Wednesday 26 September 2018

POLIMIK ISU BEBAN HUTANG NEGARA


Beban hutang negara menjadi isu polimik yang berpanjangan. Rakyat seakan-akan tidak lagi peduli soal itu. Berapa banyak hutang negara sekarang tidak lagi penting bagi rakyat. Tambah lagi, banyak rakyat sebenarnya tidak faham pun apa itu bilion dan trilion.

Apa yang rakyat ingin ialah kehidupan yang lebih baik. Peluang pekerjaan yang lebih banyak dan terjamin. Golongan muda kini mencari-cari peluang pekerjaan yang semakin mengucup. Pekerja sedia ada pula ada yang mula risau apabila tempat kerja mereka mula melalui fasa perubahan dasar kerajaan yang kononnya untuk penjimatan. Belum berlaku dalam sejarah Malaysia, pejawat awam yang diperhentikan kerja secara beramai-ramai.

Kerajaan sentiasa menggunakan alasan hutang negara tinggi dan negara bakal muflis jika gagal menyusun kembali perbelanjaan negara. Semua itu diletakkan kesalahan kepada bekas kerajaan Barisan Nasional.

Untuk belajar mengenai kadar hutang, mari kita melihat beberapa contoh yang berlaku dalam masyarakat. Dalam masyarakat kita, golongan paling banyak berhutang bukannya golongan miskin. Hakikatnya, yang paling banyak berhutang ialah golongan kaya. Malah, individu berstatus jutawan juga berhutang.

Orang miskin kalau pun berhutang hanya beberapa ratus atau beberapa ribu. Mereka berhutang untuk memenuhi keperluan harian. Untuk membeli makanan dan rawatan. Mungkin juga kerana ingin menampung perbelanjaan pendidikan anak-anak.

Golongan miskin sukar mendapat pinjaman di bank atau institusi kewangan. Bank tidak meluluskan pinjaman golongan miskin kerana tidak yakin kemampuan mereka untuk membayar.

Sebaliknya, golongan kaya disediakan pelbagai kemudahan untuk membuat pinjaman. Dari pinjaman perumahan, kenderaan, perniagaan, bahkan mereka boleh membuat pinjaman untuk melancong. Individu yang mempunyai simpanan tinggi di bank akan dihubungi pihak bank menawarkan pinjaman.

Jadi, orang kaya tidak akan dianggap muflis biarpun mempunyai jumlah hutang yang banyak selagi mereka membayarnya mengikut jumlah dan masa yang ditetapkan. Malah, mereka akan ditawarkan hutang tambahan jika rekod pembayaran yang baik.

Untuk menentukan keupayaan membayar ialah berdasarkan kepada pendapatan dan pebelajaan bulanan. Orang kaya mempunyai pendapatan tinggi dan mampu membayar jumlah hutang yang juga tinggi. Itu tidak ada masalah kepada mereka.

Sebaliknya satu masalah jika pendapatan bulanan lebih kecil berbanding jumlah kena bayar hutang. Jadi, pihak bank akan menentukan kadar peratusan pendapatan berbanding perbelajaan, termasuk jumlah membayar hutang. Pihak bank biasanya tidak akan meluluskan pinjaman jika peratusan perbelajaan telah mencapai 70 peratus atau 80 peratus daripada pendapatan.

Kembali kepada perbincangan awal iaitu hutang negara. Jika penanda aras menentukan hutang individu berdasarkan pendapatan dan perbelanjaan, hutang negara dilihat kepada nisbah hutang negara berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Sepertiman tidak kisah tentang berapa jumlah hutang individu, asalkan pendapatan melebihi perbelanjaan, begitu juga hutang negara. Tidak penting kita mengira berapa hutang negara asalkan nisbah dengan KDNK berada pada peratusan yang munasabah.

Kebanyakan negara meletakkan nibah hutang negara berbanding KDNK sebanyak 60 peratus sebagai satu keadaan yang selamat dan sihat.

Itulah kadar hutang negara semasa pemerintahan BN yang berlegar di bawah 60 peratus berbanding KDNK. Dengan jumlah hutang RM1 trilion yang ditinggalkan oleh kerajaan BN kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebenarnya berada pada paras 50.8 peratus.

Mari kita lihat jumlah hutang negara lain berbanding KDNK negara masing-masing. Sebagai contoh, United Kingdom mempunyai jumlah hutang sebanyak RM34.8 trilion dengan peratus nisbah hutang berbanding KDNK ialah 87%.

Amerika Syarikat yang digelar negara terkaya di dunia dan serba hebat, sebenarnya juga mempunyai jumlah hutang negara tertinggi didunia dengan jumlah hutang sebanyak RM87 trilion atau 87 kali ganda lebih banyak berbanding Malaysia. Peratus nisbah hutang/KDNK Amerika Syarikat adalah 107.8%.

Pemimpin kedua-dua negara itu tidak sibuk atau heboh mengenai jumlah hutang mereka dan tidak mengatakan negara mereka bakal muflis.

Sebanyak 97.7% hutang negara Malaysia adalah dalam nilaian Ringgit Malaysia. Manakala lebih 60% pemilik hutang adalah dari institusi kerajaan seperti GLIC dan GLC seperti KWSP, KWAP, Tabung Haji, Permodalan Nasional Berhad, Maybank dan sebagainya. 

Hutang pula adalah bentuk sukuk dan bon, manakala bon / sukuk yang matang pula, ada yang bayaran faedahnya mencecah 30 tahun. Jadual pembayaran telah ditetapkan mengikut perjanjian dan tidak perlu dibayar segera.

Jadi, dakwaan mengatakan negara bakal muflis jika tidak dibayar segera hutang negara hanya satu jenaka dan lawak hiburan. Negara bakal muflis jika tidak diuruskan negara baik untuk tempoh lebih lama. Jadi, berhati-hati menjalankan amanah diserahkan oleh rakyat. 

No comments:

Post a Comment