Friday, 21 September 2018

TERENGGANU NEGERI CANTIK BUDAYA MENARIK

Negeri Terengganu Darul Iman bersempadan dengan Kelantan di bahagian utara dan di bahagian selatan dan barat daya pula bersempadan dengan Pahang.

Keluasan negeri Terengganu kira-kira 1,295,638.3 hektar. Jaluran pantainya menganjur sejauh 225 kilometer dari utara bermula di Besut dan berakhir di Kemaman yang terletak di selatan. 

Terengganu dibahagikan kepada lapan daerah iaitu Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Marang, Dungun, Kemaman, Setiu dan Besut.

Sebenarnya terdapat beberapa cerita yang dikaitkan dengan asal nama negeri Terengganu. Terdapat tiga versi cerita paling popular yang dikatakan mempuanyai kaitan dengan nama asal Terengganu iaitu perkataan "terangnya ganu", "taring anu", dan "terengan nu".

Perkataan "terengnya ganu" dikaitkan dengan peristiwa beberapa orang pelayar Kelantan tiba di Kuala yang kini dipanggil Kuala Terengganu melihat pelangi di langit. Mereka pun menyatakan "teren sungguh ganu di sini". Apabila pulang ke Kelantan mereka menyatakan di negeri jiran yang mereka lawati itu sungguh "terang ganunya".

Sementara itu perkataan "taring anu" dikatakan berasal daripada cerita yang dikisahkan oleh Sultan Terengganu yang kesembilan, Baginda Omar (1839 - 1876). Sebelum wujud nama negeri Terengganu, satu rombongan Pahang datang memburu di satu kawasan hulu negeri Terengganu.

Apabila mereka tiba di satu tempat yang kini dikenali dengan Sungai Terengganu Mati, salah seorang daripada anggota rombongan itu berjumpa sebatang taring. Beliau pun bertanya kepada temannya, taring apa? Latas, salah seorang daripadanya menyatakan "taring anu" kerana dia tidak dapat mengingatkan nama sebenar binatang yang bertaring tersebut.

Tidak lama kemudian, antara mereka dalam rombongan ini dapat memburu seekor rusa. Apabila dibawa pulang ke tempat mereka berkhemah, salah seorang daripada mereka bertanya tempat rusa itu diburu. 

Mereka yang berkenaan menyatakan berburu di "taring anu". Begitu juga apabila membawa pulang kayu gaharu dan ditanya tempatnya, mereka menyatakan di "taring anu". Lama kelamaan tempat itu dikenali dengan Terengganu.

Satu lagi kisah berkaitan kisah "taring anu" yang berlaku di satu tempat lain yang melibatkan penduduk tempatan. Kisah ini menyatakan yang "taring anu" berasal daripada sebatang taring sebesar gading gajah dijumpai di sebuah pulau yang kini dikenali sebagai Pulau Duyung. 

Ketua pulau tersebut menyembahkan kepada raja "taring anu tuanku". Dengan itu kuala sungai itu disebut sebagai Kuala Sungai Taring Anu yang kemudiannya dikenali Kuala Sungai Terengganu.

Dipercayai bahawa Terengganu merupakan antara penampatan terawal di negara kita. Peta Semenanjung Tanah Melayu yang dibuat oleh Ptolemy (seorang ahli Kaji Bintang dan Ilmu Alam Greek yang terkenal yang hidup dalam kurun kedua sebelum Masehi) ada menunjukkan dua buah pelabuhan di Pantai Timur yang dinamakan "Perimula" dan "Kole" Nama pelabuhan "Perimula" itu dipercayai ialah Kuala Sungai Terengganu dan pelabuhan "Kole" ialah Kemaman.

Ada juga ahli sejarah yang berpendapat, pada zaman dahulu, Negeri Terengganu ini dikenali dengan nama "Tanah Merah".

Menurut cacatan sejarah, ada pelawat-pelawat Cina pada masa dahulu memberi nama Terengganu dengan "Ting Chia Hsia Lu. Dalam peta Wu Pei Chih, sekitar tahun 1511M hingga 1601M, berdasarkan kepada kenyataan yang diambil daripada pelayaran Cheng Ho ke Tanah Melayu, ada menunjukkan Pulau Tinggol (di hadapan Dungun) dan beberapa buah pulau di negeri Terengganu dan Kelantan.

Di dalam peta yang diperbuat oleh Linschoten pada tahun 1623M, Terengganu disebut "Perengenaok". Peta ini ada menunjukkan nama Capas (Pulau Kapas), Pulau Redang dan beberapa pulau yang bernama Fancian yang letaknya di tempat Pulau Perhentian sekarang.

Manakala di dalam syair Jawa yang bernama "Negarakertagama" yang dikarang dalam tahun 1365 oleh Prapancha seorang sami ugama Buddha di Majapahit ada menyebutkan nama beberapa buah negeri di Semenanjung Tanah Melayu yang tertakluk kepada Majapahit, di antaranya ialah Terengganu, Dungun dan Paka.

Pengarang sejarah China yang bernama Chao Ju Kua yang menulis di dalam tahun 1225M ada menyebut nama Terengganu dengan Tong Ya Nong dan Kai Lan Tan (Kelantan) sebagai dua buah pelabuhan di Pantai Timur Semenanjung yang terletak di bawah pemerintahan Seri Vijaya Palembang.

Pelliott seorang ahli sejarah yang menulis dalam tahun 1904M pula ada menyebut beberapa nama bagai Terengganu di dalam bahasa Cina yang diambil daripada buku Cina itu nama Tin Ko Nou, Ting Kia Lou dan Ting Ko Lo.

Selain kemungkinan yang dijelaskan di atas, satu lagi kemungkinan nama Terengganu itu diambil asalnya dari perkataan "Terenggani" dari bahasa Tamil yang bererti 'Tanah Berbukit'. 

Dipercayai pada masa lampau ramai pelawat India yang sampai di Terengganu yang melihat negeri ini di sepanjang pantainya dari laut kelihatan banyak berbukit.

Bagaimanapun, berdasarkan catatan bertulis di batu bersurat yang dijumpai di Kampung Buloh, Kuala Berang, tertera perkataan "Terenkanu" dan di atas duit timah (pitis) yang bertarikh 1310H (1891M) ejaannya pula ialah "Terkanu".

Apapun mengenai sejarah lampau mengenai Terengganu, wajah Terengganu moden yang turut dikenali Darul Iman adalah negeri yang mempunyai ciri-ciri istimewa dan unik. Terengganu cukup terkenal sebagai negeri pengeluar petrolium utama di Malaysia. Jadi, tepat sekali Terengganu diberi jolokan dengan nama Kuwait Malaysia. 

Negeri Terengganu mendapat manfaat besar daripada hasil kemajuan dan rangsangan ekonomi daripada aktiviti berkaitan petrolium. Nama Kerteh dan Paka cukup sinonim dengan industri petrolium yang menukar wajar kedua-dua tempat yang asalnya kampung nelayan menjadi satu bandar moden.

Selain mengharapkan sumbangan daripada industri berkaitan petrolium, Terengganu juga giat menjadikan bidang pelancongan sebagai penjana aktiviti ekonomi. Setiap tahun Terengganu mencatatkan peningkatan kehadiran pelancong dari dalam dan luar negara. 

Ramai pelancong berkunjung ke Terengganu kerana tertarik dengan keindahan pantai peranginan, pulau yang kaya dengan khazanah laut, hutan lipur, tasik dan air terjun yang menarik.

Di sepanjang pantai terdapat banyak tempat menarik sudah dibangunkan sebagai pantai peranginan. Manakala banyak lagi yang berpotensi untuk dimajukan dan mempunyai daya tarikan yang tidak kurang hebatnya. 

Kawasan tepi pantai tidak sukar dibangunkan sebagai pusat peranginan memandangkan jalan-jalan utama di Terengganu adalah selari dengan pantai. Sistem jalan raya yang baik membantu membangunkan sesuatu kawasan sebagai pusat peranginan. 

Nama tempat seperti Rantau Abang, Batu Buruk. Batu Rakit, Rhu Sepuluh, Bukit Keluang, Merang, Kemasik, Tanjong Jara dan Telok Gadong merupakan pantai-pantai peranginan terkenal. 

Terengganu juga beruntung kerana mempunyai beberapa buah pulau yang menarik. Pulau Perhentian, Pulau Kapas, Pulau Bidong dan Pulau Redang cukup terkenal bukan sahaja di kalangan pelancong tempatan, bahkan pelancong luar negara.

Keindahan pulau yang dikelilingi lautan kaya dengan hidupan laut seperti batu karang, rumpaiar, ikan beraneka jenis dan sebagainya menjadikan ia satu destinasi yang amat menarik. Alam semulajadinya masih terjaga dan diurus dengan baik untuk mengekalkan kecantikan dan selamat dikunjungi. 

Kedudukan pulau yang tidak jauh dari dataran utama juga merupakan faktor ia mudah dikunjungi. Untuk pergi ke pulau-pulau tersebut hanya mengambil masa perjalanan kira-kira satu jam dengan menggunakan bot biasa.

Manakala hutan lipur terkenal pula ialah Lata Belatan, Lata Tembakah, Kolam Air Panas La dan Jeram Sekayu yang amat kaya dengan keindahan semulajadi dan air terjun yang menarik. Tidak kurang menarik juga ialah Tasik Kenyir yang merupakan antara tasik buatan terbesar di Malaysia.

Selain itu keistimewaan Terengganu juga terletak pada keindahan budaya dan tradisi yang unik, menarik serta tersendiri. Terengganu terkenal dengan tarian ulik mayang. Makanan paling terkenal pula keropok lekor. 

Manakala kerja tangan berkaitan perak, tembaga dan emas menampilkan kehalusan seni ukir Terengganu. Berasaskan kepada ciri-ciri tersebut Terengganu muncul destinasi utama pelancong di negara kita.

Terengganu adalah salah sebuah daripada sembilan negeri di negara kita yang memiliki institusi beraja. Pengasas Kesultanan Terengganu sekarang ialah Sultan Zainal Abidin 1. Baginda yang juga dikenali dengan panggilan "Bendahara Padang Saujana" ialah putera Tun Habib Abdul Majid.

Mengikut buku Tuhfat al-Nafis karangan Raja Haji, Tun Zainal Abidin ditabalkan sebagai Sultan Terengganu oleh Daeng Menampuk atau Raja Tua di atas pemerintahan Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah. Sumber yang lain pula menyatakan Tun Zainal Abidin ditabalkan di atas tahta Kerajaan Negeri Terengganu oleh Phra Chau Yang, Raja Pattani. 

No comments:

Post a Comment