farsa itu digunakan dalam konteks pada masa lain, ia akan membawa maksud “tergantung” yang tidak difahami.
 
Maksud farsa “makan daging ke tahun ini” adalah pertanyaan sama ada seseorang melakukan korban atau tidak pada tahun tersebut. Maka, jika farsa ini disebut bukan pada masa Aidiladha atau waktu yang hampir dengannya, tentu sekali sukar untuk difahami maksud orang yang bertanya itu.
 
Penggunaan perkataan 'makan daging ke tahun ni' sebenarnya sebagai tanda sopan untuk bertanya. Kalau ditanya terus 'korban ke tahun ni' mungkin dianggap boleh mengecilkan hati seseorang yang tidak 'mampu' atau 'tidak mahu' berkorban, sedangkan ibadat itu amat dituntut.
 
Begitu halus bahasa digunakan orang tua. Jauh bezanya dengan bahasa golongan muda yang tidak fikir panjang kesan setiap perkataan yang diucapkan. Sesungguhnya bahasa menunjukkan bangsa.

No comments:

Post a Comment