Penjajah bukan saja menjajah secara fizikal, tetapi juga
minda rakyat yang dijajah. Tanpa disedari, kita masih dijajah secara minda biarpun
telah merdeka dalam konsep sebuah negara.
Pada zaman penjajahan dulu, rakyat diceritakan dengan
pelbagai kisah dongan seperti Angan Mat Jenin, Lebai Malang, Pak Kadok dan
sebagainya. Kisah itu diceritakan dalam bentuk jenaka, tetapi mempunyai nilai
sindiran amat berkesan.
Dulu kita melihat cerita dongang sebagai pengajaran. Namun,
jika diperhalusi, ia dalam satu bentuk serangan pemikiran amat berkesan. Kita
lihat bagaimana kisah Angan Mat Jenin yang sebenarnya lebih kepada
'menakut-nakutkan' kita jangan berfikir di luar kotak biasa.
Jalan ceritanya menarik dengan kisah Mat Jenin yang bekerja
mengambil upah memajat pokok kelapa. Dia berangan merancang bagaimana mengguna
dan mengembangkan upah yang bakal diterima.
Cara Mat Jenin berfikir perlu dipraktikkan untuk mencapai
kejayaan dalam hidup. Nasib kita boleh diubah jika kita berfikir dan
melakukan sesuatu yang betul. Buka betul-betul fikiran dan pandangan
kita jauh ke hadapan.
Perancangan itu baik dan lojik sehingga berjaya. Namun, dia
digambarkan mendapat kesan buruk akibat perancangan itu. Apa dialami Mat Jenin
dalam kisah diceritakan turun temurun itu menghalang untuk kita mempraktiskan
pemikiran lojik. Kita diperli jika ada angan-angan yang 'besar' dan 'hebat'.
Nasib malang Mat Jenin selalu dijadikan bahan jenaka atau
sindiran untuk dijadikan nasihat kepada mereka berkhayal hidup senang dan
kaya. Masyarakat kita naik marah jika digelar Mat Jenin kerana
panggilan itu melambangkan sikap kuat berangan-angan.
Cerita Mat Jenin rekaan penjajah Inggeris untuk menghalang
pemikiran rakyat untuk bangkit membela kedudukan bangsa sendiri. Cerita yang
seakan-akan Mat Jenin turut menjadi cerita popular di negara-negara yang pernah
menjadi tanah jajahan Inggeris.
Mat Jenin sepatutnya dianggap ahli fikir dan perancang yang
patut dicontohi. Dia tidak mimpikan kekayaan dengan
mudah. Sebaliknya dia berusaha dari peringkat rendah dan setiap
peringkat perancangannya boleh diterima akal.
Peribahasa ‘angan-angan Mat Jenin’ perlu ditukarkan kepada
‘fikir-fikir Mat Jenin’, sesuai dengan prospektif baru yang diberikan kepada
cerita Mat Jenin. Fikir-fikir Mat Jenin bermaksud, orang yang berfikiran
serius dan lojik atau menunjukkan orang yang bersemangat tinggi dan kuat
bekerja untuk mencapai kejayaan.
No comments:
Post a Comment