Monday 24 October 2016

Kiamat bila akan berlaku?

Kiamat pasti belaku, tetapi tidak pasti bila, biarpun ada membuat ramalan. Semua agama mempercayai ada hari kiamat sepertimana dicatatkan dalam kitab agama masing-masing. Kepercayaan ada hari kiamat dikaitkan dengan ada hari pembalasan.    

Biarpun orang Islam wajib mempercayai adanya hari kiamat, tetapi tidak dijelaskan bilakah akan berlakunya hari kiamat. Hanya Allah SWT tahu bilakah hari kaimat.   

Allah SWT berfirman bermaksud: "Mereka (yang ingkar) selalu bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang hari kiamat: "Bilakah masa datangnya? Apa hubungan tugasmu dengan (soal) menerangkan masa kedatangan hari kiamat itu? Kepada Tuhanmulah terserah kesudahan ilmu mengenainya." - (Surah an-Naziat, ayat 42-44).

Perbincangan mengenai kiamat sentiasa diramalkan oleh bukan Islam. Ramalan yang dibuat hanya berdasarkan kepada kehendak nafsu dan pemikiran yang bukan-bukan. Ada antara yang meramal hari kiamat semata-mata ingin mencari pengaruh dan populariti. 

Sebenarnya kita lupa, kiamat berlaku setiap hari kepada orang yang meninggal dunia. Meninggal dunia adalah kiamat bagi orang berkenaan. Bersiaplah dengan bekalan yang baik untuk kehidupan di akhirat. Kematian akan memutuskan peluang untuk menambah bekalan, kecuali jika dilakukan tiga perkara ketika hidup.  

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Apabila seorang anak Adam mati, maka putuslah amalnya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang memberi manfaat kepada orang lain atau anak yang soleh yang berdoa untuknya." (Hadis riwayat Muslim) 

Kita perlu bersedia menghadapi kiamat diri bila-bila masa. Tentang kiamat dunia tidak perlu kita fikirkan. Hanya Allah SWT mengetahuinya. Cukuplah dengan kita percaya bahawa ada hari kiamat.  

Salah satu Rukun Iman yang wajib dipercayai ialah Percaya Adanya Hari Kiamat. Itu memang tidak dapat diragui dan mesti dipercayai dengan sungguh-sungguh. Pun begitu, kita tidak perlu meramal atau mengetahui bila akan berlaku kiamat.  

Pertanyaan bila berlaku hari kiamat telah diajukan kepada Rasulullah. Hal itu dijawab oleh Allah dalam firman-Nya bermaksud:

"Mereka menanyakan kepadamu tentang kiamat: "Bilakah terjadinya? Katakanlah: "Sesungguhnya pengetahuan tentang kiamat itu adalah pada sisi Tuhanku, tidak seorang pun yang dapat menjelaskan waktu kedatangannya selain Dia. Kiamat itu amat berat (huru-haranya bagi makhluk) yang di langit dan di bumi. Kiamat itu tidak akan datang kepadamu melainkan dengan tiba-tiba." 

"Mereka bertanya kepadamu seakan-akan kamu benar-benar mengetahuinya. Katakanlah: "Sesungguhnya pengetahuan tentang hari kiamat itu adalah di sisi Allah, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui." - (Surah al-Araaf, ayat 187).

No comments:

Post a Comment