Monday 19 December 2016

Buang bayi beri kesan buruk kepada nilai kemanusiaan

Kes buang bayi bukan kes terpencil apabila angka dicatatkan menggambarkan masalah semakin membimbangkan. Fenomina buang bayi menggambarkan wujud kepincangan isu keruntuhan moral, nilai dan sosial di kalangan masyarakat yang perlu ditangani lebih berkesan.

Gejala pembuangan bayi tidak lagi dianggap jenayah bermusim kerana setiap saat sebenarnya, di seluruh dunia ada saja kes itu dilaporkan.

Pembuangan bayi berlaku apabila bayi dilahirkan hasil hubungan terlarang atau zina. Anak yang dilahirkan akan mendedahkan kepada masyarakat tentang perbuatan sumbang yang dilakukan.  

Jika keadaan itu berlaku, ia mendatangkan aib kepada ibu yang melahirkan anak itu, pasangannya serta keluarga.  

Justeru, langkah terakhir untuk menutup perbuatan sumbang itu ialah menghapuskan 'bukti' dengan membuang bayi yang baru dilahirkan sama ada masih hidup atau telah mati.
                                                                                 
Untuk mencegah kes ini, foktor yang menyumbang kepada perbuatan zina perlu dihalang. Antara amalan yang perlu dikawal atau dihalang ialah pergaulan bebas lelaki perempuan, pengaruh pronografi, pendedahan salah berkaitan seks dan media massa.

Pergaulan bebas lelaki dan perempuan banyak menyumbang perbuatan zina. Sikap mengambil mudah soal batasan pergaulan menyebabkan hilang perasaan malu dan etika menjaga maruah diri.  

Perlu diingat, apabila malu telah hilang pada diri seseorang, maka mudahlah berlaku perkara yang dilarang agama. Ketika itu mereka tidak fikir lagi soal buruk akan ditanggung. 

Sudah menjadi adat, apabila berlaku pergaulan bebas, satu pihak lain iaitu syaitan akan mempengaruhi melakukan perbuatan lebih buruk iaitu zina. Rasa ghairah timbul apabila lelaki dan perempuan bersentuhan.   

Dunia pronografi kini tersebar luas melalui pelbagai cara. Medium paling meluas ialah melalui internet. Filem dan gambar pronografi tersebar meluas dalam internet mudah dicapai atau dilayari oleh sesiapa saja, termasuk  pelajar sekolah rendah.  

Akibat melihat pronografi mendorong mereka untuk meniru aksi itu. Mereka menganggap itu satu perkara biasa yang perlu dilakukan setiap orang. Mereka akan mencari pasangan untuk melakukan perbuatan seperti ditonton.

Seks adalah satu perbuatan murni atau baik jika dilakukan oleh pasangan suami isteri. Dalam Islam amalan itu dituntut untuk memenuhi naluri atau sifat semulajadi manusia. Seks juga untuk melahirkan zuriat yang sah nasabnya.

Malang sekali, golongan muda menjadikan seks pemuas hawa nafsu semata-mata. Mereka ingin meniru seperti apa dilakukan pasangan suami isteri. Sekarang ini tidak asing jika ada pasangan kekasih tinggal serumah seperti suami isteri biarpun belum dikahwinkan secara sah.

No comments:

Post a Comment