Saturday, 22 September 2018

JAMBU BATU BIDOR TIADA BIJI RASA LEMBUT RAPUH

Nama jambu batu bidor begitu sinonim dengan pekan Bidor. Disebabkan jambu batu bidor, pekan itu mudah dikenali dan diingati di kalangan pengunjung ke pekan terletak di bahagian selatan Perak. Tidak hairan jika ada pengunjung ke Bidor semata-mata ingin mendapatkan jambu batu bidor.

Hal ini terutama dilakukan oleh mereka yang berkenderaan dari Ipoh ke Kuala Lumpur dan sebaliknya. Pekan Bidor terletak di laluan Ipoh ke Kuala Lumpur mengikut jalan lama. 

Bagi pengguna Lebuhraya Utara Selatan tidak berpeluang melalui pekan Bidor. Jadi, bagi mereka yang ingin mendapatkan jambu batu bidor sanggup keluar dari lebuh raya, seterusnya melalui jalan lama untuk ke Bidor.

Biarpun jambu batu bidor ada dijual di gerai-gerai di Hentian Rehat di sepanjang lebuh raya melalui Perak seperti di Hentian Rehat Sungai Perak, nama tidak sama kepuasanya dengan membeli di pekan Bidor sendiri. 

Tambahan pula, ada pembeli yang ragu-ragu sama ada jambu itu benar-benar berasal dari Bidor atau tidak. Begitu sekali perhatian diberikan bagi memastikan benar-benar mendapat jambu Bidor.

Jambu batu Bidor terkenal kerana rasanya lembut dan rapuh. Ia menjadi pilihan bagi mereka yang mementingkan cita rasa dan kepuasan. Jadi, jambu Bidor sesuai benar dijadikan buah tangan untuk dibawa pulang setiap kali datang ke Perak, terutamanya ke Bidor. 

Jambu batu bidor di pekan Bidor dijual di gerai yang dibina khas oleh pihak berkuasa. Pemandu yang tidak biasa dengan jalan tersebut tidak menghadapi kesukaran untuk mengenalpasti tempat itu kerana terdapat papan tanda khas.

Singgah dan nikmatilah jambu Bidor di gerai berkenaan. Gerai tersebut dibuka daripada pagi sehinggalah ke tengah malam. Jambu batu diikat dan digantung dengan tersusun untuk menarik pembeli. Harganya berpatutan. 

Jika ingin di makan dalam perjalanan, boleh minta penjualnya tolong belahkan dan dipotong kecil.  Jangan lupa mintakan sama serbuk perisanya.

Jambu batu bidor ada beberapa jenis. Namun jenis paling mendapat permintaan tinggi ialah yang tiada biji dengan permukaan kulitnya berkerepot. Kawasan tanaman jambu batu bidor ialah di tanah berpasir bekas lombong bijih timah.

No comments:

Post a Comment