Saturday, 2 March 2019

LEKA ANCAMAN AKHLAK

Keghairahan umat Islam pada hari ini dalam mengejar  kemajuan di era globalisasi, tanpa disedari sedikit sebanyak menyebabkan mereka leka dan tidak peduli kepada masalah-masalah mengancam agama Islam. 

Terdapat dua sebab utama masalah yang telah melanda dan semakin melanda dan semakin menular di dalam kehidupan umat Islam di seluruh dunia khususnya di Malaysia.

Pertamanya ialah kerana berlakunya keruntuhan akhlak di kalangan muda-mudi. Manakala aspek kedua pula boleh dikategorikan sebagai paling penting bagi umat Islam iaitu berlakunya keruntuhan dari sudut aqidah.

Keruntuhan akhlak muda mudi banyak berpunca pengaruh kehidupan yang mementingkan keseronokan dan kepuasan duniawi semata-mata. Mereka mudah meniru apa yang dilakukan bukan Islam yang tidak ada peraturan agama.

Bukan semua diamalkan bukan Islam itu tidak baik. Banyak juga amalan, budaya atau cara hidup mereka yang baik. Contohnya masyarakat Jepun yang menepati masa, menghormati tetamu, jujur, produktif, inovatif, proaktif, budaya membaca dan nilai baik yang menjadikan mereka bangsa yang berjaya dan bertamadun. 

Malangnya perkara yang baik itu tidak ditiru oleh golongan muda, bahkan yang tua juga.  Mereka lebih suka terikut-ikut perkara yang buruk. Ini juga salah satu serangan pemikiran yang berjaya melumpuhkan nilai-nilai murni umat Islam. 

Umat Islam mudah meniru gaya hidup yang melalaikan, seks bebas, hiburan melampau, tidak menghormati ibu bapa, mementingkan gaya, kebendaan dan perbuatan buruk lain. 

Masalah keruntuhan aqidah merupakan aspek yang perlu ditangani dengan segera dan wajar diberi perhatian serius oleh umat Islam sejagat kerana ia adalah berkaitan dengan itiqad dan keimanan seorang individu muslim. 

Sebagaimana yang sedia maklum, aqidah juga merupakan teras di dalam kehidupan beragama. Akidah juga berperanan sebagai benteng di dalam melayari bahtera kehidupan yang penuh cabaran dan dugaan.  

Dengan adanya akidah yang kukuh membolehkan umat Islam dapat mematuhi, mentaati serta tunduk kepada perintah Allah SWT tanpa keraguan. Segala perintah Allah SWT dapat dilaksanakan dan seterusnya mengabdikan diri sepenuh hati dalam melakukan ibadah kepada-Nya semata-mata, menjauhi dan meninggalkan segala larangan-Nya.

Walau bagaimanapun, sesuatu yang amat mendukacitakan apabila setakat ini masih lagi kurang kelihatan langkah-langkah atau sebarang tindakan yang drastik dan konkrit yang telah diambil terhadap pihak-pihak yang berkenaan terhadap perkara ini.

Agama Islam adalah satu-satunya cara hidup yang lengkap. Ia merangkumi hubungan manusia dengan tuhan iaitu Allah SWT hubungan antara manusia dan hubungan manusia dan alam sejagat. 

No comments:

Post a Comment