Monday 17 October 2016

Penyakit tua mesti dihadapi

Tua adalah sejenis penyakit yang tidak dapat dielakkan biarpun mungkin dilambatkan menggunakan ubatan agar wajah dan tubuh kekal cantik dan sihat. Dalam proses penuaan yang semula jadi ini, sedikit demi sedikit wajah dan tubuh badan menunjukkan tanda penuaan itu. Penyakit tua satu proses yang mesti dilalui setiap orang, melainkan mereka yang mati pada usia muda.  

Kedut pada tepi mata, kulit menggeleber, sendi sakit-sakit, badan berasa lenguh dan nafas mudah semput adalah antara tanda penuaan. Pada masa sama, cara berfikir seseorang juga boleh dan akan berubah dalam meniti usia semakin meningkat.

Apa pun, manusia secara semula jadinya tidak begitu risau dengan perubahan corak berfikir apabila usia meningkat. Apa yang selalunya paling ditakutkan oleh manusia adalah perubahan fizikal yang berlaku apabila semakin tua. 

Pada masa sama, keberkesanan organ dalaman badan untuk berfungsi dengan penuh berkesan juga akan menurun dengan peningkatan usia.

Oleh itu, kita dapat lihat bagaimana manusia cuba mengekalkan ciri usia mudanya. Misalnya, nenek-moyang kita menggalakkan pemakanan ulam-ulaman agar nampak awet muda. 

Pada zaman ini pula penggunaan ubat-ubatan dan alat kosmetik untuk kembali kelihatan muda banyak digunakan. Lebih canggih lagi apabila ada yang sanggup melalui kesakitan semata-mata ingin kelihatan muda.

Apapun takrif permulaan tua bagi seseorang, hidup alam tua tentunya banyak berbeza berbanding ketika usia yang dianggap paling bermakna iaitu dalam lingkungan 30 hingga 50 tahun. 

Ketika usia tua keadaan fizikal mula berubah semakin hilang keupayaan. Penglihatan semakin kabur, telinga tidak lagi dapat mendengar dengan jelas, tenaga zahir dan batin semakin menurun, daya ingatan tidak lagi setajam dulu, ketahanan badan menghindar penyakit jelas dalam keadaan lemah apabila pelbagai jenis penyakit mula bersarang di dalam badan dan pelbagai petanda lain.

Apabila memasuki era tua, kebanyakan individu cuba ‘melayan’ hidupnya secara yang dianggap sebagai tanda dirinya sudah tua. Sebab itu, golongan tua distereotaip sebagai terlalu bergantung kepada pihak lain, lemah, menyusahkan, tanpa sumbangan dan tiada kreativiti.

Sepatutnya, golongan tua tidak meletakkan diri mereka sedemikian, melainkan mencapai keadaan itu yang tidak lagi upaya untuk mengubahnya. Dalam hal ini, golongan tua perlu digalak dan dilatih supaya boleh hidup berdikari untuk mengekalkan kualiti hidup mereka. 

Imej ini dapat diubah jika masyarakat memandang positif era umur tua dan meningkatkan tahap keyakinan diri, kebebasan daripada penggantungan, meneruskan sumbangan, mengekalkan identiti diri, menjaga tahap kesihatan dan tidak menyisihkan diri.

Terdapat dua cabaran besar dalam hal ini. Pertama usaha mengubah sikap golongan tua sendiri ke arah itu dan keduanya ialah pandangan negatif terhadap golongan tua di kalangan masyarakat.

Sumbangan golongan tua boleh dipromosi dengan menekankan kemampuan, kesihatan dan kreativiti mereka. Individu mencapai usia melebihi 60 tahun masih boleh aktif, termasuk melakukan tugas rutin mencari rezeki, berdasarkan kesesuaian tahap fizikal. Malah, banyak individu berusia mencecah 80 tahun terus aktif dan dapat berdikari. 

No comments:

Post a Comment