Wednesday 1 May 2019

BEZA BAJU KURUNG TELUK BELANGA CEKAK MUSANG

Wanita Melayu harus berbangga dengan baju tradisional Melayu, contohnya baju kurung. Citra pakaian tradisional Melayu begitu penting dipertahankan biarpun pengaruh pakaian luar semakin meresap dalam kehidupan seharian.

Sejarah baju kurung dikatakan bermula di negeri Johor yang dikenali baju kurung teluk belanga. Baju kurung teluk belanga dipakai sejak zaman pemerintahan Almarhum Sultan Abu Bakar, iaitu pada tahun 1800 di Teluk Belanga, Singapura.

Pada masa itu Teluk Belanga di bawah pemerintahan negeri Johor. Orang Johor telah mengubah suai pakaian Melayu di bahagian leher dengan menjahit “tulang belut” dan “sembat halus” pada seluruh baju kurung itu; supaya kelihatan lebih kemas dan menarik.

Baju kurung teluk belanga mempunyai leher berbentuk bulat dan belahan di hadapan. Pada bahagian pangkal belahan dibuat tempat pengancing baju iaitu ‘rumah kancing’ dengan menggunakan jahitan benang. Rumah kancing dibuat dengan jahitan ‘insang pari’.

Baju kurung teluk belanga memerlukan bahagian lehernya dikancing dengan sebutir butang yang berwarna emas atau perak.

Ciri-ciri ini telah memperlihatkan keunikan identiti baju kurung orang Johor. Bagi kaum wanita, mereka biasanya memakai butang berbatu berlian atau batu lain yang bernilai. Kini, kaum wanita gemar menggunakan keronsang kecil sebagai pengganti butang baju kurung. Baju kurung ini dipakai dengan kain sarung ikatan ‘ombak mengalun’.

Baju kurung telah mengalami pelbagai perubahan sejak dari mula baju ini dicipta. Baju kurung yang ditambah dengan leher berdiri; dinamakan baju kurung cekak musang atau baju wan. Baju ini telah dipengaruhi oleh baju gamis atau kamis (jubah jemaah haji yang pulang dari Makkah).

Bahagian leher baju kurung cekak musang ini dikancing dengan tiga, lima, tujuh atau sembilan butir butang. Bahagian leher ini tidak dijahit tulang belut halus.

Baju kurung moden mempunyai ciri-ciri yang berlainan dengan baju kurung tradisional. Baju kurung moden digubah supaya kelihatan kemas dan menarik. Ia tidak gelobor seperti baju kurung tradisional. Ini kerana baju kurung moden mempunyai jahitan kekek dan pesak pada bahagian sisi baju.

Namun, ciri-ciri utama masih dipelihara. Sebagai contoh, pakaian ini masih berlengan panjang dan masih digunakan dengan kain sarung.
 
Gambar atas: Baju kurung teluk belanga.  
Gambar bawah: Baju kurung cekak musang
 

No comments:

Post a Comment