Monday, 13 August 2018

Mengapa sanggup bahaya keselamatan mendakit bukit

Kenapa kita bersusah payah meredah hutan, bukit-bukau, menyusuri sungai berarus deras, tebing curam, dan laluan becak? Sanggup mengambil risiko yang begitu tinggi di hutan yang dipenuhi binatang liar dan buas. Ada kisah pendaki yang sesat di hutan dan lebih malang lagi meninggal dunia.

Sanggup pula meninggalkan dunia moden untuk tidur di atas tanah, berhujan, berpenat-lelah dan menempuh pelbagai kesusahan dan kesukaran. Bahkan, semakin sukar cabaran yang dihadapi, semakin pula digagahi mengerah keringat dan mental.

Kalau ada bukit dan gunung yang mudah untuk didaki, mereka buangkan dalam senarai untuk didaki. Kisah mengenai sukarnya mendaki bukit dan gunung tertentu dijadikan motivasi untuk turut sama mendaki.

Tidak cukup bukit dan gunung di dalam negara, mereka menerja pula maklumat mengenai gunung di luar negara. Perbelanjaan yang mahal tidak menjadi halangan. Kalau tidak cukup wang sendiri, mereka sanggup mencari penaja yang sudi.

Segala-galanya dilakukan demi melakukan apa yang dinamakan pendakian. Mengapa semua itu?  

Kepuasan dan kenikmatan. Hanya para pendaki dapat merasai kepuasan dan kenikmatan apabila mendaki gunung. Keindahan pemandangan di puncak dan mengharungi trek yang mencabar kekuatan fizikal dan mental adalah kepuasan yang paling tinggi. Walaupun tangan calar-balar meredah resam dan buluh, kaki kejang melayan pacak berjam-jam, tangan luka terpegang duri atau jatuh tergolek kita tetap puas apabila berjaya mengharunginya.

Menawan puncak tidak sepatutnya dijadikan matlamat sesuatu pendakian. Kita seharusnya menghayati apa yang ada disekelilingnya. Menikmati keindahan ciptaan Allah dan bersyukur kepada-Nya.

Allah telah menetapkan aturan alam ini dengan selengkapnya untuk kebaikan manusia. Firman Allah bermaksud: “Dia menciptakan langit tanpa tiang yang kamu melihatnya. Dan Dia meletakkan gunung-ganang di permukaan bumi agar bumi tidak menggoyangkan kamu. Dan Dia membiakkan di bumi segala macam jenis binatang. Dan Kami turunkan hujan dari langit, lalu Kami tumbuhkan padanya segala macam tumbuh-tumnbuhan yang baik.” (Surah Lukman, ayat 10).

Namun setiap pendaki mempunyai matlamat tersendiri. Tepuk dada tanya selera. Yang penting kita dapat mempelajari sesuatu dalam setiap pendakian. Memberi pengalaman dan mengajar erti kehidupan penuh mencabar.

Hayati dan hargailah kebersihan dan keindahan alam semulajadi. Ini ditanam pada diri setiap pendaki. Sebab itu mereka akan membawa balik kesemua bungkusan atau apa yang dibawa.

Mereka tidak mahu menjadi sebahagian punca kerosakan di muka bumi. Firman Allah dalam surah Ar-Rum ayat 41 bermaksud: “Telah kelihatan kerosakan di darat dan di laut, disebabkan usaha tangan manusia, kerana Tuhan hendak merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, supaya mereka kembali.”

No comments:

Post a Comment