Monday, 15 May 2017

Rezeki berkat orang lain

Allah membuka rezeki seluas-luasnya kepada seluruh hamba-Nya. Sesiapa yang berusaha, insya-Allah akan memperoleh apa yang diharapkan. Namun, dalam usaha mencari rezeki ada kejayaan dicapai adalah hasil keberkatan adanya orang lain bersama-sama kita. 

Diriwayatkan dalam satu hadis bermaksud: “Ada dua orang bersaudara pada zaman Rasulullah. Salah seorang datang kepada Nabi (untuk belajar), sedangkan yang seorangnya lagi bekerja (menanggung nafkah saudaranya). Maka orang yang bekerja ini mengeluhkan kepada Nabi tentang saudaranya. Nabi pun bersabda, “Boleh jadi kamu diberi rezeki kerananya (ia menuntut ilmu agama).” Hadis Riwayat Tirmizi no. 2345.

Maksud hadis jelas menunjukkan kaitan kewujudan orang lain sebagai punca kepada rezeki yang kita peroleh. Rezeki itu biarpun kita yang berusaha mendapatnya, sedangkan keberkatan atau anugerah Allah adalah akibat hubungan kita dengan orang lain.  

Kita sering mendengar tentang rezeki anak-anak. Biarpun bapa yang berusaha mencari rezeki, hakikatnya Allah memberikannya rezeki itu untuk anak-anaknya. Begitu juga dengan hubungan adik beradik, majikan dengan pekerja, sahabat dengan sahabat dan sebagainya. 

Kemajuan sesebuah syarikat atau organisasi banyak dijayakan oleh orang bawahan. Tidak wujud organisasi tanpa adanya ahli atau pekerja.  

Contohnya, majikan jangan merasa mereka memberi pekerjaan dan pendapatan kepada pekerja. Sebaliknya mungkin rezeki majikan diberi oleh Allah menerusi pekerja. Hakikatnya majikan berkongsi rezeki dengan pekerjanya. . 

Allah beri rezeki pekerja dan anak pinak mereka menerusi usaha niaga. Maka berkongsilah dengan pekerja, bayar upah dan gajinya seperti dijanjikan dan berilah bonus sebagai tambahan berkongsi rezeki dari Allah. Jangan menyombong diri seolah pekerja yang menumpang rezeki kita, mungkin kita yang menumpang rezeki mereka.  Jadi jangan tamak dan angkuh. 

Sabda Rasulullah bermaksud: “Bukankah kamu ditolong dan diberi rezeki kerana (berbuat ihsan) kepada kaum dhu’afa (orang-orang lemah) di antara kamu.” (Hadis riwayat Bukhari)

Ingatlah, firman Allah SWT bermaksud: “Dan apa saja yang kamu nafkahkan, maka Allah akan menggantinya dan Dia-lah pemberi rezeki yang sebaik-baiknya.” (Surah Saba, ayat 39)

Manakala Rasulullah SAW: “Tidak ada satu hari pun, di mana seorang hamba melalui pagi harinya kecuali dua malaikat turun, yang satu berkata, “Ya Allah, berilah ganti kepada orang yang berinfak”, sedangkan malaikat yang satu lagi berkata, “Ya Allah, timpakanlah kerugian kepada orang yang bakhil.” (hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Berkongsilah rezeki dengan orang lain. Bersyukurlah dengan apa yang kita miliki.

No comments:

Post a Comment