Friday 7 October 2016

Nasib aku orang biasa

Aku bukan siapa-siapa. Bukan pegawai kerajaan berpangkat tinggi atau ahli politik berstatus menteri. Aku hanya rakyat biasa yang meneruskan khidmat bakti kepada agama, bangsa dan negara dengan cara sendiri.

Dulu aku pernah jadi sebahagian pejawat di satu kementerian, tapi tidak lama. Genap Tempoh Tamat Perkhidmatan, aku tidak sambung. Bukan tidak minat tugas itu, tetapi aku berasa ingin berkhidmat dalam bidang lain. 

Pada akhir September 2016, aku diminta oleh sebuah jabatan kerajaan agar mengemukakan surat pengesahan perkhidmatan.  Lalu aku hantar salinan buku perkhidmatan. Namun pegawai di jabataan berkenaan mengatakan maklumat yang diperlukan tidak langkap dan memberi contoh surat yang dikeluarkan oleh kementerian kepada bekas anggota lain.

Aku tidak pasti adakah buku perkhidmatan ada pindaan terbaru. Jika tidak ada perubahan, ini bermakna masih banyak kekurangan maklumat yang tercatat di situ perlu penambahan.

Untuk berhubung dengan  bekas kementerian aku pernah bekerja dulu, aku meminta pertolongan rakan yang masih berkhidmat untuk mendapat nombor telefon. Maka, aku diberikan dua cadangan untuk berhubung.  

Aku memilih berhubung dengan seorang pegawai melalui whatsapp. Pegawai itu kemudian memberi nombor seorang pegawai lain. 

Aku kemudian berhubung dengan pegawai berkenaan melalui whatsapp. Dia sedia membantu dan melesaikan apa yang diperlukan. 

Setelah beberapa hari berlalu dan beberapa kali berwhatsapp, pegawai berkenaan mengatakan permohonan tidak dapat diproses. Aku perlu menulis surat permohonan untuk mendapat surat pengesahan itu. Surat itu sama ada ditulis sendiri atau melalui satu badan yang dipertanggungjawabkan mengurus kebajikan bekas anggota. 

Aku akur dengan keperluan itu. Memang tidak patut dikeluarkan surat berkenaan tanpa apa-apa permintaan rasmi. 

Namun peliknya, mengapa hanya beberapa hari berlalu, baru keperluan itu dinyatakan. Adakah jabatan tidak ada tatacara yang ditetapkan dalam perkara berkenaan? Adakah ini kali pertama ada bekas pekerja yang minta surat pengesahan perkhidmatan?

Memandangkan perlukan segera surat itu, aku pergi kementerian di Kuala Lumpur. Ini kali pertama setelah kali terakhir kira-kira 16 tahun aku ke sana. Aku hadir di jabatan dan bertemu dengan kerani.

Mengikut penjelasan kerani itu, surat itu tidak boleh disediakan serta merta kerana perlu melalui beberapa proese dan mungkin mengambil masa kira-kira seminggu atau paling cepat dalam tiga hari. Dia memberi nombor telefon untuk aku hubungi dalam tempoh tiga hari untuk mengetahui perkembangannya. 

Aku menghubungi nombor tersebut setelah tiga hari. Malangnya nombor tersebut tiada dalam perkhidmatan. Pelik. Bagaimana nombor yang dicatatkan sendiri oleh kerani itu tidak ada dalam perkhidmatan. Tidak mungkin nombor itu dipotong kerana tidak bayar bil!

Aku kemudian menghubungi rakan yang masih bertugas di kementerian untuk mendapat nombor lain. Dia berikan nombor seorang pegawai. Terima kasih rakan yang sentiasa membantu.

Namun, lepas difikirkan berapa banyak pegawai yang perlu aku hubungi, yang mungkin disuruh berhubung dengan pegawai lain pula, aku mengambil keputusan untuk tidak menghubungi pegawai berkenaan. 

Ada sahabat ingin menolong ingin menelefon terus kepada Menteri atau pegawai di kementerian. Namun aku tidak setuju berbuat demikian. Ini urusan kecil saja biarpun penting bagiku. Menteri ada urusan lain lebih besar perlu diselesaikan. Kalau semua perkara perlu diselesaikan melalui menteri, baik tidak perlu ada pegawai lain.

Kisah ini hanya secebis pengalaman berurusan dengan kementerian atau jabatan kerajaan.  Sudah banyak pengalaman didengar berkaitan kesukaran seperti itu. 

Sebab itu, ada bekas pejawat kerajaan tidak mahu lagi berurusan dengan bekas majikan mereka. Lalu tanggapan buruk dilempar dan mereka jadi anti kepada kerajaan. 

Dan, aku sendiri tidak peduli lagi dengan permohonan untuk mendapatkan surat pengesahan perkhidmatan itu. Mungkin aku perlu melupakan bahawa aku pernah berkhidmat dengan kerajaan.  

Catatan senja.  

-------------------------

Setelah catatan di atas dikongsikan di group whatsapp, banyak pandangan dan perkongsian diperoleh. Bukan niat untuk mempersalahkan sesiapa, tetapi catatan itu untuk dijadikan pengajaran dan perhatian kepada semua.

Rupanya bukan aku seorang berdepan situasi ini. Ada juga bekas rakan sejawat yang mengalami pengalaman yang lebih teruk. Dan tidak kurang juga yang mendapat pengalaman yang baik. 

Ini bukan soal pengalaman baik dan buruk. Bukan juga berkaitan nasib baik atau buruk. Inilah realiti yang perlu dilalui. 

Berkongsi pengalaman buruk bukan untuk menambah lagi keburukan. Itu sikap orang busuk hati. Sebaliknya, perkongsian itu untuk mengubah keadaan tidak menyenangkan kepada perkara lebih baik. Biar kita sama-sama berhijrah. Mencari dan mencipta kebaikan.

Bukan apa, jika tidak dikongsi yang tidak menyenangkan itu, takut nanti perkara itu berterusan. Mungkin bukan niat pihak berkaitan untuk menyusahkan. Mereka telah berusaha yang terbaik, tetapi tidak sedar pada masa sama telah berlaku perkara yang tidak disenangi pihak lain.

Atas dasar itu, aku membuat catatan di atas agar sesuatu yang lebih baik akan dirasai orang lain.    

Perlu diperjelaskan, bukan niat aku ingin menyusahkan sesiapa. Begitu juga rasanya bekas pejawat  yang lain. Bagi aku, habuan untuk aku sepanjang berkhidmat dulu telah dijelaskan melalui gaji dan kemudahan yang diberikan pada masa berkhidmat dulu. Itu sudah cukup. 

Jadi, aku tidak mengharapkan apa-apa lagi dengan kementerian atas dasar aku bekas pekerja. Sebab itu, setelah menamatkan perkhidmatan lebih 16 tahun, baru kali ini aku berhubung dengan kementerian. Itupun bukan aku yang ingin, tetapi atas keperluan ditetapkan pihak lain. 

Namun, yang pertama kali ini aku sudah berdepan masalah. Bukan besar manapun, tetapi masalah itu tidak sepatutnya berlaku. 

Aku buat catatan ini kerana ingin memberi peringatan dan pengajaran kepada yang berkenaan. Jangan pandang perkara kecil sebagai tidak penting. Melazimkan ambil mudah dan tidak pandang sesuatu itu penting, akan menjadi barah merosakkan seluruh organisasi.

Catatan ini bukan yang berkaitan kementerian berkenaan, tetapi yang lain. Jangan pandang mudah apabila ada orang datang mengadu. Ada sesuatu yang mereka amat perlukan. Kalau tidak, tentu sekali mereka tidak akan datang.  

Apa yang aku catatkan bukan hendak menyalahkan pegawai berkenaan semata-mata. Aku tahu dia telah berusaha melakukan yang terbaik. Namun perkara ini berlaku (pada pandangan aku) disebabkan sikap dan amalan dalam organisasi. 

Ia berkaitan urustadbir yang lemah dan tidak melihat sesuatu perkara itu penting. Dalam organisasi bukan seorang individu saja perlu dipertanggungjawabkan dalam sesuatu tugas. Ia perlu ada urutan pemerintahan atau ketanggunjawaban.  Jika pergawai berkenaan tidak berkesempatan melakukan apa yang perlu dilakukan, tidak kira apa alasan, sepatutnya ada pegawai lain boleh mengambilalih tugas itu sementara. 

Dalam kes aku, bukan hendak kelulusan atau melibatkan dasar, kewangan atau kesan besar jika sesuatu tidak kena. Ia hanya berkaitan dengan surat pengesahan perkhidmatan yang hanya perlu disalin daripada rekod sedia ada. Tugas menaip boleh dilakukan oleh kerani dan kemudian disahkan oleh pegawai. Tidak perlu dibawa masuk dalam mesyuarat atau kena tunggu belanjawan tahunan. Jauh sama sekali kena kelulusan menteri atau Ketua Setiausaha Negara.  

Tetapi mengapa masalah berlaku? Sebabnya organisasi tidak buat transformasi. Tidak mahu berubah.  Jadi, ini bukan masalah pegawai berkenaan saja. Ini masalah organisasi. Jadi, semua yang terlibat dalam organisasi berkenaan perlu berubah. Perlu dipertanggungjawabkan dalam perkara ini. 

Tidak perlu mencari salah siapa, tetapi sama-sama memperbaikinya untuk kebaikan. Pada aku, masalah aku telah selesai dan tutup kes, biarpun hakikatnya apa yang aku perlukan belum tertunai. Jika ada yang sudi membantu, terlebih dahulu diucapkan terima kasih.

Semoga catatan ini memberi kebaikan, bukannya akan ada yang dipersalahkan atau menerima kesan buruk. Bersama bermuhasabah dan mencari titik keberuntungan bersama.   

Maaf jika catatan ini mungkin memberi implikasi buruk kepada individu.  Dan jika itu berlaku, bermakna tidak ada kematangan dan kebertanggungjawaban pihak atasan dalam organisasi.  Ini kelemahan organisasi dan semua yang terlibat perlu bertanggunjawab untuk memperbaikinya dan bukannya mencari kambing hitam untuk dikorbankan. 

Catatan malam.

-----------------------


Aku mendapat pesanan dari bekas rakan sejawat agar berhubung terus dengan seorang lagi pegawai. Lagi besar pangkat tu. Katanya pegawai itu nak tahu nama pegawai yang aku berurusan.

Terima kasih bekas rakan sejawat yang prihatin membantu. Dan terima kasih kepada pegawai berkenaan yang bertindak segera biarpun pada luar waktu kerja.

Persoalannya, pada aku masalah ini berlaku kerana tidak ada SOP (pada pandangan aku). Maknanya ia lebih berkaitan dengan organisasi. Kelemahan pada pegawai kebiasannya berlaku kerana tiada SOP atau tiada maklumat tepat dari pegawai atasan.

Contohnya, mengapa pegawai itu tidak memberitahu awal mengenai perlu aku tulis surat untuk mendapat surat pengesahan perkhidmatan itu. Keadaan itu berlaku mungkin kerana tiada SOP atau tiada maklumat berkaitannya dari pegawai atasan.

Begitu juga dalam beban tanggungjawab. Pegawai berkenaan menjelaskan dia ada beberapa tugasan luar dan kes kecemasan yang menyebabkan surat itu lambat.

Persoalannya, adakah hanya pegawai itu saja yang layak dan boleh menandatangi surat itu?  Bagaimana jika pegawai itu bercuti lama atau ada tugasan luar dalam tempoh masa yang panjang?

Aku bukan hendak tunjuk bijak atau hendak mengajar itik berenang. Tetapi itu satu perkara yang boleh difikir dengan lojik untuk cari jalan penyelesaian.

Kalau hendak dipersalahkan kepada pegawai berkenaan semata-mata, banyak lagi pegawai lain yang akan menerima nasib yang sama. Semakin banyak pegawai yang mengalami tekanan perasaan dan tidak mampu memberi tumpuan semasa bertugas.

Permasalahan ini adalah berkaitan organisasi. Perlu berkerja bersama dan sama-sama bertanggungjawab. Jangan cari kesalahan individu dalam organisasi, tetapi perbaiki organisasi secara keseluruhan. Ikan dalam kolam akan sihat jika airnya bersih dan ada sumber makanan yang cukup.  


Catatan pagi.

No comments:

Post a Comment