Thursday 20 October 2016

Bersatu bina kekuatan

Bersatu bina kekuatan mengelak kita jadi lemah serta mudah dikuasai dan dijajah pihak lain. Sesiapa mengaku Islam mesti cinta perpaduan kerana itu perintah agama. Jika ada perkara tidak berkenan di hati, jangan mudah marah. Sabar ciri orang beriman.

Jika kita dilontarkan dengan perkara buruk, tidak semestinya kita membalas dengan keburukan juga. Jadilah seperti pohon kayu yang lebat buahnya. Apabila dibaling dengan batu dibalas dengan buah. Ingatlah, Allah SWT melimpahkan rahmat kepada orang yang penyabar dan bersikap lemah lembut.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu.” (Surah Ali-Imran, ayat 159)

Berusahalah untuk kehidupan lebih baik. Anda mampu mengubahnya. Allah SWT tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan kaum itu sendiri berusaha untuk mengubahnya.

Seseorang itu tidak boleh berpeluk tubuh melihat masyarakat dalam kekeliruan. Tuduhan palsu mesti dijelaskan kepalsuannya dan berita mesti dijelaskan kedustaannya. Sebab membela kehormatan Muslim merupakan kewajipan Muslim lain.

Mengapa ada sebahagian pendakwah yang cakap kasar serta suka hina orang lain dalam ceramahnya. Ada pendakwah mengkafirkan pendakwah lain sehingga boleh lihat di laman facebook kata kesat. 

Dakwah Islam tegah cara kasar, menghina dan mengkafirkan orang lain tidak sefahaman. Dakwah Nabi dahulu bukan begini. Nabi membawa akhlak mulia.

Firman Allah SWT bermaksud: “Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik, apabila engkau berlaku demikian, maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.” (Surah Fushilat, ayat 34)

Gerakan dakwah Islam didasari pertimbangan yang sihat, diatur oleh aturan serta norma yang digariskan al-Quran dan sunnah. Gerakan dakwah Islam berinteraksi dengan realiti, penuh pertimbangan dan kebijaksanaan.

No comments:

Post a Comment