Wednesday 1 May 2019

SEJARAH BAJU KEBAYA

Baju kebaya telah melalui evolusi kerana telah terpengaruh dengan pakaian wanita Barat. Baju kebaya yang asalnya gelobor dan labuh kini mulai berubah dengan bentuk yang lebih kemas. 
 
Potongan baju menjadi ramping di pinggang serta labuh baju disingkatkan sedikit. Nama yang sesuai telah mengiringi perubahan baju belah ini menjadi baju kebaya.

Baju kebaya mempunyai dua versi iaitu baju kebaya labuh dan baju kebaya pendek.

Baju kebaya labuh dikecilkan sedikit untuk mengikut bentuk badan si pemakai. Kain sarung diikat secara ikatan kuncup, iaitu kepala kainnya dilingkup ke bahagian hadapan. 
 
Baju kebaya ini dipakai dengan kancing berbunga atau kerongsang yang beransingan atau yang berantai.

Baju kebaya pendek pula, telah diubahsuai untuk kelihatan lebih menarik dengan mengadakan sulaman berbiku di bahagian hujung lengan, dan di tepi bahagian belahan serta di bucu baju.

Baju kebaya moden telah mula dipakai orang Melayu sebelum Perang Dunia Kedua. Walaupun dinamakan baju kebaya moden, namun ciri-ciri kemelayuannya masih ada kerana baju itu dipakai dengan kain.

Baju kebaya moden ini adalah baju kebaya pendek yang ketat dan dipadankan dengan kain ikatan secara wiron. Baju ini mendedahkan bahagian leher dan dada serta berzip di sebelah belakang badan. 
 
Kain yang biasa digunakan adalah kain batik lepas yang dililit mengikut bentuk badan. Hujung punca kain di bahagian hadapan diikat seperti kipas.

Pada tahun 1960-an, baju kebaya moden dipadankan dengan kain yang ketat dan di bahagian hadapan kain dibuat satu belahan hingga ke paras lutut untuk memudahkan pergerakan. Apabila pemakainya mengatur langkah, betisnya akan kelihatan.

Pada akhir tahun 1970-an, baju kebaya moden tidak digemari. Imej 'seksi' baju kebaya moden tidak digemari oleh mereka yang mementingkan sopan.  

Justeru, fesyen baju kebaya moden itu berubah kepada bentuk lebih longgar dan manis dilihat. Kebaya ini masih dipadankan dengan kain yang berbelah, tetapi selisih kain di bahagian belahan dilebarkan supaya betis tidak kelihatan.

No comments:

Post a Comment