Pulau Langkawi terkenal sebagai destinasi pelancongan bertaraf
antarabangsa. Banyak tempat menarik menjadi tumpuan para pelancong. Salah satu
tempat sering menjadi persinggahan pelancong dan orang Islam menunaikan ibadat
ialah Masjid Al-Hana. Ia termasuk dalam senarai tempat Jejak Warisan
Langkawi.
Masjid Al-Hana yang terletak di Persiaran Putra, di antara bandar Kuah
dengan jeti Kuah adalah salah sebuah masjid terbesar dan tercantik di Langkawi.
Masjid al-Hana dibina pada tahun 1959 dan dirasmikan pembukannya oleh Perdana
Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada tahun 1961.
Selaras dengan pembangunan pesat Pulau Langkawi, Masjid
ini pernah diubah suai pada tahun 1993 Masihi dan mampu memuatkan kira-kira
1,200 jemaah pada satu masa dan kemudian dinaiktarfkan sekali lagi untuk
membolehkan ia menampung lebih 2000 jemaah dengan peruntukan dari Lembaga
Pembangunan Langkawi.
Reka
bentuk masjid ini berkonsepkan seni bina Timur Tengah yang mempunyai
menara-menara bersaiz besar dan kecil. Setiap satu menara ini dilengkapi dengan
kubah mengikut kesesuaian.
Semua
kubahnya berbentuk bawang, namun terdapat dua warna yang membezakan antara
kubah yang dibina di bahagian bumbung dengan kubah yang dipasang pada menara,
iaitu pilihan warna kuning hitam dan warna biru. Ukiran-ukirannya dikatakan
mengikut motif kehebatan seni Islam dari Uzbekistan yang diterjemahkan kepada
reka bentuk seni bina Melayu.
Selain keindahan reka bentuk bangunan, Masjid Al-Hana terserlah dengan
ciri-ciri seni taman dan kebersihan sekitarnya. Tambah menceriakan kedudukannya
bersebelahan dengan Taman Peringatan CHOGM.
Ia mencerminkan sesuatu yang menarik pada pandangan pelancong asing tentang
pengurusan tempat ibadat orang Islam. Masjid Al-Hana menjadi lokasi pelancong
untuk mengabadikan kenangan berkunjung di Pulau Langkawi.
Kedudukan di laluan utama dari jeti Kuah ke bandar Kuah menjadikan Masjid
Al-Hana mudah dikunjungi pelancong Islam menunaikan sembahyang. Kedudukan
masjid bersebelahan pusat membeli belah memberi kemudahan kepada pengunjung menunaikan
sembahyang tepat pada waktunya.
No comments:
Post a Comment